Pernah jadi pembantu peribadi ahli Parlimen, Nurida Suraya kini galas Ketua Pegawai Operasi di Rizman Ruzaini


  • Bizz
  • Isnin, 13 Jan 2025

Nurida Suraya (kanan) diberi peranan untuk melancarkan dan menjaga sistem operasi syarikat yang berkembang saban hari dengan memiliki 100 kakitangan.

BIARPUN persaingan industri fesyen tempatan yang semakin sengit jenama fesyen tempatan tersohor, Rizman Ruzaini melihat cabaran itu sebagai peluang sihat untuk terus menunjukkan kelainan memikat hati pengguna.

Penanda arahnya dapat dilihat menerusi penampilan koleksi Beauty daripada Rizman Ruzaini, tambahan pula tidak banyak jenama fesyen tempatan mengeluarkan rantaian kecantikan di bawah payung sama.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Rizman Ruzaini, Nurida Suraya Mohd Suhaimi, 35, mengakui perkara itu menjadi peluang untuk memasarkan produk dan memberi nilai tambah kepada jenama setanding jenama antarabangsa.

BACA LAGI: [VIDEO] Hantaran premium kreativiti Shajaratul Dur jadi pilihan istiadat perkahwinan diraja puteri Sultan Pahang, orang kenamaan

BACA LAGI: [VIDEO] Bisnes ikan tilapia tak bawa untung, pencinta alam kelahiran Sabah tawar inap desa dengan landskap hijau di Hulu Langat

Dilantik sebagai COO pada 2022, isteri kepada pereka jenama fesyen ternama, Rizman Nordin berkata, beliau diberi peranan untuk melancarkan dan menjaga sistem operasi syarikat yang berkembang saban hari dengan memiliki 100 kakitangan.

"Saya perlu berfikir secara pantas dalam membuat keputusan bagi melancarkan kerja dan memberi kelulusan melaksanakan sesuatu tugas tanpa perlu rujuk kedua-dua pengarah iaitu Rizman dan Ruzaini.

"Visi Rizman Ruzaini adalah untuk menjadikan jenama ini bertaraf dunia dan tanggungjawab ini besar.

"Jadi bagi memastikan visi tercapai kami harus melancarkan sistem operasi, penstrukturan syarikat dan pemasaran bertepatan dengan objektif ditetapkan," kata pemegang Diploma Pegawai Perhubungan Awam itu.

Snapinsta.app_467433244_2308515299498718_717258727922536072_n_1080

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini memiliki wajah persis ratu cantik.

Mengakui bahawa posisi disandang pencapaian terbesar buat dirinya, namun begitu, cabaran menjadi COO dan membawa jenama hebat tersebut bukanlah perkara mudah.

"Saya lihat betapa seriusnya dan kerja keras Rizman dan Ruzaini dalam usaha membangunkan jenama fesyen ini. Perjalanan mereka pun bukan singkat. bahkan mencecah belasan tahun.

"Bukan mudah juga untuk saya menampilkan tahap bertepatan dengan apa dibawa oleh mereka, namun pencapaian mereka menjadi inspirasi buat saya dan anak muda di luar sana," katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang memiliki wajah persis ratu cantik itu menjelaskan, seiring fesyen dunia, Rizman Ruzaini tidak mahu ketinggalan mengetengahkan rantaian Beauty di bawah jenama fesyen tersebut.

"Menggunakan moto pemasaran We bring the best version of you, jenama fesyen Rizman Ruzaini terdiri daripada persalinan, aksesori dan produk kecantikan menerusi segmen perniagaan RR.

"Secara am, produk ditampilkan melengkapi aspek fesyen dan menerusi Beauty in hadir dalam koleksi solekan, siri gincu matte dan haruman," jelasnya.

Peluang jana pendapatan

Pernah menyandang jawatan sebagai pembantu peribadi kepada seorang ahli parlimen, Nurida Suraya memberitahu, bagi membantu ekonomi pelanggan jenama itu terutamanya Bumiputera, sistem ejen turut diketengahkan dengan kaedah lebih sistematik.

Jelasnya, sistem ejen dimulakan dengan produk Beauty, tetapi dikemaskini dan dilancarkan semula agar lebih sistematik bagi memudahkan proses pemasaran tanpa memerlukan mereka memegang produk.

"Produk diuruskan oleh pihak ibu pejabat, namun kami menaiktaraf sistem dengan produk skaf dan tas tangan.

"Kelebihan sistem ini sedikit sebanyak melahirkan usahawan tempatan dan memberi peluang menjana pendapatan dari rumah baik secara sampingan mahupun sepenuhnya," katanya.

Snapinsta.app_463119907_1182299356180993_1542822543641832530_n_1080

Bagi Nurida Suraya, disiplin menjadi kunci utama agar pembahagian masa antara karier dengan peranan sebagai ibu dan isteri dapat dijalankan sebaiknya.

Ketika ditanya mengenai pengurusan jadual kerja dan tugas, ibu kepada Rizqaa Rizman berusia dua tahun empat bulan itu menjelaskan, baginya disiplin menjadi kunci utama supaya pembahagian tugas dijalankan tidak bercanggah.

Wanita ini turut bersyukur apabila dirinya banyak dibantu oleh suami yang berkemahiran sebagai pemimpin.

"Bahkan saya percaya untuk memimpin perlu beri contoh lebih baik kepada yang lain. Saya ingin menjadi contoh kepada pasukan Rizman Ruzaini dan itu dilakukan dengan mengadakan syarat dan disiplin ketat.

"Kerja bermula pada pukul 8 pagi hingga 6 petang dan tambahan dua jam sekiranya perlu tugas lebihan. Selepas itu kami tidak bercakap soal kerja. Ini penting supaya saya dapat membahagikan masa antara ibu dan isteri," tuturnya lagi.

Menjadikan Queen Rania sebagai idola, sebagai isteri kepada pereka fesyen ternama Malaysia, beliau perlu sentiasa bergaya dan mahu menjadi sumber inspirasi kepada wanita di luar sana.

Ditanya mengenai minat fesyen, secara peribadi Nurida Suraya mengakui suka akan persalinan kasual.

"Saya selesa dengan stail kasual dan mengenakan flats. Suami membenarkan saya berpakaian selesa untuk aktiviti santai.

"Namun apabila menjalankan tugas (sebagai) COO, saya perlu menonjolkan cita rasa lebih menyerlah sama juga ketika menghadiri majlis.

"Pun begitu, saya beruntung kerana tatarias ditentukan 100 peratus oleh Rizman dan ia memberi peluang untuk saya menggayakan busana rekaannya yang menjadi dambaan ramai. Namun dia sangat perfectionist," akui anak ketiga daripada enam beradik itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram



Lebih Pilihan