LEBIH seabad lalu, jalan-jalan di George Town, Pulau Pinang bergema dengan bunyi tukul, pahat, dan alat tradisional ketika tukang-tukang menghasilkan pelbagai barangan untuk dijual.
Aktiviti inilah yang menjadi nadi kehidupan bandar, membekalkan keperluan seperti perabot, pakaian, perkakas dan barang hiasan kepada penduduk di Pulau Mutiara.
Sebelum munculnya pasar raya, kedai runcit dan platform beli-belah dalam talian, golongan ini adalah tulang belakang ekonomi tempatan.
BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih
Mereka menggunakan kemahiran yang diwarisi turun-temurun untuk menghasilkan barangan dengan tangan, sekali gus mencerminkan seni dan budaya masyarakat setempat.
Namun, seiring arus masa dan kemajuan teknologi, kraf ini kian terpinggir, perlahan-lahan menghakis kelangsungan kraf tersebut.
Industrialisasi dan automasi memungkinkan barangan serupa dihasilkan dengan kos lebih murah dan efisien. Ia memberi tekanan besar kepada tukang tradisional untuk terus bersaing.
Gaya hidup moden dan kerjaya pejabat yang lebih glamor turut menjauhkan generasi muda daripada meneruskan tradisi keluarga.
Kini, kebanyakan tukang tradisional yang masih ada sudah berusia sekitar 70-an atau 80-an dan tidak mustahil mereka akan menjadi generasi terakhir.
Seorang pengukir dari Pulau Pinang, Low Chee Peng, 50, bertekad untuk memastikan warisan ini tidak lenyap begitu sahaja.
Dia memulakan projek dikenali sebagai Artisans, satu siri patung miniatur yang menggambarkan tukang tradisional bersama kedai mereka untuk menonjolkan nilai warisan budaya di negeri ini.
‘Ukiran Papan Tanda Kayu’ menunjukkan bekas pemilik Kok Ying Chow Signboard Maker, Kok Ah Wah sedang bekerja dan kini kedai tersebut tidak lagi beroperasi di Queen Street.
Projek seni Artisans
Sehingga kini, Chee Peng telah menyiapkan lebih 10 karya yang mempamerkan antaranya pembuat tanglung, colok, patung, beca, kasut, songkok, pengukir papan tanda kayu, pembuat batu nisan, anyaman rotan dan tukang besi.
Projek ini pertama kali dipamerkan pada Julai tahun lalu di studionya, O Sculpture, terletak di Hin Bus Depot, Jalan Gurdwara.
Sambutan hangat daripada pengunjung mendorong anak seni ini untuk menjadikan pameran tersebut sebagai pameran tetap di galeri studionya.
“Saya mahu menarik perhatian orang ramai kepada kehidupan tukang tradisional agar mereka dapat merasai suasana sibuk yang pernah memenuhi jalan-jalan George Town.
"Tukang-tukang ini menyuntikkan semangat kerja keras mereka ke dalam kota dan kehilangan mereka bermakna kehilangan jiwa kota ini,” kata pengukir autodidak dengan pengalaman lebih 30 tahun itu.
Miniatur pemilik semasa Kedai Songkok OSM Mohd Shariff, Haja Mohideen terletak di sebuah ruang kecil bersebelahan Nagore Shrine. Diasaskan bapa Haja Mohideen pada 1933 dan merupakan satu-satunya yang masih wujud di George Town.
Perincian luar biasa
Setiap patung miniatur setinggi 0.8 meter dan selebar 0.5 meter itu dihasilkan menggunakan logam, kayu dan resin.
Dengan bantuan pasukan, Chee Peng memastikan setiap perincian seperti pintu logam lipat, tingkap kayu berukir, jubin terakota dan tanda keusangan akibat cuaca, direka dengan teliti.
“Patung ini sebagai tanda penghormatan kepada tukang-tukang tradisional. Menerusi pameran tersebut, mereka digambarkan sedang bekerja bersama alat dan bahan masing-masing, lengkap dengan papan tanda perniagaan yang dijadikan replikasi,” ujarnya.
Pembuat beca generasi keempat, Choo Yew Choon menunjukkan figura mini dirinya yang dihasilkan Chee Peng.
Kenangan manis dan pahit
Projek ini membawa pelbagai kenangan manis dan pahit buat Chee Peng. Dia mengenali kebanyakan tukang yang menjadi subjek karyanya, namun ada segelintirnya telah meninggal dunia.
“Antaranya termasuk tukang tanglung terakhir di Pulau Pinang, Lee Ah Hock.
"Perniagaannya berusia lebih 100 tahun di Jalan Magazine tidak lagi wujud selepas premis itu dirobohkan pada 2014,” kongsinya yang menetap di Ayer Itam.
Selain Ah Hock, seorang lagi tukang tradisional iaitu pembuat colok, Lee Beng Chuan, meninggal dunia pada 2020.
Sebagai penghormatan, Chee Peng mendapatkan menantu mendiang untuk menghasilkan colok miniatur menggunakan kayu cendana sebenar, yang dimasukkan ke dalam salah satu patungnya.
Artisan itu mengakui usaha mengekalkan warisan ini ada cabaran tersendiri, apatah lagi kebanyakan tukang tidak lagi mampu menarik minat generasi muda.
Chee Peng memberikan sentuhan akhir pada siri arca Artisans yang menggambarkan tukang kraf tradisional Pulau Pinang dan rumah kedai tempat mereka tinggal dan bekerja.
“Mereka sendiri menasihatkan saya agar tidak menceburi bidang ini kerana tidak lagi membawa keuntungan,” akuinya.
Usaha Chee Peng, bagaimanapun telah berjaya menarik minat masyarakat, terutama dalam kalangan generasi muda.
Dalam Festival George Town 2024, dia mencipta lima karya miniatur tambahan dan meletakkannya di premis asal sebagai sebahagian daripada aktiviti jejak seni.
Sambutan menggalakkan daripada pengunjung memberi harapan bahawa warisan ini masih dihargai.
Chee Peng menyuarakan hasrat untuk meneruskan siri Artisans. Dengan sejarah panjang kraf tradisional di George Town, dia yakin dirinya tidak akan kehabisan idea untuk terus mengabadikan seni tersebut. — The Star/JEREMY TAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram