[VIDEO] 'Orang tak kenal seni ini,' artisan Mohd Azwarin kongsi punca telepuk sukar dikomersialkan


  • Bizz
  • Ahad, 19 Jan 2025

Telepuk melibatkan teknik yang sangat teliti, dengan serbuk emas atau perak ditekap pada kain menggunakan acuan khas. — Instagram/azwarinahmed

SENI hiasan tekstil tradisional telepuk yang dahulunya terkenal di negeri Tanah Melayu kini berdepan cabaran besar untuk dikomersialkan dalam pasaran moden.

Meski dianggap salah satu warisan budaya yang unik, pelbagai faktor menyumbang kepada kesukaran untuk menjadikannya relevan dalam konteks industri masa kini.

Hal itu diakui sendiri oleh artisan telepuk, Mohd Azwarin Ahmed ketika ditemui Majoriti pada Pameran Seni Telepuk sempena Majlis Pelancaran Buku Telepuk, Forgotten of Gold di Pustaka Raja Tun Uda Seksyen 13, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung

WhatsApp Image 2025-01-17 at 11.21.40

Mohd Azwarin cenderung mengambil tempahan berbanding menyiapkan telepuk dalam kuantiti banyak secara serentak.

Ujar beliau, kurang pengetahuan tentang cabang seni ini menyukarkan usaha mereka mengkomersialkannya di pasaran umum.

Akuinya, proses penghasilan rumit dan nilai seni telepuk yang tinggi sering kali diabaikan.

Justeru tanpa kesedaran tentang usaha di sebalik setiap helaian fabrik, ramai masih keberatan untuk membayar pada harga premium.

“Kekangan utama (untuk mengkomersialkan telepuk) adalah kerana orang tidak kenal seni ini.

"Jika buat ready stock, contohnya tanjak berasaskan telepuk saya letak harga RM3,000, (pasti) orang akan terkejut.

"Mereka akan bandingkan dengan tanjak biasa RM30 tanpa memahami proses kerja, nilai seni dan bahan seperti kertas emas 24 karat yang digunakan.

"Kalau dilihat mereka lebih menghargai dan akan membeli pakaian bertelepuk," katanya.

Snapinst.app_473963335_18342290917148856_8923684862022519859_n_1080

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan melawat Pameran Seni Telepuk sempena Majlis Pelancaran Buku Telepuk, Forgotten of Gold. — Instagram/yayasan_hasanah

Fokus tempahan

Berikutan itu, artisan berusia 44 tahun tersebut cenderung mengambil tempahan berbanding menyiapkannya dalam kuantiti yang secara pukal.

Kongsi Mohd Azwarin, kebiasaannya beliau akan bertanya kepada pelanggan modal diperuntukkan sebelum bersetuju mengambil tempahan.

"Biasanya saya bertanya kepada pelanggan, berapa modal diperuntukkan? Bunyi macam kasar, tapi penting untuk saya mengira bajet rekaan yang sesuai.

"Proses tempahan bermula dengan perbincangan rekaan. Saya akan guna pelekat fluorescent untuk susun bunga dan tunjuk pelanggan kedudukan corak sehingga mereka berpuas hati,” jelasnya.

Snapinst.app_43913273_346432952771874_4366612077040331872_n_1080

Telepuk melibatkan teknik serbuk emas atau perak ditekap pada kain menggunakan acuan khas. — Instagram/azwarinahmed

Jaga tingkah laku ketika pakai

Telepuk melibatkan teknik yang sangat teliti, serbuk emas atau perak ditekap pada kain menggunakan acuan khas.

Proses tersebut bukan sahaja memerlukan kemahiran tinggi, bahkan memakan masa yang lama.

Pemakaian telepuk bukan sahaja memerlukan rasa hormat terhadap nilai sejarahnya, malah harus menitikberatkan penjagaan rapi agar ia kekal terpelihara.

Berbicara lanjut, Mohd Azwarin juga menjelaskan pemakai perku menjaga pergerakan sepanjang memakainya.

"Telepuk memang pakaian istiadat, maka perlu menjaga tingkah laku dan pergerakan.

"Selepas digunakan, bahagian telepuk harus dilipat ke dalam semasa disimpan untuk mengelakkan oksida atau sebarang geseran yang boleh merosakkannya," jelas beliau.

Snapinst.app_469399838_1481402085867934_882940656272688011_n_1080

Proses menghasilkan seni telepuk bukan sahaja memerlukan kemahiran tinggi, bahkan memakan masa yang lama. — Instagram/azwarinahmed

Cerita artisan itu lagi, seni halus yang pernah digunakan di seluruh negeri Tanah Melayu tersebut kini lebih banyak ditemukan dalam artifak di muzium.

Beliau memberitahu bahawa Selangor, Terengganu, Kedah dan Johor antaranya memiliki rekod seni telepuk lebih banyak berbanding negeri lain.

“Negeri lain mungkin ada, tapi jumlahnya sangat sedikit atau mungkin sudah tiada langsung,” tambah Mohd Azwarin.

Telepuk adalah warisan seni yang memerlukan penghargaan lebih mendalam.

Hanya dengan memahami usaha dan nilai di sebalik setiap helaian, seni ini dapat dikekalkan dan dihargai generasi akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram