'Sedih tiada tapi kadang-kadang rindu', penghuni paling lama Rumah Aman 'hilang' ibu bapa teringin sambung belajar di UM


  • Massa
  • Jumaat, 17 Jan 2025

Pelbagai aktiviti dapat dilakukan anak-anak di Rumah Aman pada waktu lapang.

DI luaran tampak tenang, namun Tuhan sahaja yang tahu perasaan dan naluri seseorang manusia.

Begitu juga dengan penghuni paling lama di Rumah Aman Children's Home Sungai Buloh, Selangor.

Meskipun baru berusia 17 tahun, Muhammad Wafiq Abdul Rahman matang dalam berkata-kata dan menjawab segala persoalan ketika ditemu bual.

BACA LAGI: 'Semua milik ALLAH', Rumah Aman Sungai Buloh beri sinar baharu buat kanak-kanak terabai

BACA LAGI: 'Kami macam ibu bapa mereka', warden Rumah Aman belajar selami kehidupan kanak-kanak tiada keluarga

6073297689321259782

Kanak-kanak berusia muda yang sering menjadikan Muhammad Wafiq sebagai rujukan.

Lebih 10 tahun menjadi penghuni di rumah kebajikan itu, Muhammad Wafiq menunjukkan contoh ketabahan dan semangatnya menghadapi cabaran hidup.

Mula menjalani kehidupan sejak berumur lima tahun, remaja itu ternyata tidak tahu keberadaan mahupun status kedua ibu bapanya sehingga kini.

Berkongsi pula waktu mula menjejakkan kakinya ke dalam Rumah Aman, Muhammad Wafiq tidak menyangka ia merupakan momen terindah buatnya.

"Saya datang dari mahkamah di Kuala Selangor dan diambil oleh Puan Ema Syarina yang saya panggil Ummi (pengetua Rumah Aman).

"Masa masuk sini pun saya rasa teruja sebab dapat jumpa dengan ramai kawan.

"Nak kata ada rasa tertekan sebab tiada mak ayah itu tidak sebab kalau musim cuti, saya akan duduk dengan ibu angkat di Ijok, Selangor," katanya kepada Majoriti.

6073297689321259785

Setiap kanak-kanak diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti kegemarannya di Rumah Aman.

Kata Muhammad Wafiq, aktiviti harian di Rumah Aman juga tidak kurang seronoknya apabila dapat meluangkan masa bersantai selain menuntut ilmu di sekolah.

Menurutnya, mereka dibenarkan membuat aktiviti seperti bermain bola, permainan video di komputer, menonton televisyen serta beriadah di sekitar Rumah Aman.

Baginya, kehidupan di Rumah Aman lebih teratur walaupun ia sedikit berbeza dengan dunia luar.

Pun begitu, perasaan rindu terhadap ibu bapanya tidak dapat dielakkan.

"Sedih tiada tapi kadang-kadang ada rasa rindu.

"Kalau rasa itu mengganggu mental, saya akan atasinya dengan buat aktiviti yang saya suka seperti bersukan dan melukis," kongsinya.

6073297689321259784

Rakan-rakan di Rumah Aman yang menjadi penguat semangat Muhammad Wafiq.

Muhammad Wafiq pada masa sama sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

Bercerita sedikit tentang perancangan hidupnya selepas SPM, Muhammad Wafiq bercita-cita untuk mengumpul wang bagi melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Katanya, antara impiannya adalah untuk mengambil bidang sukan dan menjadi seorang atlet, khususnya dalam sukan bola tampar.

"Saya nak jadi atlet dan wakil negara untuk bola tampar.

"Saya teringin juga terokai dunia luar dan masuk institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Malaya (UM)," ujarnya.

Muhammad Wafiq juga berazam untuk menjadi insan yang lebih baik bagi memastikan kejayaannya dalam SPM nanti.

Katanya, rutin hidupnya juga akan diperbaiki bagi memudahkannya menyerap segala ilmu dipelajari.

"Saya nak ubah gaya hidup dan mula buat jadual belajar.

"Saya juga cuba untuk bangun awal pagi untuk belajar sebelum ke sekolah," ujarnya.

Seperti remaja lain, Muhammad Wafiq turut merasai kegembiraan melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan di Rumah Aman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram