[VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Perokok, vape perhabis ribuan ringgit setahun


  • Massa
  • Khamis, 28 Nov 2024

Laporan Malaysia Factsheet The Asean Tobacco Atlas 2019 mendedahkan, hampir 30,000 anggaran kematian direkodkan setiap tahun angkara tabiat merokok. — Gambar hiasan

MEROKOK bukan sekadar tabiat, tetapi bagi sesetengah individu, ia sebagai ‘peneman setia’ ketika mendepani tekanan.

Menurut laporan Malaysia Factsheet The Asean Tobacco Atlas 2019, dianggarkan hampir 30,000 kematian direkodkan setiap tahun angkara tabiat merokok.

Angka menggerunkan itu menyebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) perkenalkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), bertujuan mengurangkan penggunaan rokok dan produk tembakau termasuk larangan merokok di tempat awam dan pengurangan iklan tembakau.

Walaupun, kos sekotak rokok mencecah RM17.70 tetapi faktor harga bukan halangan kepada perokok untuk membelinya setiap hari.

BACA LAGI: Isteri tak endah suami rogol anak hingga lahirkan 2 zuriat

BACA LAGI: PRK KKB: Pinjam along, sampul raya antara 4 kontroversi hangatkan suhu minggu pertama kempen

Walaupun, kos sekotak rokok mencecah RM17.70 tetapi faktor harga bukan halangan kepada perokok untuk membelinya setiap hari. — Gambar Hiasan

Tinjauan Majoriti, mendapati ramai ‘kaki rokok’ menjadikan rokok sebagai pendamping setia.

Perokok tegar, Ilham Abdullah, 37, berkata dia menghabiskan lebih RM400 sebulan dengan purata 10 batang rokok sehari. Katanya, pengambilan rokok dapat mempengaruhi emosi dan tahap produktivitinya.

"Sebab ketagih dengan nikotin, kalau tiada rokok, saya rasa macam lemah dan tak produktif. Saya jadi murung dan cepat marah," katanya.

Walaupun menyedari kerugian kewangan yang ditanggung, Ilham tidak pernah bercadang untuk berhenti kerana berpendapat merokok membantunya dalam menjalankan tugas harian.

"Ia membantu saya macam makan, jadi saya tak pernah terfikir untuk berhenti," jelasnya.

Seorang lagi yang ditemui, Nasir (bukan nama sebenar), 48, menyifatkan rokok sebagai ‘peneman setia’ ketika menghadapi pelbagai masalah.

"Selain isteri saya, rokok juga boleh memahami saya. Kalau saya ada masalah, dia saja yang faham, seolah-olah dia peneman hidup," katanya.

Nasir mengakui dia menghabiskan sekotak rokok dalam tempoh dua hari.

"Cuma dalam empat atau lima batang sehari. Saya merokok sewaktu bergaul dengan orang sekeliling sahaja," tambahnya.

Menyedari kepulan asap yang dihembuskan mampu membunuh orang sekeliling juga, Nasir enggan merokok di rumah kerana tidak mahu membahayakan keluarganya.

Bagi Wahab (bukan nama sebenar), 49, dia terjebak dengan aktiviti merokok sejak berusia 16 tahun sekali gus menjadikan rokok sebagai sebahagian daripada kehidupannya.

Wahab pernah mencuba berhenti beberapa kali, namun ketagihan yang melampau membuatkan dia hanya mampu bertahan dalam tempoh seminggu.

"Saya hanya memerlukan sehari untuk habiskan sekotak. Saya merokok sekadar untuk mengisi masa lapang," katanya.

Meskipun pernah beralih ke vape untuk menggantikan rokok, Wahab mengakui bahawa ia tidak dapat menepati keinginannya.

Dengan kos yang lebih rendah, vape menawarkan cecair nikotin dengan rasa yang dianggap lebih 'nyaman' terhadap persekitaran berbanding rokok konvensional. — Gambar hiasan

Vape: Pilihan atau Perangkap Baharu?

Satu lagi fenomena yang membimbangkan adalah penggunaan vape sebagai alternatif kepada rokok yang menjadi semakin popular dalam kalangan bekas perokok. Namun, adakah vape benar-benar menjadi penyelesaian atau ia hanya mengubah ketagihan dalam bentuk baharu?

Dengan kos yang lebih rendah, vape menawarkan cecair nikotin dengan rasa yang dianggap lebih 'nyaman' terhadap persekitaran berbanding rokok konvensional.

Beralih kepada penggunaan vape, Majoriti menemu bual beberapa pengguna vape yang kebanyakannya merupakan bekas perokok.

Tidak dinafikan, vape lebih murah berbanding rokok, dengan kos bulanan antara RM150 hingga RM300, ketagihan terhadap vape juga bukan sesuatu yang mudah untuk dihentikan.

Syawal (bukan nama sebenar), 33, seorang pengguna vape sejak 2017 berkata, dia mula beralih kepada vape selepas terpengaruh dengan rakan-rakannya.

Ujarnya, dia lebih tertarik pada rasa dan ‘aroma’ yang dihasilkan daripada cecair nikotin berkenaan.

"Pada mulanya saya cuba vape untuk rasa, tetapi bau dan rasanya lebih menyenangkan berbanding rokok. Orang sekeliling pun lebih suka kerana bau vape tak kuat seperti rokok,” ujarnya.

Walaupun dia sedar akan kesan buruk vape terhadap kesihatan, Syawal turut tidak terkecuali menganggapnya sebagai peneman setia.

"Dah terbiasa, setiap kali bangun tidur mesti cari vape dulu. Tanpa vape, saya rasa bosan dan hilang arah," katanya.

Walaupun ada rancangan untuk berhenti, dia mengakui ia bukan perkara yang mudah kerana sudah terbiasa dan berasa janggal jika tidak menghisapnya.

Sementara itu, Naim (bukan nama sebenar), 32, yang beralih kepada vape kerana lebih jimat, menghabiskan sekitar RM180 sebulan.

"Vape lebih murah daripada rokok, dan saya lebih suka rasa vape. Saya terfikir untuk berhenti, mungkin dalam lima tahun lagi," jelasnya.

Berbeza dengan Alex (bukan nama sebenar), 46, yang baru mula menggunakan vape tahun lalu, dia tidak menganggap vape sebagai penyelesaian untuk stres.

"Kalau ada vape, okay. Kalau tiada pun, saya tetap okay," katanya, sambil menambah bahawa dia bercadang untuk beralih kepada vape tanpa nikotin sebelum berhenti sepenuhnya.

Biarpun ramai pengguna merokok dan vape sedar akan kesan buruk ketagihan ini, cabaran besar tetap wujud dalam usaha untuk berhenti. Tekanan hidup, keinginan nikotin, dan kebiasaan rutin menjadikan usaha berhenti lebih sukar.

Bagi mereka yang bergantung pada rokok atau vape sebagai ‘pelarian’ dari tekanan mental, tabiat ini bukan sahaja menjadi masalah kesihatan, tetapi turut menjejaskan kualiti hidup.

Berdasarkan reaksi daripada para perokok dan pengguna vape ini, jelas bahawa kedua-dua produk tembakau dan cecair nikotin berfungsi sebagai peneman yang memberikan ketenangan sementara bagi mereka.

Namun, adakah ini penyelesaian yang sebenar atau hanya jalan pintas yang menambah masalah kesihatan?

Bagi mengetahui lebih lanjut, Majoriti akan mendalami pandangan pakar psikiatri mengenai hubungan rokok dan vape dengan psikologi manusia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram