SEIRING perkembangan internet yang kini menjadi sebahagian intipati penting dalam kehidupan hampir setiap individu di seluruh dunia, dengan itu adalah wajar usaha dirangka untuk memastikan manfaatnya tidak tergugat dek ancaman atau bahaya yang mungkin timbul daripada teknologi ini.
Meskipun akses ke World Wide Web membolehkan rakyat Malaysia berhubung dengan komuniti global dan menjalankan perniagaan dengan lebih pantas, termasuk yang berskala antarabangsa, internet juga berfungsi sebagai repositori maklumat yang luas.
Maklumat ini boleh diakses, disiarkan dan dikongsikan oleh sesiapa sahaja.
BACA LAGI: Fahmi Fadzil bimbang kewujudan lebih banyak akaun TikTok jadikan budak sebagai konten
BACA LAGI: Fahmi arah MCMC tak teruskan pelaksanaan kaedah penghalaan semula DNS
Internet juga berisiko menjadi medium bagi aktiviti haram seperti eksploitasi kanak-kanak, ekstremisme dan keganasan.
Tambahan pula, internet membuka peluang pembelajaran jarak jauh, dan ia telah terbukti sangat bermanfaat semasa wabak Covid-19, apabila dapat membantu ekonomi global terus bertahan sepanjang tempoh pandemik tersebut.
Namun seperti kebanyakan ciptaan manusia, internet turut menjadi platform bagi pelbagai aktiviti berunsurkan haram dan negatif.
Ia termasuk jenayah siber, penyebaran maklumat palsu dan kesan buruk terhadap kesihatan mental melalui buli siber, gangguan dalam talian, perbandingan sosial serta kebimbangan.
Selain itu, ia juga menjadi medium bagi aktiviti haram seperti eksploitasi kanak-kanak, ekstremisme dan keganasan.
Situasi tersebut menjadi semakin jelas apabila laporan berita yang mengetengahkan aspek-aspek negatif tersebut meningkat dengan ketara kebelakangan ini.
Tragedi yang mencetuskan tindakan
Ahli keluarga menangisi pemergian pempengaruh media sosial tempatan yang ditemui mati di kediamannya pada Julai tahun lalu.
Pada awal Julai tahun lalu, pempengaruh media sosial tempatan yang juga aktivis ditemui mati di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur selepas membuat laporan polis, menyatakan kebimbangan akan dirogol dan dibunuh beberapa hari sebelum kejadian.
Tragedi itu mencetuskan kemarahan masyarakat terhadap kelemahan undang-undang siber di negara ini.
Kes tersebut menyaksikan dua daripada pelaku hanya dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun secara serentak, manakala seorang lagi dikenakan denda minimum sebanyak RM100 sahaja.
Keputusan itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat, dengan ramai pihak menganggap hukuman dikenakan tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan.
Kes ini turut menjadi pemangkin kepada kesedaran bahawa sistem undang-undang siber yang lebih kukuh diperlukan untuk melindungi golongan rentan, khususnya kanak-kanak dan wanita.
Masalah global
Australia mencatat sejarah sebagai negara pertama yang melarang kanak-kanak di bawah umur 16 tahun menggunakan media sosial.
Kebimbangan terhadap keselamatan siber bukan hanya isu tempatan, tetapi turut dikongsi di peringkat global.
Pada November tahun lalu, Australia mencatat sejarah sebagai negara pertama yang melarang kanak-kanak di bawah umur 16 tahun menggunakan media sosial.
Langkah itu diambil sebagai usaha melindungi golongan muda daripada terdedah kepada kandungan berbahaya di platform digital.
Kerajaan di seluruh dunia kini giat mencari pendekatan terbaik untuk menangani isu ini.
Dalam satu artikel yang disiarkan Politico, Pesuruhjaya eSafety Australia, Julie Inman Grant menegaskan bahawa selama ini tanggungjawab keselamatan dalam talian terlalu banyak dibebankan kepada ibu bapa dan kanak-kanak.
“Untuk sekian lama, tanggungjawab keselamatan diletakkan pada bahu ibu bapa atau kanak-kanak sendiri, bukannya penyedia platform digital,” kata Julie.
Pendekatan itu mencerminkan peningkatan kesedaran global bahawa penyedia platform digital seharusnya bertanggungjawab memastikan keselamatan pengguna, selaras dengan peranan mereka sebagai pemilik media.
Bagi memastikan platform media sosial turut bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan penguatkuasaan Kerangka Pelesenan untuk platform media sosial dan perkhidmatan pesanan internet utama sejak 1 Januari tahun ini.
Kerangka Pelesenan
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, MCMC memaklumkan bahawa empat penyedia perkhidmatan utama telah mengambil langkah ke arah pematuhan dengan memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.
Tencent menjadi penyedia perkhidmatan pertama yang menerima lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kelas (ASP (C)) bagi platform WeChat, diikuti ByteDance yang mengendalikan aplikasi popular, TikTok.
Kedua-dua platform ini dilesenkan mengikut keperluan pelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.
Sementara itu, Telegram pula kini di peringkat akhir proses mendapatkan lesen, manakala Meta, syarikat induk bagi Facebook, Instagram dan WhatsApp, turut memulakan proses pelesenan yang dijangka selesai dalam masa terdekat.
Platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) dan Google yang mengendalikan YouTube masih belum menyerahkan permohonan kepada MCMC.
Pihak X berpendapat pangkalan penggunanya di Malaysia belum mencapai ambang lapan juta pengguna yang diperlukan untuk mematuhi keperluan pelesenan.
Bagaimanapun, MCMC sedang mengesahkan dakwaan itu dan akan terus mengadakan perbincangan bagi menilai kedudukan platform tersebut di bawah kerangka peraturan yang ditetapkan.
Google pula mengemukakan isu berkaitan ciri perkongsian video di platform YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan.
Menurut kenyataan MCMC, pihaknya sedang meneliti isu yang dibangkitkan dan pada masa sama akan memastikan YouTube memenuhi kriteria pelesenan serta semua tanggungjawab terkandung dalam kerangka peraturan berkenaan.
MCMC akan menilai status penyedia platform yang belum mendapatkan lesen diperlukan dan mempertimbangkan tindakan sewajarnya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Penyedia platform yang didapati tidak mematuhi syarat tersebut berisiko dikenakan siasatan dan tindakan undang-undang.
Keperluan pelesenan menunjukkan komitmen kerajaan ke arah memperkukuh keselamatan dalam talian khususnya golongan kanak-kanak.
Tingkat perlindungan pengguna
Keperluan pelesenan menunjukkan komitmen kerajaan ke arah memperkukuh keselamatan dalam talian, di samping meningkatkan perlindungan pengguna khususnya golongan kanak-kanak dan individu yang mudah terdedah.
Langkah itu juga bertujuan memperbaiki pengawasan dan penguatkuasaan terhadap penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia, demi memastikan ruang siber lebih selamat dapat diwujudkan bagi semua lapisan masyarakat.
MCMC memuji usaha penyedia perkhidmatan yang telah mengambil langkah proaktif ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan mematuhi keperluan pelesenan.
Usaha tersebut penting untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat dan terjamin buat seluruh rakyat Malaysia.
Berbanding melihat Kerangka Pelesenan sebagai alat menyekat kebebasan bersuara, ia seharusnya dianggap sebagai instrumen membantu pemilik media sosial memantau platform mereka supaya tidak dieksploitasi untuk tujuan jahat.
Dengan adanya peraturan lebih ketat, pengguna akan lebih berhati-hati dalam menyampaikan pendapat, menulis atau berkongsi kandungan dalam talian. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram