Hayunan tukang sebat antara perbezaan hukuman sebatan syarie dan kes sivil


Mohd Affendi akan menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai, pada Jumaat ini.

SELEPAS solat Jumaat, 27 Disember 2024 akan tercatatlah sejarah di Terengganu apabila seorang pesalah kes khalwat akan menjalani hukuman enam kali sebatan.

Mohd Affendi Awang, 42 adalah individu pertama di negeri berkenaan yang dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail menetapkan hukuman itu akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu dengan disaksikan oleh 70 tetamu.

BACA LAGI: Pesalah hukuman sebat syarie: Jangan pandang serong, beri mereka peluang — Pensyarah UPM

BACA LAGI: Polis tempatkan 40 anggota kawal keselamatan, pastikan kelancaran hukuman sebat pesalah khalwat berulang Jumaat ini

Pada 20 November, Mohd Affendi didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat dan turut dikenakan denda RM4,000, dan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Tidak serik dengan kesalahan pertama pada 11 Julai 2023, Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman mendenda bapa kepada tiga anak itu RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat dan pada 25 Januari lalu dia sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama di mana Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000.

Oleh kerana hukuman sebatan syarie ini jarang berlaku, tentu ramai pihak tidak maklum bahawa adanya perbezaan kaedah pelaksanaannya berbanding kesalahan kes sivil.

Tatacara hukuman yang dipakai mahkamah syariah tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah di bawah takzir (kuasa) negeri masing-masing.

3086593

Lokasi hukuman sebat dijalankan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Terengganu. — mydx

Bagi memahami perbezaan antara hukuman sebatan melibatkan kesalahan kes syariah dan sivil, berikut disenaraikan antara fakta untuk pengetahuan masyarakat:

*Syariah - Dijalankan secara terbuka untuk mendidik

*Sivil - Hukuman dilaksanakan secara tertutup di penjara

*Syariah - Kadar kesakitan tidak maksimum

*Sivil - Menyakitkan hingga mencederakan pesalah

*Syariah - Sebatan melibatkan empat kesalahan hudud iaitu mukadimah zina, zina, qazaf dan minum arak

*Sivil - Hukuman sebat dikenakan terhadap pesalah kes rasuah, pecah amanah, jenayah kolar putih, rogol dan gangguan seksual

*Syariah - Pesalah berpakaian lengkap termasuk menutup wajah bagi menjaga aib (mengikut undang-undang negeri masing-masing)

*Sivil - Pesalah memakai apron di pinggang dengan tangan dan punggung diikat pada rangka berbentuk A.

*Syariah - Saiz rotan sederhana; panjang rotan tidak melebihi 1.22 meter dan tebal tidak lebih 1.25 sentimeter

*Sivil - Rotan nipis untuk kesalahan kes rasuah, pecah amanah dan jenayah kolar putih, manakala rotan tebal untuk kes rogol dan gangguan seksual.

Syariah - Hayunan tukang sebat dengan kekuatan sederhana tanpa angkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah

Sivil - Tukang sebat akan memulakan hukuman dengan memegang rotan secara mendatar di atas kepala dan mengayun ke punggung pesalah sekuatnya

Syariah - Selepas sekali sebatan, rotan perlu diangkat, bukan ditarik dan sebatan seterusnya harus dilakukan di bahagian berbeza tidak boleh pada muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit pesalah

Sivil - Hukuman perlu dijalankan dalam satu sesi dan jika diarah dihentikan oleh pegawai perubatan maka hukuman tidak akan diteruskan dan diganti dengan hukuman pengurungan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram