LEBIH satu abad lalu, Shell mencatat sejarah dengan penemuan telaga minyak pertama di Bukit Kanada, Miri, Sarawak.
Penemuan itu bukan sahaja menjadi pencetus kepada pembangunan sektor tenaga Malaysia, malah membentuk asas kepada legasi panjang syarikat ini dalam menyediakan tenaga untuk negara.
Kini, Shell Malaysia melangkaui aktiviti huluannya dengan menawarkan pelbagai produk inovatif sambil membina legasi yang memberi tumpuan kepada rakyat.
BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung
Dalam industri tenaga yang menuntut pengurusan sumber secara cekap, kepimpinan kukuh dan kebijaksanaan adalah elemen penting.
Kepimpinan efektif memastikan operasi berjalan lancar, pematuhan protokol keselamatan ketat dan inovasi berterusan untuk menghadapi cabaran landskap tenaga yang sentiasa berubah.
Kepimpinan dalam peralihan global
Menerajui Shell Malaysia kini ialah Siti Hurrairah Sulaiman, wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Negara Shell Malaysia dan juga Naib Presiden Kanan Perniagaan Huluan di Malaysia.
Pelantikannya hadir pada saat kritikal, yakni ketika dunia beralih ke arah kelestarian dan penyelesaian tenaga rendah karbon.
Sejak 2023, di bawah kepimpinan Siti Hurrairah, Shell Malaysia berjaya menangani cabaran seperti medan minyak matang dan perubahan permintaan pasaran.
Antara inisiatif utama ialah projek Sarawak Integrated Sour Gas Evacuation System (SISGES), kerjasama dengan Petronas yang memanfaatkan sumber gas berasid Sarawak untuk meningkatkan kestabilan tenaga tempatan sambil mengurangkan pergantungan kepada import.
Projek itu turut mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam pengendalian gas berasid yang mencabar.
Siti Hurrairah merupakan wanita pertama dilantik Pengerusi Negara Shell Malaysia.
Komitmen kelestarian
Selaras matlamat kelestarian global, Shell Malaysia memperkenalkan beberapa projek inovatif seperti platform Gorek yang dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga solar dan platform Timi dengan sistem hibrid solar dan angin.
Usaha tersebut mencerminkan komitmen syarikat minyak dan gas tersebut dalam menghasilkan lebih banyak nilai dengan pelepasan karbon minimum.
Menurut Siti Hurrairah, matlamat utama syarikat adalah untuk menjadi peneraju tenaga bersih dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Strategi global Shell, Powering Progress, memandu syarikat ini ke arah peralihan tenaga sambil menyeimbangkan keperluan tenaga semasa dan masa depan.
Di Malaysia, usaha itu disokong oleh National Energy Transition Roadmap, yang mengiktiraf kepentingan minyak dan gas sebagai sebahagian besar sumber tenaga negara sehingga 2050.
Antara inovasi lain, Shell bekerjasama dengan kerajaan dan Petronas dalam teknologi Carbon Capture and Storage (CCS), yang menangkap dan menyimpan karbon dioksida untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Teknologi itu dijangka memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia sebagai hab penyimpanan karbon serantau, menarik pelaburan asing, mencipta peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
Matlamat utama Shell Malaysia menjadi peneraju tenaga bersih dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Memperkasa generasi muda
Siti Hurrairah juga memberi tumpuan pada pembangunan bakat muda melalui program seperti NXplorers, yang telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar sekolah menengah dan 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi.
Program berkenaan menggalakkan pelajar berfikir secara kritikal dan mencipta penyelesaian lestari untuk cabaran global.
Salah satu kejayaan terbesar ialah inovasi tiga pelajar SMK Bintulu yang mencipta sistem tempat letak kereta pintar berasaskan teknologi Internet Kebendaan (IoT), dikenali sebagai EZ Park.
Inovasi itu bukan sahaja berjaya memenangi pertandingan peringkat kebangsaan tetapi juga mendapat pengiktirafan global, termasuk jemputan ke Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat (AS).
Buat wanita yang ingin menceburi industri minyak dan gas, Siti Hurrairah turut menekankan pentingnya untuk terus memiliki rasa ingin tahu, berdaya tahan dan autentik.
“Cabaran yang anda hadapi adalah peluang untuk mencipta impak bermakna,” katanya.
Dengan kepimpinan yang berpandangan jauh, Shell Malaysia terus memacu usaha untuk memenuhi keperluan tenaga sambil mencapai matlamat kelestarian.
Inisiatif seperti platform tenaga hijau dan teknologi Pusat Kecemerlangan Penyerapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) bukan sahaja menyokong misi kelestarian syarikat tetapi juga memastikan negara kekal relevan dalam lanskap tenaga global yang dinamik. — The Star/HONG HUEY ERN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram