Polis sahkan 32 individu cedera kilang kimia meletup di Klang


  • 112
  • Selasa, 21 Jan 2025

Keadaan kerosakan akibat letupan di sebuah kilang kimia di kawasan perindustrian Sungai Kapar Indah pada Isnin.

POLIS mengesahkan seramai 32 individu cedera dalam kejadian letupan di kilang pemprosesan bahan kimia kitar semula di Taman Perindustrian Kapar Indah, Klang, Selangor pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, individu yang cedera berumur antara 20 hingga 40 tahun dan berada di sekitar kawasan kejadian ketika letupan berlaku.

"Kesemua mereka adalah penduduk tempatan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tunku Ampuan Rahimah.

"Mereka juga dibenarkan pulang ke rumah, tiada kecederaan serius dilaporkan," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan

BACA LAGI: [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye

Sementara itu, tinjauan media di lokasi pada petang Selasa mendapati bahawa polis, anggota bomba dan pegawai dari Pejabat Kesihatan Klang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Nor Aziah Jaafar dilaporkan berkata, kecuaian dan pelanggaran syarat lesen menjadi antara yang akan disiasat berhubung kejadian tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal menunjukkan letupan itu adalah disebabkan oleh bahan kimia yang disimpan di dalam kawasan kilang tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram