[VIDEO] 'Kamera DSLR dicuri, tiada duit beli minyak kereta', suami isteri ambil risiko tukar bidang penyelidik ke pereka grafik


  • Bizz
  • Selasa, 21 Jan 2025

Alev Brand Design bermatlamat membantu perniagaan dan organisasi menghasilkan bahan komunikasi profesional dan berimpak yang mampu menarik perhatian pelanggan. — Gambar hiasan

BERLATARBELAKANGKAN pendidikan bioteknologi, pasangan suami isteri ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam dunia perniagaan.

Najmi Aliff Che Harun, 38, dan isteri, Dr. Nooraisyah Mohamad Nor, 37, mengorak langkah mencipta kejayaan bersama dalam industri kreatif dengan menubuhkan agensi penjenamaan, reka bentuk dan pembangunan laman web, Alev Brand Design, melalui syarikat Alev Global Sdn. Bhd.

Menurut Najmi Aliff, servis utama meliputi konsultasi jenama, reka bentuk logo yang boleh dijadikan hak milik (trademark), pembungkusan unik, profil syarikat, slaid pembentangan, poster pemasaran serta pembangunan laman web korporat dan pembangunan platform e-dagang.

BACA LAGI: Tak sanggup anak terus derita ekzema, wanita keturunan Melanau cipta sabun natural, dapat perhatian pelanggan Jepun dan AS

BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung

Tidak hanya menyasarkan usahawan kecil dan sederhana (PKS), beberapa pelanggan mereka juga terdiri daripada golongan korporat, agensi kerajaan dan tidak terkecuali selebriti.

"Matlamat kami adalah untuk membantu perniagaan dan organisasi menghasilkan bahan komunikasi profesional dan berimpak yang mampu menarik perhatian pelanggan, meningkatkan kepercayaan dan akhirnya menyokong pertumbuhan jenama mereka ke tahap lebih tinggi.

"Kami percaya bahawa penjenamaan yang kukuh adalah asas kepada kejayaan jangka panjang," ujarnya membuka bicara kepada Majoriti.

Perjalanan awal Najmi Aliff sebagai seorang usahawan bermula dengan perniagaan secara sambilan dalam fotografi perkahwinan.

Muncul tanpa diduga, inspirasi itu hadir selepas menemani ibu yang ketika itu hampir pencen menyertai pelbagai seminar perniagaan.

Dari situ, terdetik hati anak keempat daripada lima beradik ini bahawa dunia perniagaan sangat luas dan sedar bahawa dirinya juga punya potensi untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang tersebut.

WhatsApp Image 2025-01-20 at 12.27.21 (1)

Najmi Aliff percaya penjenamaan yang kukuh adalah asas kejayaan jangka panjang.

"Jurulatih nasihatkan mulakan apa yang ada, lalu saya memilih fotografi perkahwinan kerana mempunyai kamera DSLR (kamera pantulan lensa tunggal digital) dibeli semasa belajar di Amerika Syarikat (AS).

"Saya menghadiri kelas fotografi dan bisnes, tapi perniagaan tidak begitu berkembang sehingga nekad berniaga sepenuh masa dan letak jawatan sebagai pegawai penyelidik pada 2012.

"Saya mula serius dan membuka studio fotografi yang juga menawarkan khidmat reka bentuk," ceritanya.

WhatsApp Image 2025-01-20 at 12.27.22

Nooraisyah (kiri) rakan kongsi kepada Najmi Aliff menyertai syarikat untuk membantu meluaskan lagi jaringan perniagaan.

Kamera dicuri

Malang tidak berbau buat usahawan itu apabila kesemua kamera dan peralatan dicuri, memaksa bapa kepada anak tunggal berusia 11 tahun itu berhenti menawarkan perkhidmatan fotografi dan fokus pada reka bentuk sahaja.

Kemahiran reka bentuk jelasnya, sudah diasah semenjak zaman belajar apabila dilantik sebagai biro penerbitan dalam persatuan pelajar Malaysia dan bertanggungjawab menghasilkan e-majalah kepada semua pelajar Malaysia di AS ketika itu.

"Kemahiran membina laman web diperoleh hasil pembelajaran sedikit demi sedikit daripada abang saya, Dr. Fauzan Khairi yang merupakan pensyarah di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) Skudai, Johor dalam bidang Kejuruteraan Elektrik Elektronik.

"Perniagaan yang asalnya sekadar khidmat mereka bentuk grafik berkembang lebih luas kepada konsultasi jenama, pembinaan laman web, reka bentuk UI (User Interface)/ UX (User Experience) dan seterusnya penyedia latihan kreatif," katanya.

Berkongsi lanjut, Najmi Aliff memberitahu, selepas pulang dari AS, kedua-dua bekas graduan daripada Rochester Institute of Tecnology, New York itu berkhidmat sebagai pembantu penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur.

Kemudian ditawarkan pula pegawai penyelidik atas rekomendasi majikan dan akhirnya diterima sebagai kakitangan tetap di institusi itu.

Sementara itu, Nooraisyah terus menyambung pengajian ijazah sarjana dalam bidang Cellular Biology di Pennsylvania State University, Pennsylvania, AS dan seterusnya menamatkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor.

"Isteri pada mulanya meneruskan kerjaya dalam bidang bioteknologi di beberapa institusi termasuk IMR, Institut Kesihatan Negara (NIH) dan beberapa syarikat swasta.

"Dari awal dia membantu saya secara sambilan dalam pengurusan kewangan dan dokumentasi. Selepas beberapa tahun barulah Nooraisyah menyertai Alev Global Sdn. Bhd., untuk sepenuh masa sehingga kini," kongsinya.

WhatsApp Image 2025-01-20 at 12.27.22 (1)

Antara hasil reka bentuk dihasilkan oleh Alev Brand Design.

Tiada wang isi minyak kereta

Saat menyentuh momen paling penting getir dalam kehidupannya, lelaki berasal dari Bangi itu mengakui, keputusan untuk menumpukan sepenuh masa dalam perniagaan menjadi antara percaturan paling berani pernah diambil.

Apatah lagi dengan status sebagai suami, ditambah kehadiran cahaya mata pertama dan penawaran sebagai pegawai penyelidik tetap dalam bidang perubatan selepas tamat tempoh percubaan.

"Tawaran ini (pegawai penyelidik) adalah peluang stabil yang menjadi dambaan ramai, namun saya buat keputusan untuk menolaknya.

"Keputusan itu bukan mudah. Saya banyak berdoa, memohon petunjuk daripada ALLAH SWT untuk menunjukkan jalan terbaik," kata pemegang ijazah bioteknologi itu.

Meski tiada bantahan daripada ibu bapa, tindakan itu menimbulkan rasa skeptikal dalam hati sang isteri tentang masa depan keluarga dan sama ada perniagaan tersebut mampu berkembang jauh.

Ceritanya lagi, mereka juga pernah melalui satu fasa kejatuhan dek tiada pendapatan tetap.

"Pada suatu ketika, hidup kami benar-benar diuji, bahkan minyak kereta pun tidak cukup untuk diisi dan (enjin) mati beberapa kali kerana kekurangan wang.

"Pada ketika itu, saya sendiri tidak dapat melihat jaminan kejayaan. Namun, niat untuk mengejar minat dalam perniagaan dan memperbaiki diri, saya teruskan dengan penuh tawakal.

Seiring berjalannya waktu, sokongan semakin kuat datang, terutamanya daripada keluarga dan isteri, yang mula melihat visi dan arah jelas dalam perniagaan dijalankan.

Momen kebangkitan nyata bermula apabila mereka menyertai Kumpulan Usahawan BNI Ikon, platform berinteraksi dengan ramai usahawan berjaya dan berpengalaman.

Dari situ, pasangan ini mula belajar pengurusan bisnes yang lebih mantap, kewangan, pembangunan pasukan, kepimpinan dan strategi pemasaran lebih efektif.

WhatsApp Image 2025-01-20 at 12.27.22 (2)

Alev Global Sdn. Bhd., kini terus berkembang dengan pasukan yang kecil tetapi berprestasi tinggi.— Instagram/alevbranding

Dilantik sebagai mentor

Dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam industri ini, mereka berjaya membantu lebih 900 jenama, termasuk syarikat besar seperti Petronas, Zaitun, Wong Solo, Zara Zya serta klien antarabangsa termasuk University of Melbourne.

Mereka turut menerima pelbagai pengiktirafan dan peluang besar seperti dilantik sebagai mentor untuk penerima geran usahawan di bawah Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), selain dipilih sebagai vendor oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk perkhidmatan kreatif dalam pendigitalan.

Kongsi Najmi Aliff lagi, salah satu momen besar tidak akan dilupakan adalah ketika menerima cek pertama bernilai RM60,000 untuk sebuah projek besar.

Sebelum itu, projek yang mereka kendalikan hanya bernilai beberapa ratus ringgit.

"Jumlah ini bukan sekadar angka besar, tetapi ia memberi saya keyakinan bahawa usaha saya dihargai.

"Ia membuktikan bahawa orang sanggup melabur dalam projek kreatif dan membuka mata saya tentang potensi besar perniagaan ini," tuturnya yang juga mengambil bidang minor dalam jurusan kejuruteraan mekanikal.

Kini, Alev Global Sdn. Bhd., terus berkembang dengan pasukan yang kecil, namun berprestasi tinggi dengan berinovasi menggunakan alat-alat moden seperti Trello untuk pengurusan projek, Google Docs untuk kolaborasi dan Wave Apps untuk pengurusan kewangan.

Dengan pencapaian mengagumkan, Najmi Aliff dan Nooraisyah membuktikan bahawa dengan tekad, inovasi dan keinginan untuk belajar, tiada impian yang terlalu besar untuk dicapai, walaupun bermula dari latar belakang tidak berkaitan dengan bidang perniagaan diceburi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram