SERAMAI tiga murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pekan, Pahang mengharumkan nama negara selepas berjaya merangkul pingat emas dalam pertandingan robotik remaja terkemuka dunia, Olimpik Robot Antarabangsa (IRO) ke-26 di Korea Selatan minggu lalu.
Tiga peserta, Matthew Jambai Karong, Fizrey Rovince Ronachai dan Hafiezie Azwanizizi daripada suku kaum Jakun memenangi anugerah untuk kategori Kreatif Remaja di IRO yang diadakan pada 18 dan 19 Januari lalu di Pusat Pameran dan Konvensyen Busan.
Kehebatan mereka tidak dapat disangkal lagi apabila bukan sahaja bersaing dengan pasukan dari 23 negara iaitu Greece, Korea Selatan dan New Zealand, selain dua pasukan yang juga mewakili Malaysia dari Kelantan dan Johor.
BACA LAGI: Sekolah 49 murid di Pekan buktikan mampu jadi wakil, harum nama Malaysia di peringkat global
BACA LAGI: KPT komited lahirkan pelajar kelulusan STEM berpasaran tinggi dalam industri
Hafiezie (kanan), Matthew (tengah) dan Fizrey (kiri) ketika memasang robot mereka dalam pertandingan itu. — Facebook/Abdul Barr
Pertandingan itu juga mengkehendaki mereka untuk mencipta dan membentangkan proses serta fungsi robotik yang dihasilkan setiap pasukan.
Seorang daripada ahli pasukan itu, Matthew, 12, menyifatkan pertandingan itu sebagai perjalanan yang memuaskan.
Katanya, minatnya terhadap bidang robotik itu berkembang selepas sering meneroka asas memasang komponen modular (binaan).
"Melalui pelbagai bengkel robotik, saya dapat belajar membina dan mengawal robot yang menyeronokkan.
"Oleh sebab pengalaman juga membuatkan saya berasa bangga dan ingin menjadi seorang guru pada masa depan untuk memberi inspirasi kepada orang lain dalam bidang ini," katanya.
Projek itu merupakan kerjasama dengan Petrosains Tech4All yang dianjurkan khas untuk memperkenalkan pelajar Orang Asli dalam pembelajaran robotik dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui aktiviti pembinaan kemahiran secara langsung.
Tiga wakil Malaysia ketika menunjukkan hasil robot mereka semasa pertandingan berlangsung. — Facebook/Abdul Barr
Selain itu, anak nelayan, Muhammad Fahrin Ammar, 11, pelajar SK Kampung Layau, Kota Tinggi di Johor berkata, pengalaman itu berjaya mengubah persepsinya terhadap bidang robotik.
"Pada mulanya, saya tidak berminat dengan robotik, tetapi semakin menyukainya selepas menyertai bengkel dan program Petrosains Tech4All.
"Mewakili Malaysia adalah impian yang menjadi kenyataan," katanya.
Bagi Suzie Kidiee, 11, dari SK Sri Permai di Gua Musang, Kelantan pula, perjalanan dalam bidang robotik bermula atas dorongan gurunya supaya menyertai program Tech4All.
"Pada awalnya saya rasa membuat kod mencabar, tetapi secara perlahan-lahan dapat menguasainya melalui bengkel dan Cabaran RBTX Petrosains 2024, yang membantu menonjolkan potensi saya," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad berkata, ia diamanahkan dengan misi untuk mendemokrasikan pendidikan STEM dalam komuniti di Malaysia.
"Melalui program seperti Cabaran RBTX Petrosains dan Petrosains Tech4All, kami mahu menginspirasikan rasa cinta yang lebih mendalam terhadap STEM, menggalakkan komuniti meneroka dan menerima peluang transformasi yang boleh ditawarkan," katanya.
Petrosains Tech4All adalah bengkel berasaskan eksperimen yang direka khas oleh Petrosains untuk murid Orang Asli dan kanak-kanak di Sabah dan Sarawak supaya mendapat ilmu pengetahuan dan kemahiran tentang dunia robotik. — The Star/R. Sekaran
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram