DUA anggota tentera mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Bachok, Kelantan pada 2023.
Mahadi Ismail, 39, dan Muhamad Aizat Hakim Mohamad, 20, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah dekat Taman CT Jaya, Kampung Surau Bator, Jelawat, Bachok pada 2023.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin semasa pertuduhan itu dibacakan.
BACA LAGI: Hayunan tukang sebat antara perbezaan hukuman sebatan syarie dan kes sivil
Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli tidak menawarkan sebarang ikat jamin kepada kedua-dua tertuduh kerana tahap kesalahan yang dilakukan yang dianggap besar.
Akan tetap, Kamarul Hasyime menetapkan jumlah RM30,000 dan RM20,000 sebagai angka ikat jamin bagi kedua-dua tertuduh sekiranya mahkamah membenarkan ia dilakukan.
Peguam yang mewakili pihak tertuduh, Majidah Muhamad dan Mohd Firdaus Zainal Abidin kemudiannya memohon jumlah ikat jamin paling rendah buat Mahadi ekoran pendapatannya cuma berjumlah RM4,500 dan tertuduh merupakan pencari rezeki tunggal kepada keluarga yang mempunyai empat anak masih bersekolah berumur empat hingga 14 tahun.
"Kejadian itu sudah lama berlaku, dan tertuduh tidak pernah cuba untuk melarikan diri. Dia dengan suka rela menyerah diri kepada Balai Polis Bachok pada Oktober lalu dan sudah berkhidmat sebagai penjawat awam selamat 20 tahun dan 6 bulan. Dia bakal bersara pada 17 Jun 2025," kata Muhamad Firdaus.
Pada masa sama, peguam tertuduh turut memohon agar jumlah ikat jamin terhadap Muhamad Aizat Hakim yang meraih pendapatan RM1,900 sebulan dan sedang menanggung dua adik beradiknya.
"Tertuduh ditangkap sekitar Mei dan tidak pernah cuba campur tangan dengan siasatan pihak polis serta prosiding mahkamah. Dia adalah penjawat awam yang sudah melengkapkan latihan awal bulan ini dan akan melaporkan diri pada Isnin.
"Pada usia 20 tahun, saya percaya undang-undang mengkategorikannya sebagai pesalah muda dan boleh diikat jamin," ujar Muhamad Firdaus.
Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan satu penjamin setiap seorang, dan mengarahkan kedua-dua tertuduh melaporkan diri ke balai polis berdekatan secara berkala dan tidak menghubungi mangsa serta saksi pertuduhan.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum juga mengikut Seksyen 376 (2) kanun serupa yang membawa hukuman penjara 10 hingga 30 tahun berserta sebat sekiranya didapati bersalah.
Mahkamah menetapkan sebutan semula dan penghantaran dokumen kes pada 2 Februari 2025. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram