TERRARIUM atau lebih dikenali sebagai taman mini di dalam kaca bukanlah hanya sekadar hiasan kosong.
Bagi pengasas bersama Serendipity In Green, Tara Tan, terrarium merupakan sebuah terapi hidup yang menyembuhkan jiwa dan anggota badan.
Memulakan perjalanan dalam bidang tanaman lebih enam tahun lalu, Tara membawa misi untuk menghubungkan manusia supaya dapat kembali bersatu dengan alam semula jadi.
Terrarium merupakan tanaman hiasan yang diletakkan di dalam botol kaca.
Jika dilihat dari mata kasar, ia mungkin dianggap palsu dek pelbagai hiasan diletakkan di dalamnya.
"Memang ramai orang tak tahu apa itu terrarium. Mereka fikir ia cuma hiasan atas meja.
"Tetapi, saya selalu tekankan bahawa ia lebih daripada itu kerana melibatkan tanaman hidup.
"Dalam dunia yang serba sibuk dan penuh tekanan ini, menyentuh dan merawat tanaman kecil dalam kaca sebenarnya memberi ketenangan yang luar biasa," katanya kepada Majoriti.
Di samping memberi kesedaran melalui bengkel-bengkel yang diadakan, Tara tidak hanya mengajar cara-cara menghias terrarium mereka.
Tara juga menyampaikan mesej bahawa ia antara cara efektif atau alternatif dalam proses penyembuhan diri khususnya dari sudut emosi.
Katanya, itu juga menjadi pilihan terbaik buat individu yang bekerja dan tidak mempunyai cukup masa untuk beriadah ke taman atau menikmati keindahan hutan semula jadi.
Bengkel terrarium juga boleh dilakukan di tempat kerja.
"Saya sendiri memperoleh inspirasi daripada alam semula jadi dan mahu membawa elemen-elemen tersebut ke dalam ruang hidup kita.
"Dengan menambah tanah, pasir dan batu kecil, terrarium dapat memberi pengalaman baharu bagi mereka yang lebih gemar dengan konsep lebih 'hidup'.
"Ini adalah cara kita merasai sedikit ketenangan dan keseimbangan kehidupan," jelasnya.
Meskipun tidak semua orang biasa dengan terrarium, Tara berusaha keras untuk memperkenalkan konsep tersebut kepada lebih ramai orang.
"Tahu tak, kebanyakan orang baru tahu tentang terrarium selepas mereka hadir ke bengkel saya.
"Banyak yang terkejut, 'oh, rupanya ini bukan hanya pasu kecil dalam kaca!’.
"Apa yang saya ajar bukan hanya tentang tanaman, tetapi tentang mengambil waktu untuk menenangkan diri, mengurangkan tekanan dan mengingati kembali keindahan alam," katanya lagi.
Berkongsi serba sedikit tentang pengalamannya ketika baru memulakan bengkel dan jualan terrarium, dia menyedari manfaat penjagaan tanaman hiasan tersebut ketika sedang hamil anak pertamanya.
Tanaman itu juga boleh diletakkan di dalam bekas kaca bersaiz besar mengikut cita rasa anda.
Menurutnya, sepanjang menjalani proses kehamilan selama sembilan bulan, Tara mempunyai minda dan jiwa yang tenang apabila fokus dengan penjagaan terrariumnya.
"Biasanya, orang kata wanita yang mengandung mempunyai perubahan emosi ketara.
"Saya sampai tak ada teringin mahu makan makanan pelik pada waktu malam.
"Lebih mengejutkan lagi apabila saya boleh menyiapkan 150 bungkus hadiah sempena Krismas hingga pukul 10 malam ketika usia kandungan mencecah sembilan bulan.
"Bahkan, pada waktu mahu melahirkan bayi di hospital juga, emosi saya tidak terganggu dan tenang," kongsinya.
Bukan itu sahaja, terdapat testimoni daripada pekerja korporat yang dapat mengurangkan tekanan dengan hanya memandang tanaman terrariumnya selama beberapa minit.
Jelasnya, setiap bengkel yang diadakan di tempat kerja bukan sahaja bertujuan untuk belajar menghasilkan hiasan terrarium yang cantik.
"Kami selalu merancang aktiviti untuk syarikat-syarikat, di mana pekerja dapat berinteraksi dan berkumpul bersama.
"Ini adalah cara kami menggalakkan kesihatan mental di tempat kerja iaitu dengan mencipta persekitaran lebih hijau dan menyebarkan udara segar," tambahnya.
Cara penjagaannya yang mudah sangat sesuai dengan kehidupan masyarakat moden kini.
Katanya, setiap tanaman dalam terrarium itu membawa keseimbangan dan keharmonian.
Menjaga terrarium juga tidak sukar dan hanya memahami bahawa suhu, cahaya dan kelembapan adalah kunci utama kepada penjagaannya.
Ia jelas menunjukkan bahawa terrarium merupakan pilihan ideal untuk kehidupan moden.
"Tanaman ini sangat mudah untuk dijaga. Anda tak perlu berusaha keras, asalkan tahu cara mengurusnya dengan betul.
"Dengan hanya cahaya daripada lampu dan renjisan air juga sudah memadai untuk ia terus hidup," pesannya.
Tara pada masa sama ingin menyebarkan mesej penting tentang kepentingan menjaga alam.
Baginya, setiap terrarium adalah simbol penting bukan hanya untuk manusia, tetapi untuk masa depan bumi.
"Mari kita sama-sama berhenti sejenak, ambil nafas dan menghargai keindahan kecil yang ada di sekitar kita," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram