Trauma sejak usia 11 tahun, wanita di Ipoh dipaksa rahsiakan perangai terkutuk bapa selama sedekad


  • 112
  • Khamis, 23 Jan 2025

Mangsa mendakwa bahawa dirogol bapanya yang merupakan seorang petani di sebuah rumah di Changkat Jong, Teluk Intan, Ipoh, Perak. — Gambar hiasan/Facebook

SEORANG pekerja kilang wanita berusia 21 tahun di Perak membuat laporan polis kerana mendakwa dirogol bapanya sejak berumur 11 tahun.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan itu dibuat mangsa kira-kira pukul 11 pagi Selasa.

Ahmad berkata, mangsa mendakwa bahawa dirogol bapanya yang merupakan seorang petani di sebuah rumah di Changkat Jong, Teluk Intan, Perak.

BACA LAGI: [VIDEO] Dakwa ditampar guru akibat salah faham, murid 11 tahun di Kerian terlepas SUKMA kerana alami gegaran otak

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara elak tayar tercabut, 3 lori bertembung hingga ke pembahagi jalan di Lebuhraya PLUS Sungai Bakap

"Sepasukan anggota dari jabatan siasatan jenayah menahan suspek kira-kira pukul 1.45 tengah hari Rabu.

"Siasatan mendapati mangsa bekerja di sebuah kilang di Teluk Intan dan belum berkahwin.

"Mangsa juga mendakwa bapanya merogolnya sejak berusia 11 tahun dan kali terakhir merogolnya pada 17 Januari lepas,” katanya.

Beliau berkata, mangsa turut mendakwa suspek mengugutnya supaya tidak membongkarkan rahsia itu.

Katanya, selepas kejadian terakhir, mangsa melarikan diri dan tinggal bersama seorang rakannya.

"Rakannya yang menasihatinya untuk membuat laporan polis.

"Mangsa bagaimanapun sudah dirujuk ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut pada Rabu," katanya sambil menambah bahawa suspek menceraikan isterinya ketika mangsa berusia enam tahun.

Katanya, suspek kini direman tujuh hari sehingga 29 Januari nanti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

"Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu menghubungi talian 05-629 9222 atau balai polis berhampiran," tambahnya. — The Star/MANJIT KAUR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram