MENGGALAS tanggungjawab sebagai ibu tunggal bukanlah sesuatu yang mudah.
Meskipun penuh liku dan cabaran, Nor Sabella Melan, 36, hanya fokus menguruskan hidup, membesarkan anak tunggalnya, Muhammad Rafiq Danish, 19, dengan penuh kasih sayang.
Mahu melihat anaknya membesar dengan jayanya, Nor Sabella sentiasa melakukan yang terbaik buat anak lelakinya agar tidak terkesan dengan konflik penceraiannya bersama bekas suami.
"Istimewanya Muhammad Rafiq adalah dia satu-satunya anak saya. Saya tak ada anak lain. Selepas melahirkan dia, saya disahkan ada masalah kesihatan, jadi peluang saya untuk ada anak lagi sangat tipis," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Lumpuh bukan halangan, perjuangan remaja di Syria tuntut ilmu jadi pembakar semangat komuniti OKU
Nor Sabella (kanan) dan Muhammad Rafiq (kiri). — Facebook
Mengenang kembali detik-detik getir sepanjang bergelar ibu tunggal, Nor Sabella sama sekali tidak menyesal dengan keputusan sepakat untuk tidak mengambil sebarang hak penjagaan penuh terhadap Muhammad Rafiq.
Bahkan, Nor Sabella juga tidak kedekut untuk berkongsi kasih sayang itu dengan ahli keluarga bekas suaminya.
"Muhammad Rafiq dibesarkan oleh ibu dan ayah bekas suami sejak umurnya kira-kira empat tahun.
"Kami buat keputusan itu sebab kita masing-masing masih muda ketika itu dan tahu tentang kesan penceraian terhadap emosi anak.
"Jadi, kita putuskan untuk tinggalkan dia dalam satu suasana keluarga dan tak masuk campur urusan itu. Maksudnya, kita bagi dia faham tentang penceraian ini secara natural," jelasnya sambil menambah bahawa dia masih memantau dan melawat Muhammad Rafiq tanpa halangan.
Walaupun tidak lagi tinggal bersama, Nor Sabella dan bekas suaminya tetap berusaha untuk menjaga hubungan baik dengan anak mereka.
Nor Sabella sentiasa menyokong dan menjadi tulang belakang buat anak tunggalnya. — Facebook
Mengakui perjalanan tersebut bukanlah mudah, Nor Sabella tidak menafikan bahawa pernah berasa kecewa dengan situasi yang dihadapinya itu.
"Pernah suatu masa waktu itu pula musim perayaan dan dia bersama ayahnya yang bekerja di Singapura dan rancangan saya nak ambil anak tak menjadi.
"Jadi, situasi begitu kadang kala buatkan saya rasa susah nak hidup seperti ini selamanya. Tetapi, saya perlu berkorban sebab Muhammad Rafiq pun ada perasaan.
"Saya tak boleh tunjuk marah dan emosi saya kerana takut akan beri kesan buruk kepada dia," jelasnya.
Dalam situasi yang penuh cabaran itu, Nor Sabella dan bekas suaminya juga memutuskan untuk tidak menceritakan segala-galanya kepada Muhammad Rafiq tentang perceraian mereka.
Meskipun anaknya itu seorang yang pendiam dan tidak banyak bercerita, namun Nor Sabella tetap percaya bahawa Muhammad rafiq tetap dapat merasai emosi ibu bapanya.
"Kalau berkumpul di rumah bersama pun kami tak pernah bincang tentang penceraian di hadapan dia. Biarkan dia faham sendiri secara perlahan-lahan," ujarnya.
Bercerita lanjut, lumrah anak remaja yang semakin membesar ke alam dewasa, Nor Sabella tidak menolak bahawa terdapat perubahan ketara dilihat pada Muhammad Rafiq.
Menurut Nor Sabella, anak tunggal kesayangannya itu semakin matang dan lebih memahami keadaan keluarganya.
"Dia sangat matang untuk usianya. Masa dia tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SP)M), dia terus kerja.
"Saya selalu cakap pada dia, 'mummy dan papa susah nak cari duit, nak bayar sekolah, nak bayar semuanya, kenalah belajar berdikari'," tambahnya.
Nor Sabella juga sering menerapkan untuk tidak sentiasa memaksa dan sabar dengan perubahan emosi anaknya.
Melihat situasi itu, Nor Sabella juga mampu menjadi inspirasi kepada wanita termasuk ibu tunggal lain yang mempunyai perjalanan hidup sama sepertinya.
Pesannya, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting serta bersikap lebih terbuka demi mencipta kenangan baharu buat anak-anak.
"Anak-anak dalam keluarga yang berpecah ni, emosi mereka kita tak tahu. Kadang-kadang mereka pandai sembunyikan perasaan.
"Jadi, kita perlu lebih mengalah. Untuk cipta kenangan baharu, jangan biarkan mereka terus hidup dalam kenangan pahit.
"Jangan terlalu menguasai. Jangan jadi terlalu keras. Kita perlu jadi kawan pada anak kita supaya mereka selesa untuk berkongsi perasaan dengan kita," ucapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram