Jangan letak gambar selfie, pakar kongsi 7 tip bagaimana pemilik perniagaan boleh bina branding di LinkedIn


  • Bizz
  • Isnin, 20 Jan 2025

LinkedIn menawarkan pelbagai peluang untuk usahawan dan pemilik perniagaan mengembangkan operasi ke tahap lebih tinggi.

LINKEDIN, platform rangkaian profesional terbesar di dunia, sering dikaitkan sebagai ruang alternatif untuk mencari pekerjaan dan merekrut bakat.

Namun, ramai tidak menyedari bahawa platform itu juga menawarkan pelbagai peluang untuk usahawan dan pemilik perniagaan mengembangkan operasi ke tahap lebih tinggi.

Melihat peluang yang tersedia, Chirpy Media Sdn. Bhd., (Chirpy Media) kini mengorak langkah dengan memberi fokus kepada aktiviti LinkedIn Outreach sebagai strategi utama. Ia bagi membantu pengurusan perniagaan khususnya golongan eksekutif peringkat C di Malaysia membina jaringan dan jenama di platform berkenaan.

BACA LAGI: Tak sanggup anak terus derita ekzema, wanita keturunan Melanau cipta sabun natural, dapat perhatian pelanggan Jepun dan AS

BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung

Golongan eksekutif peringkat C merupakan individu yang memegang jawatan tertinggi antaranya ketua pegawai eksekutif (CEO), ketua pegawai operasi (COO) dan ketua pegawai kewangan (CFO).

Chirpy Media kini beroperasi sebagai salah satu pelopor LinkedIn Outreach Agency di Malaysia, menawarkan perkhidmatan unik dalam membantu klien menjana hasil daripada jaringan profesional.

WhatsApp Image 2025-01-16 at 15.27.30

Mohd Ibrahim (berdiri) menyediakan latihan kepada lebih 100 pemilik perniagaan mengenai cara memanfaatkan LinkedIn untuk pembinaan jaringan dalam dan luar negara.

Pengarah Urusan Chirpy Media, Mohd Ibrahim Abu Bakar menjelaskan, kebanyakan pemilik perniagaan di Malaysia masih belum menggunakan peluang tersedia dalam LinkedIn sepenuhnya.

Tidak dinafikan, mereka sering melihat ruang itu platform mencari kerja sahaja, tetapi sebenarnya, ia adalah alat yang sangat berkesan untuk membina jaringan dan hubungan perniagaan.

"Dengan LinkedIn, pengguna boleh terus mencari individu berjawatan tinggi tanpa perlu melalui 'tembok' seperti pengurus pentadbiran atau setiausaha syarikat.

"Sebaliknya hanya perlu tahu nama atau syarikat dan boleh terus berhubung," katanya.

Ujar Mohd Ibrahim, meskipun Chirpy Media sudah beroperasi sejak 2018, namun pemfokusan pada cabang pemasaran LinkedIn Outreach mula dilaksanakan pada tahun lalu.

Sejak itu jelasnya, agensi media tersebut telah membantu lebih 20 pelanggan dalam mengurus akaun LinkedIn secara aktif, selain menyediakan latihan kepada lebih 100 pemilik perniagaan mengenai cara memanfaatkan LinkedIn untuk penjenamaan dan pembinaan jaringan dalam dan luar negara.

Pemegang Ijazah Kejuruteraan Elektrik daripada Multimedia University Cyberjaya, Cyberjaya, Selangor itu turut menekankan perbezaan LinkedIn Outreach dengan cabang iklan biasa.

"LinkedIn Outreach adalah mengenai membina hubungan langsung dengan prospek melalui mesej peribadi dan kandungan yang relevan.

"Ini berbeza dengan LinkedIn Ads, lebih kepada pengiklanan massa," ujarnya yang sudah membantu lebih 10,000 jenama peribadi berkembang dalam bisnes.

Bina kredibiliti

Bapa kepada empat cahaya mata itu turut berkongsi kisah kejayaan beberapa klien, termasuk pemilik syarikat pengeluar peralatan tulen (OEM) yang berjaya menaikkan jumlah pengikutnya di LinkedIn daripada 200 kepada lebih 4,000 dalam tempoh enam bulan.

Dengan pengikut terdiri daripada golongan CEO dan pemilik perniagaan, klien tersebut berjaya mengembangkan jaringan perniagaannya ke Indonesia.

Dalam wawancara bersama Majoriti, Mohd Ibrahim berkongsi tujuh langkah penting menggunakan LinkedIn sebagai platform bisnes:

linked1

LinkedIn Outreach adalah mengenai membina hubungan langsung dengan prospek melalui mesej peribadi dan kandungan yang relevan.

1) Lengkapkan profil

Profil LinkedIn yang lengkap adalah kunci untuk membina kredibiliti dan menarik prospek.

Pastikan semua bahagian diisi dengan lengkap termasuk nama, jawatan, lokasi, pendidikan dan maklumat perniagaan.

Profil yang lengkap memudahkan pihak lain mencari anda dan membina kepercayaan.

2) Gambar profesional

Pandangan pertama sangat penting, terutamanya di LinkedIn. Pilih gambar profil yang jelas dan profesional.

Elak guna gambar swafoto (selfie), sebaliknya pastikan pencahayaan baik kerana pakaian mencerminkan identiti perniagaan.

3) Cipta headline menarik

Headline merupakan perkara pertama dilihat di profil. Jangan sekadar menulis 'pemilik perniagaan'.

Sebaiknya guna headline menarik dan menggambarkan nilai yang anda tawarkan seperti 'Membantu Perniagaan Berkembang dengan Strategi Digital Berimpak Tinggi'.

WhatsApp Image 2025-01-16 at 15.27.30 (1)

Mohd Ibrahim (lima dari kanan) sudah membantu lebih 10,000 jenama peribadi berkembang dalam dunia perniagaan.

4) Tulis ringkasan (about) yang memukau

Bahagian about adalah ruang memperkenalkan diri dan perniagaan. Ceritakan pengalaman, servis dan bagaimana anda boleh membantu menyelesaikan masalah prospek.

Fokus pada nilai ditawarkan, bukan hanya cerita tentang diri sendiri.

5) Pengalaman kerja dan perkhidmatan

Nyatakan pengalaman kerja dan perkhidmatan secara spesifik dan berfakta. Contohnya, 'membantu lebih 50 perniagaan kecil meningkatkan pemasaran digital dalam tempoh tiga tahun'.

Testimoni pelanggan juga boleh meningkatkan kredibiliti anda.

6) Gunakan kata kunci sesuai

LinkedIn menggunakan fungsi carian yang canggih. Oleh itu, pastikan anda menyertakan kata kunci relevan seperti pemasaran digital atau pembangunan perniagaan dalam profil dan bahagian pengalaman.

Kata kunci ini membantu prospek mencari profil anda dengan lebih mudah.

7) Reka banting tonjol perkhidmatan

Banting LinkedIn adalah ruang untuk menarik perhatian melalui visual. Gunakan grafik menarik yang mempamerkan perkhidmatan anda, contohnya: Penyelesaian Pemasaran Digital untuk Perniagaan Anda.

Banting yang profesional boleh meningkatkan keyakinan prospek terhadap anda.

Dengan mempraktikkan langkah-langkah ini, pemilik perniagaan dapat memanfaatkan LinkedIn sepenuhnya sebagai platform memperluas jaringan dan mempromosikan perniagaan secara efektif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram