KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) komited dalam usaha meningkatkan pendidikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar universiti tempatan di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, KPT kini sedang menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi membantu pendidikan STEM negara.
BACA LAGI: 'Cukup sekadar ajar asas elemen STEM bersesuaian umur 4 tahun'
BACA LAGI: 'Dengar pun dah takut', cadangan pendedahan STEM seawal usia 4 tahun kurang dipersetujui
Timbalan Menteri KPT, Datuk Ts Mustapha Sakmud (kanan) ketika sesi temu bual 'Borak STEM' bersama media di Kuala Lumpur.
Katanya, bagi membolehkan golongan mahasiswa mendapat gambaran serta pengalaman industri sebenar, KPT juga memberikan peluang interaksi buat mereka dengan pengurusan tertinggi daripada pelbagai syarikat gergasi ternama.
"Kita panggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dari syarikat seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Proton, Celcom, AirAsia dan lain-lain untuk berinteraksi dengan mahasiswa supaya mereka dapat merasai pengalaman industri sebenar.
"Kita akan pastikan pelajar kita semuanya 'hands on', dengan menggunakan transisi 'based work learning', melibatkan 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori di bawah konsep 2U2I, iaitu dua tahun di universiti dan dua tahun industri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi temu bual 'Borak STEM' bersama media di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Setiap pelajar kelulusan STEM mendapat pasaran tinggi apabila mereka memasuki alam pekerjaan kelak. — Gambar hiasan
Dalam pada itu Mustapha turut menjelaskan beberapa inisiatif diambil KPT dalam memastikan setiap pelajar kelulusan STEM mendapat pasaran tinggi apabila mereka memasuki alam pekerjaan kelak.
Katanya, kolaborasi bersama pihak universiti telah mula melibatkan aktiviti kokurikulum berasaskan teknologi terkini supaya graduan terus mendapat pekerjaan dengan gaji bersesuaian.
"KPT sentiasa menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda negara dengan gaji premium.
"Setakat ini, kita telah mewujudkan program Perantisan Ijazah (Degree Apprenticeship) bermula dgn Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), supaya setiap mahasiswa mempunyai mentor tersendiri.
"Kita mahu pelajar universiti tempatan boleh bekerja di lapangan, jangan ada graduan yang tukar lampu pun tidak pandai," tambahnya.
Mustapha Sakmud (tengah) ketika memberikan penghargaan kepada Pandai Education di KL Gateaway Residence, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut berkenaan teknologi kecerdasan buatan (AI), Mustapha berkata, Malaysia memerlukan lebih 200,000 pakar menjelang 2030.
Bagaimanapun, pencapaian negara ketika ini telah berjaya melahirkan 1,800 pakar melibatkan 13 buah universiti dalam masa setahun.
Fakulti AI pertama negara ketika ini tersedia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ia merupakan antara langkah KPT bagi memastikan negara bersedia memenuhi keperluan industri serta syarikat pelabur asing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram