[VIDEO] Pakaian sampai hangus, 13 pekerja rentung dalam letupan loji proses nikel di Indonesia


  • Benua
  • Isnin, 25 Dis 2023

Rakaman yang dikongsi dengan AFP menunjukkan kepulan asap keluar dari kemudahan itu dengan pertolongan kecemasan dilihat diberikan sementara pekerja hanya mampu melihat insiden yang berlaku.

SEKURANG-kurangnya 13 orang terkorban dan 38 lagi cedera dalam kejadian letupan di sebuah loji pemprosesan nikel yang dibiayai China dekat Timur Indonesia pada Sabtu.

Menurut jurucakap kompleks berkenaan, insiden kemalangan di loji milik PT Indonesia Tsingshan Stainless Steel (ITSS) di Taman Perindustrian Morowali dekat wilayah Sulawesi Tengah itu berlaku pukul 5.30 pagi (waktu tempatan) Sabtu.

“(Jumlah kematian) meningkat seorang, daripada 12 kepada 13,” katanya dalam satu kenyataan yang turut memaklumkan jumlah mereka tercedera kini disemak semula dan menurun kepada sebanyak 38 mangsa.

Mangsa maut terdiri daripada lapan warga Indonesia dan lima pekerja China.

Siasatan awal menunjukkan letupan berlaku semasa kerja pembaikan pada relau apabila cecair mudah terbakar itu dinyalakan dan menyebabkan letupan yang menjadi punca tangki oksigen berhampiran turut meletup, kata pegawai itu.

Api telah dipadamkan pada pagi Sabtu, menurut kenyataan tersebut.

Pulau Sulawesi ialah hab untuk pengeluaran nikel, logam asas yang digunakan untuk bateri kenderaan elektrik dan keluli tahan karat, dan pelaburan Beijing yang semakin meningkat telah mencetuskan keresahan terhadap keadaan di kemudahannya.

Tsingshan Holding Group, pengeluar nikel terbesar dunia dan pembuat keluli tahan karat terbesar China, mempunyai pegangan majoriti dalam ITSS yang merupakan penyewa di kompleks perindustrian itu.

Majoriti pegangan terhadap kemudahan perindustrian itu juga dimiliki oleh Tsingshan bersama rakan kongsi tempatan, Bintang Delapan.

Firma yang mengendalikan kompleks perindustrian itu berkata, pihaknya "sangat sedih dengan bencana yang berlaku, terutamanya bagi keluarga mangsa yang terjejas".

Firma itu berkata, mayat beberapa mangsa dikenal pasti sudah diterbangkan pulang.

Rakaman yang dikongsi dengan AFP menunjukkan kepulan asap keluar dari kemudahan itu dengan pertolongan kecemasan dilihat diberikan sementara pekerja hanya mampu melihat insiden yang berlaku.

Gambar yang dikongsi kepada AFP menunjukkan mayat mangsa dilihat disusun berbaris di atas beg mayat berwarna jingga di dalam sebuah bilik dekat salah sebuah klinik di kompleks perindustrian itu.

“Muka mereka melecur, pakaian mereka semua hangus,” kata seorang pekerja di kompleks perindustrian itu kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Pemangku ketua daerah Morowali, Rachmansyah Ismail memberitahu penyiar Kompas TV bahawa sehingga petang Sabtu, 25 daripada yang cedera melibatkan 15 warga Indonesia dan 10 warga asing telah segera dikejarkan ke hospital selepas letupan itu.

Daripada jumlah itu, 17 cedera parah manakala lapan cedera sederhana, katanya.

Pada Januari lalu, dua pekerja termasuk seorang warga China terbunuh di kilang peleburan nikel di taman perindustrian yang sama selepas rusuhan tercetus semasa protes mengenai syarat keselamatan dan gaji.

Kebakaran maut bukan perkara luar biasa di Indonesia, sebuah negara yang luas dengan lebih 250 juta penduduk yang menyaksikan sering berlakunya pelanggaran peraturan keselamatan.

Pada Jun lalu, kebakaran di loji yang sama menyebabkan seorang maut dan enam lagi cedera dalam satu insiden yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan di kemudahan yang dibiayai dan dikendalikan oleh syarikat China.

Kemudahan tempat rusuhan dan kebakaran itu berlaku dikendalikan oleh PT Gunbuster Nickel Industry (GNI), unit tempatan Jiangsu Delong Nickel Industry China. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram