
ROKOK dan vape sering menjadi topik perbincangan yang kontroversi dalam kalangan masyarakat, baik dari sudut kesihatan mahupun ekonomi. Walaupun kedua-duanya sering dikaitkan dengan kesan buruk terhadap kesihatan, populariti vape telah melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai alternatif kepada rokok tradisional.
Di Malaysia, industri ini berkembang dengan kedai-kedai vape muncul di hampir setiap pelosok bandar. Namun, di sebalik keghairahan terhadap trend ini, persoalan mengenai pengawalan dan peraturan terus menghantui industri tersebut.
Memahami kesan sosial dan ekonomi yang dibawa oleh industri vape, pihak kerajaan tidak berdiam diri. Melalui pengenalan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), usaha untuk mengawal penggunaan produk nikotin semakin diperketatkan.
BACA LAGI: GTSM nafi dakwaan teksi terbakar di Merlimau berpunca daripada kebocoran tangki gas NGV
Kerajaan turut mengambil langkah mengharamkan beberapa jenis vape termasuk vape pakai buang. — Gambar hiasan
Akta tersebut bukan sahaja memberi fokus kepada kesihatan awam, tetapi juga menyentuh isu pelesenan, sekatan pengiklanan, dan peraturan ketat terhadap peniaga vape. Langkah ini dianggap penting, namun ia turut mencetuskan dilema bagi mereka yang bergantung kepada industri ini sebagai sumber rezeki.
Susulan pengumuman akta yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu itu, individu yang terlibat dalam perniagaan vape dilihat semakin tertekan khususnya berkaitan pelesenan.
Dapatan itu adalah hasil tinjauan Majoriti dengan melakukan penyamaran di beberapa kedai menjual produk cecair nikotin tersebut di sekitar Petaling Jaya, Selangor.
Penjaga kedai vape, Asrul (bukan nama sebenar) berkata, perniagaan vape di bawah jagaannya kini sukar untuk mendapatkan lesen baharu ekoran tidak mendapat kebenaran daripada pihak KKM.
"Buat masa ini, KKM memang tak benarkan kami untuk dapatkan lesen. Kami pun pening sebab kedai sedang beroperasi, tetapi mereka kata lesen tak boleh diperbaharui.
"Pihak berkuasa ada juga datang dan kami menerangkan situasi sebenar kepada mereka bagi mengelak daripada disaman," katanya kepada Majoriti.
Seorang lagi penjaga di sebuah cawangan vape terkemuka, Azim (bukan nama sebenar) berkata, selain proses pelesenan yang rumit, premis juga perlu membelanjakan wang dalam jumlah yang banyak bagi melakukan pengubahsuaian mengikut standard yang ditetapkan.
"Kami perlu menggelapkan cermin kedai untuk tutup semua. Lepas tu nak kena ada pelekat larangan kanak-kanak masuk dan juga poster larangan vape. Dalam kedai pun tak boleh vape," ujarnya.
Dengan lesen operasi yang sukar diperoleh dan sekatan peraturan yang ketat, banyak kedai vape terpaksa gulung tikar. Hanya perniagaan dengan connection besar dan modal kuat yang mampu terus bertahan.
“Kalau kapital tak kuat, perniagaan akan mati. Banyak kedai kecil tutup kerana tidak dapat bertahan,” jelas Azim.
Walaupun masih beroperasi, namun mereka berusaha meneruskan perniagaan tanpa melanggar undang-undang.
Bagi penjualan vape kepada golongan bawah umur pula, rata-rata daripada mereka mengambil serius terhadap larangan tersebut.
Lebih membimbangkan, ada segelintir daripada pembeli dalam golongan itu yang bertindak memarahi penjual vape selepas gagal mendapatkan produk terbabit.
Selain itu, beberapa produk vape yang popular turut diharamkan berikutan rupa bentuknya menyerupai mainan yang mampu menarik perhatian golongan tersebut khususnya pelajar sekolah sekali gus menyukarkan ibu bapa untuk mengesan. Lebih parah, ada juga vape yang direka seperti pen.
Vape yang direka bentuk seperti pen bagi menarik perhatian sekali gus mengelak dikesan daripada orang sekeliling.
"Vape pakai buang pun diharamkan. Vape yang bentuk macam mainan pun tak boleh jual dah," jelas Azim.
Antara peruntukan larangan dalam Akta 852 ialah larangan pengiklanan yang mana peniaga vape tidak dibenarkan menjalankan aktiviti promosi atau mempamer produk tembakau melainkan jika jualan itu mematuhi kehendak sebagaimana yang ditetapkan.
Justeru, mereka ini bagaikan tiada pilihan selain terpaksa akur dengan larangan berkenaan demi meneruskan kelangsungan hidup dan memuaskan keinginan 'kaki vape'.
"Nak taknak kita kena terima sebab untuk Akta 852 ni bagi cawangan kami okay je. Sebab kami memang fokus kepada jualan walk in. Ada juga kedai yang memberi tumpuan terhadap jualan dalam talian.
"Macam dulu, kami ada jual online tapi sekarang dah tak boleh jadi kami terpaksa akur," katanya.
Bagi peniaga vape di Malaysia, akta baharu ini ibarat 'langkah kanan langkah kiri' yang mana ia memberi manfaat dengan melindungi kesihatan awam, tetapi pada masa sama menyukarkan peniaga kecil untuk terus bertahan.
Mereka kini terpaksa mencari jalan untuk terus ‘berpaut’ dalam industri yang semakin mencabar, sambil memastikan perniagaan mereka tidak melanggar undang-undang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram