DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneroka cadangan penutupan jalan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur demi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa bagaimanapun mengingatkan bahawa perkara itu tidak semudah disangka.
Jelasnya, satu penilaian menyeluruh perlu dijalankan pada aliran trafik kawasan tersebut dengan ia boleh membawa impak besar yang tidak diingini di kawasan lain.
BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Bongkar! Modal keras, kedai vape kena gelapkan cermin
BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Perokok, vape perhabis ribuan ringgit setahun
“Kami telah menguji inisiatif yang sama di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang tahun lepas untuk mengoptimumkan budaya berjalan kaki di 'Shibuya Crossing' Jalan Sultan Ismail namun situasi bertukar menjadi huru-hara.
“Persimpangan itu adalah zon pejalan kaki paling tinggi di mana laluan sehala ditukar buat sementara waktu menjadi jalan dua hala.
“Bagaimanapun, ia menyebabkan kesesakan yang ketara di kawasan lain seperti Jalan Imbi.
“Selepas percubaan selama seminggu, penasihat trafik DBKL membuat kesimpulan bahawa ia tidak boleh dikekalkan dan Jalan Sultan Ismail telah dikembalikan kepada sistem sehala seperti sedia kala pada Julai tahun lalu,” jelasnya.
Dr Zaliha menjelaskan perubahan laluan boleh memberi impak besar di kawasan lain.
'Shibuya Crossing' Kuala Lumpur diinspirasikan daripada Shibuya Scramble Crossing yang terkenal di Tokyo, Jepun.
Terletak di hadapan pintu keluar stesen Hachiko di Shibuya, Tokyo, penutupan lalu lintas dari semua arah itu membolehkan pejalan kaki membanjiri seluruh persimpangan di sekitar kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, Shibuya Scramble Crossing versi Kuala Lumpur itu telah diperkenalkan di Bukit Bintang pada 19 Jun 2021 hasil kajian terperinci dijalankan DBKL.
“Memandangkan percubaan kami di Jalan Sultan Ismail tidak berjaya, kami memutuskan untuk menguji semula konsep itu di KLCC.
“Kali ini, kami menggunakan video dan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mensimulasikan kesan penutupan jalan tertentu terhadap aliran trafik keseluruhan bandar.
“Jika berlaku gangguan lalu lintas, AI pun boleh mengenal pasti situasi sedemikian.
“Kami menjemput ahli jawatankuasa Kabinet berkaitan kesesakan lalu lintas (JKMJR), termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Bandar dan wakil Kementerian Pengangkutan untuk berbincang mengenai cadangan tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menutup bahagian utama Jalan Bukit Bintang bagi menangani kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
Cadangan penutupan tersebut menyasarkan laluan sesak antara Pavilion Kuala Lumpur dan Jalan Pudu, dengan tujuan mengurangkan kesesakan di laluan Segi Tiga Emas di bandar berkenaan.
Terkenal dengan aktiviti festival saban minggu, Bukit Bintang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan warga asing ekoran fasiliti dan tarikan premis jualan makanan yang pelbagai.
Tambahnya, satu perbincangan dengan pihak berkepentingan sedang dijalankan untuk menilai kebolehlaksanaan mengubah hala kenderaan dan mewujudkan zon mesra pejalan kaki.
Beliau menekankan bahawa komunikasi awam yang berkesan menjadi faktor penting untuk menjayakan cadangan tersebut. — The Star/BAVANI M
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram