'Semua milik ALLAH', Rumah Aman Sungai Buloh beri sinar baharu buat kanak-kanak terabai


  • Massa
  • Rabu, 15 Jan 2025

Pelbagai aktiviti dan peluang pendidikan diberikan kepada setiap kanak-kanak di Rumah Aman, Sungai Buloh, Selangor.

SETIAP kanak-kanak tanpa mengira latar belakang berhak untuk hidup dalam persekitaran yang sihat dan penuh dengan kasih sayang.

Justeru, ruang dan peluang untuk golongan tersebut untuk belajar, berkembang dan mencapai potensi penuh menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat.

Menyokong usaha tersebut, Rumah Aman Children's Home di Sungai Buloh, Selangor menjadi pusat penjagaan memberi perlindungan kepada kanak-kanak memerlukan, khususnya yang terperangkap dalam kes-kes pengabaian atau kecuaian ibu bapa.

BACA LAGI: Pernah hampir bertumbuk dengan Pak Arab, pekerja khidmat pelanggan seronok belajar ragam manusia melalui pelancongan

BACA LAGI: 'Fikir 2 kali sebelum buat jenayah', anggota polis auto kejung ketika demo 'taser gun' PDRM

a77

Rumah Aman yang diasaskan oleh Abdul Rehman Dakri sejak 2005.

Sejak penubuhannya pada 2005, Rumah Aman berusaha untuk menyediakan tempat berlindung dan sokongan bagi mereka yang tiada tempat bergantung.

Pentadbir Rumah Aman, Abang Arizuan Abang Arabi, 38, berkata, kebanyakan anak-anak itu diberi peluang terutamanya daripada segi pendidikan dan latihan kemahiran.

Abang Arizuan berkata, Rumah Aman juga membantu mereka menyertai pelbagai program praktikal untuk menambah pengalaman dan meningkatkan peluang kerjaya di masa hadapan.

Anak-anak di rumah kebajikan tersebut turut dijaga sehingga usia 17 tahun.

6068720435299729915

Setiap kanak-kanak di Rumah Aman diberi peluang untuk meneruskan hidup seperti orang lain.

Namun, persoalannya, ke manakah mereka akan pergi selepas mencapai usia tersebut?

"Biasanya, kami akan bagi pilihan. Misalkan, mereka tak ada mana-mana tempat nak pergi. Kita bagi mereka peluang untuk duduk dan timba pengalaman di sini sementara waktu.

"Kalau mereka ada yang minat dalam bidang kulineri, kami akan hantar mereka ke institut pengajian tinggi (IPT) berkenaan. Tetapi, kalau ada yang keluar awal itu selalunya bergantung kepada kes melibatkan perintah mahkamah," katanya kepada Majoriti.

Katanya, sekiranya mereka mempunyai ahli keluarga terdekat atau sanak-saudara yang boleh menjaga mereka, maka pihak Rumah Aman akan menyerahkan tanggungjawab itu semula.

6068720435299729914

Abang Arizuan (duduk, empat dari kiri) bersama anak-anak di Rumah Aman.

Meskipun kapasiti tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan, Rumah Aman terus komited dalam menjaga dan membantu anak-anak jagaan mereka dengan melalui pelbagai inisiatif.

"Pastinya kami perlu selidik dahulu latar belakang sebelum terima mereka masuk di Rumah Aman terutamanya kategori yatim piatu dan asnaf.

"Jika mereka memang betul tidak diberi hak pendidikan, jadi mereka boleh diterima dan tak perlu bayar apa-apa kerana pihak pengurusan akan mencari dana untuk menampung kos di sini.

"Antara anak-anak yang paling muda kami terima adalah tujuh sehingga 10 tahun," jelasnya.

Sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan dan tidak berasaskan keuntungan, Rumah Aman juga mengharungi pelbagai cabaran dalam memastikan kelangsungan operasi.

6068720435299729916

Pelbagai kemudahan dan fasiliti disediakan demi menjaga kebajikan anak-anak di Rumah Aman.

Antara cabaran terbesar adalah daripada sudut kewangan walaupun pihak pengurusannya menerima sumbangan daripada individu atau organisasi luar.

Kata Abang Arizuan, kos untuk makanan dan operasi harian di rumah kebajikan itu sangat bergantung kepada dana sumbangan diterima bagi memastikan setiap anak yang dijaga mendapat makan dan perlindungan secukupnya.

Baginya yang sudah berkhidmat sejak 2017, komitmen, semangat dan tawakal menjadi asas utama dalam menjalankan pusat kebajikan itu.

"Semenjak saya bekerja memang belum pernah ada lagi berdepan dengan kekurangan barang keperluan seperti makanan.

"Bersyukur juga kepada pengasas Rumah Aman, Abdul Rehman Dakri bersama isterinya, Mehrunessa Dakri yang sangat berdedikasi menjalinkan hubungan baik dengan organisasi lain.

"Tahap tawakal kami di sini memang tinggi kerana pengasasnya sangat berpegang teguh dengan prinsip rumah kebajikan ini semua milik ALLAH," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram