Sekolah 49 murid di Pekan buktikan mampu jadi wakil, harum nama Malaysia di peringkat global


  • Massa
  • Khamis, 07 Nov 2024

Murid SK Padang Rumbia menjadi wakil Malaysia ketika pertandingan robotik di Bangkok pada Ogos lalu.

TERLETAK lebih 30 kilometer (km) jauhnya di dalam kawasan kampung, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Rumbia, Pekan, Pahang ternyata bukanlah calang-calang sekolah.

Meskipun ia tergolong dalam kategori sekolah kurang murid dengan jumlah keseluruhan hanya seramai 49 orang, hal ini tidak pernah menjadi penghalang bagi mereka untuk terus melangkah maju.

Sekolah tersebut juga kira-kira 90 peratus muridnya adalah daripada golongan asnaf.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Malah, sekolah kecil seperti itu secara tidak langsung mampu menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih inklusif.

Setiap pelajar juga mudah mendapat perhatian daripada guru sekali gus membolehkan murid mengembangkan potensi masing-masing dengan lebih efektif.

WhatsApp Image 2024-11-07 at 16.07.25

SK Padang Rumbia tergolong dalam kategori sekolah kurang murid.

Jika dilihat sekadar daripada jumlah muridnya sahaja, pasti ramai yang tidak menyangka bahawa mereka mampu mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Belum cukup setahun terlibat dalam bidang reka bentuk dan teknologi (RBT), murid SK Padang Rumbia membuktikan keupayaan apabila memenangi tempat kedua dalam pertandingan robotik peringkat Asean di Bangkok, Thailand dan johan dalam pertandingan sama di peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada Ogos lalu selain menerima beberapa lagi anugerah lain di peringkat antarabangsa.

Terbaharu, dua murid perempuan pula akan dihantar untuk mewakili Malaysia bagi pertandingan Makex Robotik: Wolrd Championship 2024 di Shenzhen University Town Space Sports Center, China pada Disember ini.

Bukan sekadar menggalas tanggungjawab sebagai pendidik, Mazlan Muhamad Yusof, 43, berperanan penting dalam memberi tunjuk ajar dengan penuh sabar dan teliti terhadap murid-muridnya.

Bermula dari 2018, Mazlan bergiat aktif dalam dunia robotik dan pernah membawa wakil-wakil Malaysia untuk bertanding di peringkat antarabangsa sebanyak empat kali iaitu di Guangzhou, Yantai, China; Korea sebelum bertugas di SK Padang Rumbia.

WhatsApp Image 2024-11-07 at 16.07.26

Para peserta yang memenangi tempat kedua dalam pertandingan di Bangkok.

Hasil titik peluhnya selama 18 tahun, Mazlan juga pernah memenangi anugerah mentor terbaik di Guangzhou pada 2019 dan kemudiannya ditawarkan biasiswa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Teknologi Pendidikan dan menjalankan kajian tentang modul robotik di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga kini.

Kata Mazlan, aturan meluaskan lagi modul robotik yang selari dengan silibus atau mata pelajaran RBT diteruskan apabila mula bertugas pada Mac lalu.

"Walaupun saya nampak memang terhad daripada segi bakat sebab jumlah muridnya yang sedikit, tetapi kita masih cuba buat saringan untuk kenal pasti mereka yang berbakat.

"Disebabkan sekolah kami tak ramai dan masih belum cukup peralatan untuk berlatih, kebanyakannya memang akan buat latihan di rumah saya.

"Itu persiapan ketika pertandingan di Bangkok, tetapi untuk pertandingan kali ini kami ada sediakan tempat lebih sesuai dan efektif bagi mereka berlatih," katanya kepada Majoriti.

Persiapan terbang ke Shenzhen

Mazlan berkata, dalam mempersiapkan diri ke pertandingan di Shenzhen nanti, pihaknya akan meningkatkan lagi kualiti latihan yang lebih intensif.

Beliau menjelaskan bahawa para peserta kebiasaannya melibatkan kawalan robot secara manual dan memerlukan kemahiran menggunakan alat kawalan jauh.

WhatsApp Image 2024-11-07 at 16.07.26 (1)

Nurfakhira Aisyah (kiri) dan Nur Zuhaira (kanan) ketika bertanding di Bangkok.

"Tetapi, kita juga bebas untuk kita mengubah suai ataupun menambah baik robot termasuk aksesori dan sebagainya mengikut kreativiti kita.

"Pertandingan ini juga memerlukan murid mengatur cara atau memprogramkan robot supaya dapat menjalankan dan melaksanakan misi-misi yang telah ditetapkan.

"Antara misi yang robot perlu buat adalah mengangkat objek dan membawanya ke tempat ditetapkan. Contohnya, mengalihkan dan menyusun kiub-kiub abjad," jelasnya.

Para peserta yang terlibat dalam pertandingan itu terdiri daripada dua pelajar SK Padang Rumbia iaitu Nurfakhira Aisyah Mohd Fazli, 11, dan Siti Sofiyya Muhamad Hasanul Maaruf, 8, serta ditambah dengan dua lagi wakil dari SK Temai, Pekan, Norsyera Shariena Abdullah, 12, dan Nur Zuhaira Aisyah Zaulkafly, 8.

Bagi Nurfakhira, minatnya dalam dunia robotik mula timbul secara mendalam selepas diajar oleh gurunya merangkap sifunya, Mazlan di sekolah.

Meskipun ia merupakan pertandingan kali ketiganya, keterujaan dan rasa gementar itu tidak pernah hilang.

“Saya memang rasa semangat dan teruja sebab pernah juga masuk pertandingan di Bangkok sebelum ini.

“Untuk pertandingan kali ini, saya akan buat yang terbaik dan selalu berlatih guna controller (alat kawalan jauh) di rumah.

“Saya pastikan akan menang nanti,” katanya.

WhatsApp Image 2024-11-07 at 16.07.27

Pertandingan yang membawa imej Malaysia di persada dunia.

Menjadi satu-satunya wakil Orang Asli, Norsyera berazam mahu membuktikan kemampuan dirinya ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, walaupun tidak berpeluang melakukan latihan di rumah kerana ketiadaan peralatan yang cukup, Norsyera mengambil langkah untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan di sekolah bagi mempersiapkan diri ke Shenzhen.

“Kami berempat selalu belajar sama-sama. Macam belajar kedudukan dan kawalan robot itu,” katanya.

Dua kali terlibat dalam pertandingan robotik seperti Nurfakhira, Nur Zuhaira kini sedang mempersiapkan dirinya untuk lebih yakin terutamanya dalam berkomunikasi.

Katanya, bahasa merupakan cabaran terbesar untuk membolehkannya memahami sesuatu arahan atau misi yang diberikan.

Justeru, Nur Zuhaira mengambil keputusan untuk mempertingkatkan kemahiran asas berbahasa Inggeris.

“Selepas balik dari Bangkok, saya pergi kelas tambahan untuk belajar bahasa Inggeris,” jelasnya.

WhatsApp Image 2024-11-07 at 16.07.26 (3)

Para peserta yang berani terbang jauh dengan sokongan dan dorongan keluarga.

Pengorbanan dan sokongan keluarga

Siapalah mereka tanpa dorongan dan sokongan keluarga terutamanya ibu bapa yang menjaga mereka bagai menatang minyak yang penuh.

Demi melihat kejayaan anak, ibu Siti Sofiyya, Siti Nur Afisah Mat Sot sanggup mengeluarkan kos perbelanjaan lebih RM3,000 sebagai bayaran penginapan dan pengangkutan tambahan untuk bersama-sama di China.

“Saya memang sokong apa yang dia minat dan bila tengok kesungguhannya saya kena bersama dia juga sebab dia tak pernah ke luar negara sebelum ini,” katanya.

Sama seperti ibu bapa peserta lain yang turut sanggup mengeluarkan sejumlah wang hampir RM10,000 untuk bersama-sama memberi semangat kepada anak-anak ketika pertandingan di China itu.

Meskipun ada yang tidak berkemampuan untuk melakukan perkara tersebut, namun doa dan harapan tetap mengiringi mereka seperti ibu kepada Norsyera yang hanya mampu memberi dorongan dari jauh.

“Sebagai ibu, saya bangga juga sebab jarang sekali ada anak Orang Asli dapat masuk pertandingan seperti ini.

“Saya memang bagi sokongan penuh dan harap dia boleh buat yang terbaik,” jelasnya.

WhatsApp Image 2024-11-07 at 16.07.27 (1)

Che Hanapi (kanan) dan Muhamad Najmi (kiri) menjadi antara individu penting dalam menyokong para peserta.

Sementara itu, pertandingan tersebut turut menerima sokongan padu KPM selari dengan matlamat kerajaan untuk memperluaskan lagi bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Proses persiapan peserta-peserta untuk menghadapi pertandingan akhir World Robot Contest Makex Asian Championship di Shenzhen juga banyak mendapat sokongan daripada Yayasan Allammiyyah.

Yayasan yang diterajui oleh Muhamad Najmi Mohd Aris, 49, itu memainkan peranan penting dalam membantu sekolah tersebut antaranya melalui pencarian dana untuk program pertandingan, mempromosikan peserta-peserta di dalam media serta mengaturkan pertemuan mereka dengan pemimpin-pemimpin negara.

Inisiatif Yayasan Allammiyyah itu jelas membuktikan komitmen dalam memberi sokongan kepada golongan asnaf, fakir miskin dan sekolah pondok agar mereka mendapat pendedahan serta peluang bersaing di pentas dunia.

Menjadi tulang belakang sekolah, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Che Hanapi Che Hassan, 44, merupakan antara individu penting dalam menjayakan setiap penglibatan murid dan guru di SK Padang Rumbia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram