FELLA Design melancarkan koleksi perabot terbaharu, Farmhouse Collection yang direka khas untuk memenuhi cita rasa rakyat Malaysia dengan menampilkan gabungan gaya tradisional dan moden.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fella Design, Yu Kong Cing berkata, koleksi tersebut terdiri daripada tiga konsep utama iaitu Classic Cottage, Rustic Farmhouse dan Modern Farmhouse yang memenuhi keperluan pelbagai segmen pasaran.
“Setiap konsep direka untuk menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan moden, menampilkan butang ikonik Chesterfield, rekaan klasik dikenali ramai dan keanggunan yang kekal sepanjang zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Hari Terbuka Farmhouse Fella Design di bilik pameran baharunya dekat Lorong Gopeng, Taman Golf, Ipoh, Perak pada 11 Januari lalu.
Kong Cing turut menjelaskan bahawa koleksi berkenaan mengambil inspirasi daripada minat rakyat Malaysia terhadap kehijauan, sambil menyesuaikan rekaan dengan keperluan moden.
“Fella Design dahulunya lebih cenderung kepada rekaan tradisional dan klasik. Namun , kini kami menggunakan warna-warna polos dengan rekaan lebih moden dan kemas.
“Kami juga menawarkan pilihan fabrik yang boleh disesuaikan dengan pelbagai warna dan rekaan mengikut keutamaan pelanggan,” katanya.
Sofa berkonsepkan Classic Cottage merupakan antara koleksi terbaharu Farmhouse Collection. — Instagram/felladesign
Menurut Kong Cing, koleksi itu akan dipamerkan di semua 16 bilik pameran Fella Design di seluruh negara.
“Koleksi ini pertama kali dipamerkan di ibu pejabat dekat Shah Alam, Selangor diikuti Juru, Pulau Pinang; Bangi, Selangor dan Taman Seputeh di Kuala Lumpur.
“Bilik pameran di Ipoh adalah lokasi kelima dan kami merancang untuk menaik taraf semua cawangan, berkemungkinan pada suku kedua tahun ini,” tambahnya.
Fella Design turut menyediakan pengalaman membeli-belah lebih praktikal dengan memaparkan suasana seperti bilik tidur.
Pusat sehenti
Sementara itu, Pengurus Operasi Kanan, J Jeya Kumar memberitahu, bilik pameran Fella Design bukan sekadar ruang mempamerkan produk, bahkan turut menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih praktikal.
Jelasnya lagi, perabot jenama tersebut dipaparkan dalam pelbagai suasana seperti bilik tidur, ruang tamu dan ruang makan, lengkap dengan gabungan serta padanan (mix and match) untuk memudahkan pelanggan.
“Bilik pameran kami akan menjadi pusat sehenti untuk pelanggan mendapatkan inspirasi dan memilih perabot yang sesuai.
"Sambutan terhadap koleksi ini sangat positif sejak dilancarkan tahun lalu dan kita merancang untuk terus memperkenalkan konsep baharu dalam masa terdekat,” katanya. — The Star/IVAN LOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram