[VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan


  • Benua
  • Ahad, 19 Jan 2025

Tangkap layar video dua lelaki menjalani ritual adat suku Dayak untuk membongkar misteri kematian seorang wanita bernama Esther di Kalimantan baru-baru ini. — Agensi

KISAH dua lelaki menjalani ritual adat suku Dayak untuk membongkar misteri kematian seorang wanita bernama Esther telah menarik perhatian ramai di media sosial baru-baru ini.

Ritual itu dilakukan selepas keluarga mangsa mencurigai salah seorang lelaki, Roy, yang juga suami Esther, sebagai suspek utama dalam kes tersebut.

Ritual yang dikenali sebagai Dolop telah diadakan di Sungai Tulin, Kampung Semunad dekat Kalimantan Utara, Indonesia pada Jumaat lalu dan melibatkan Roy bersama ayah kandung Esther sendiri.

BACA LAGI: [VIDEO] Budak lelaki parah, melambung ke udara selepas bakar mercun dalam sistem pembetungan di China

BACA LAGI: [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye

Timbalan Pengerusi Lembaga Adat Dayak Agabag, Sati Baru berkata, ritual Dolop merupakan tradisi masyarakat Dayak Agabag yang digunakan untuk menentukan pihak yang bersalah apabila usaha mencari pelaku pembunuhan Esther gagal mencapai penyelesaian.

"Esther dilaporkan meninggal dunia secara mengejut pada malam Tahun Baharu 2025.

"Keadaan jasadnya menimbulkan tanda tanya apabila keluarga mendapati kesan luka, lebam, dan garis biru di leher mangsa. Mereka juga menemui luka di kepala serta lebam di kaki mendiang pada hari kedua selepas kematiannya.

"Kecurigaan terhadap Roy semakin kuat apabila dia dilihat meminum minuman keras sekitar pukul 2 pagi pada malam kejadian oleh penduduk kampung.

"Walaupun motif pembunuhan tidak jelas, keluarga percaya pengaruh alkohol mungkin menyebabkan Roy hilang kawalan dan bertindak tanpa sedar," ujar Sati Baru.

Ritual Dolop: Penentuan pihak bersalah

Dalam prosesi ritual, Roy dan ayah mangsa yang tidak didedahkan namanya diminta menyelam di Sungai Tulin selama mungkin.

Mengikut tradisi, individu yang muncul terlebih dahulu ke permukaan air akan dianggap sebagai pihak bersalah.

Ritual itu dimulakan dengan upacara pemanggilan roh nenek moyang dan penandaan kawasan ritual menggunakan kayu rambutan hutan.

Rakaman video yang tular menunjukkan Roy dan ayah mendiang berdiri di sisi sungai sebelum menyelam.

Setelah beberapa minit, Roy muncul lebih awal ke permukaan air, menyebabkan penduduk yang menyaksikan ritual itu berteriak dan berdasarkan keputusan ritual itu, Roy didapati bersalah.

62e6048751d5c

Suku kaum Dayak Agabag percaya individu yang muncul terlebih dahulu ke permukaan air akan dianggap sebagai pihak bersalah dalam ritual Dolop. — Gambar Hiasan/Agensi

Mengikut adat Dayak Agabag, hukuman asal bagi kes pembunuhan adalah 'nyawa dibalas nyawa'.

Namun, atas pertimbangan undang-undang dan agama, hukuman tersebut digantikan dengan denda adat.

Roy diwajibkan menyerahkan seekor lembu dewasa, kain tradisional suku Dayak Agabag, sebuah tempayan adat, wang tunai dan beberapa barang yang lain.

Hukuman itu juga bertujuan menebus kesalahannya dan memberikan keadilan kepada keluarga mangsa.

Kes tersebut menjadi bukti pentingnya peranan adat dalam menyelesaikan konflik dalam kalangan masyarakat Dayak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram