[VIDEO] Dakwa ditampar guru akibat salah faham, murid 11 tahun di Kerian terlepas SUKMA kerana alami gegaran otak


  • 112
  • Khamis, 23 Jan 2025

Amirul Akil cedera parah di kepala, hidung dan telinga didakwa dikasari guru sekolahnya di Perak pada 10 Disember 2024. — Facebook/Syahmina

HARAPAN ibu mahu melihat anak lelakinya berusia 11 tahun untuk menyertai acara akuatik renang dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan SEA musnah selepas mendakwa dikasari guru sekolahnya di Kerian, Perak pada 10 Disember 2024.

Berdasarkan luahan dimuat naik wanita itu menggunakan akaun Facebook Syahmina Mohd Azim pada Rabu, dia mendakwa anaknya, Amirul Akil Mohd I’zzat Emir cedera parah akibat ditampar seorang guru.

Dakwanya, tindakan guru terbabit yang menampar murid Tahun 5 itu dengan kuat sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman pada telinga.

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara elak tayar tercabut, 3 lori bertembung hingga ke pembahagi jalan di Lebuhraya PLUS Sungai Bakap

BACA LAGI: Mahu jadi inspirasi bidang robotik, anak Orang Asli Pahang raih pingat emas International Robot Olympiad di Korea Selatan

Impak daripada kekasaran itu, kesihatan Amirul didakwa semakin merosot dan dikatakan kerap muntah, pening kepala dan demam.

Bagi seseorang yang aktif dalam sukan renang, telinga adalah anggota paling sensitif.

"Anak aku selepas tiga hari kejadian, pipi kanan, telinga kanan, belakang telinga kanan, belakang kepala dan tengkuk.

"Rahang kanan bengkak sampai sukar dan sakit bila kunyah makanan.

"Simptom dan gejala yang dialami semakin berterusan sehingga 13 Januari lalu dan doktor sahkan bahawa kesan tamparan serta tumbukan tersebut menjadikan gegaran di salur separuh bulat telinga (cochlear concussion) atau simptom seperti gegaran otak," dakwanya.

Susulan itu, dia tidak mahu mengambil remeh perkara tersebut dan nekad untuk menuntut keadilan ke atas perbuatan guru lelaki terbabit.

Dia kemudiannya bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Berdasarkan laporan polis itu, anaknya hampir terjatuh dan tidak sengaja tersentuh belakang badan guru berkenaan yang waktu itu sedang mengambil barang.

Akibat salah faham, Amirul Akil ditampar sebanyak dua kali sehingga mengalami kesakitan dan lebam di bahagian telinga, selain ditumbuk di bahagian belakang kepala.

Sementara itu, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff dilaporkan berkata, pengadu mendakwa anaknya cedera selepas dipukul oleh guru lelaki berusia 30 tahun namun menarik semula laporan pada 11 Disember 2024 kerana enggan memanjangkan kes tersebut.

Katanya, pengadu bagaimanapun baru-baru ini sekali lagi tampil membuat satu laporan memohon polis meneruskan siasatan dan mahu tindakan lanjut diambil ke atas guru tersebut.

Menurutnya, satu siasatan sudah dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan selanjutnya.

Tambahnya, Perintah Untuk Menyiasat (OTI) juga diperoleh dan pihaknya akan melakukan rakaman percakapan pada Khamis malam.

Maklumnya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan berkaitan kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram