MEMULAKAN kerjaya dalam bidang perakaunan selama lebih sedekad, Setara Begam Iqbal Ahmad, 57, kini mengatur langkah sebagai pengendali agensi pelancongan.
Perjalanan wanita ini dalam industri pelancongan bermula pada 2004 setelah membuat keputusan besar untuk meninggalkan dunia korporat.
Mengakui karier sebagai akauntan memerlukan dirinya menghabiskan banyak masa di tempat kerja menjadi antara faktor utama pengundurannya dalam bidang itu.
BACA LAGI: Ambil iktibar tragedi Farah Kartini, wanita perlu belajar seni pertahan diri — Kak Long Zara
Sarah menguruskan agensinya sendiri dengan lebih memberi fokus pada kualiti pengalaman pelancongan.
“Kerja dalam bidang akaun memang mencabar kerana saya sering pulang lewat dan berdepan dengan tarikh akhir yang padat.
"Selepas berkahwin dan mempunyai keluarga, saya mula sedar perlunya lebih masa bersama mereka," katanya kepada Majoriti.
Namun akui Setara Begam, kehidupan selepas berhenti kerja tidak mudah, apatah lagi dia sudah terbiasa dengan rutin harian yang sibuk setiap hari.
Ujar wanita ini, untuk enam bulan pertama, biarpun sibuk menguruskan keluarga, fikiran adakalanya terasa seperti 'beku' disebabkan tiada pekerjaan lain yang boleh dilakukannya.
Sehinggalah takdir mempertemukan wanita berasal dari Sitiawan, Perak ini dengan dunia pelancongan melalui suaminya yang terlebih dahulu memiliki lesen sebagai pemandu pelancong.
“Suami merupakan pesara kakitangan awam, dia yang cadangkan saya ambil kursus pemandu pelancong dan kenalannya dalam bidang ini memberi idea agar memulakan bisnes sendiri.
"Meskipun tiada latar belakang dalam bidang ini, saya memang suka hal berkaitan sejarah dan geografi dan paling penting, saya gemar berkomunikasi dengan orang ramai.
"Itu antara sebab saya memutuskan untuk mengambil lesen. Jadi saya sertai kursus enam bulan dan berjaya memperoleh lesen daripada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya)," bicaranya.
Setara Begam atau lebih mesra disapa Sarah Iqbal memulakan kerjaya sebagai pemandu pelancong bebas untuk pelancongan domestik selama tiga tahun sebelum mula membawa kumpulan pelancong ke luar negara.
Destinasi pertama yang dikendalikannya ialah Jakarta dan Bandung di Indonesia.
“Selepas itu, saya terus dapat peluang bawa sekumpulan pelancong ke Sepanyol. Agak mendebarkan tetapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
"Keyakinan saya mula bertambah selepas pengalaman itu,” katanya.
Sarah cenderung mengadakan lawatan ke satu atau dua negara supaya mereka lebih menikmati suasana.
Fokus satu atau dua negara
Kini, Sarah menguruskan agensinya sendiri dengan lebih memberi fokus pada kualiti pengalaman pelancongan.
Anak sulung daripada dua beradik ini berkata, dia cenderung mengadakan lawatan secara mendalam ke satu atau dua negara berbanding melawat banyak negara dalam masa singkat.
“Saya suka berterus terang dengan pelanggan. Jika pergi banyak negara dalam satu lawatan, mereka mungkin tidak puas.
"Trend (pelancongan) selepas Covid-19 juga menunjukkan rakyat Malaysia lebih gemar akan percutian yang begitu, supaya mereka lebih menikmati suasana berbanding perlu terkejar-kejar," jelasnya yang sudah melancong ke lebih 55 negara.
Bercerita lanjut, ibu tiga anak ini mengakui, mengimbangi kos dan kualiti adalah antara cabaran utama dalam industri tersebut.
Persaingan sengit ujarnya, wujud dalam kalangan agensi pelancongan apabila masing-masing berlumba untuk menawarkan pakej harga lebih rendah demi menarik perhatian pelanggan.
"Namun, saya pastikan setiap pakej yang ditawarkan memberikan nilai yang sesuai dengan harga kerana ini soal kepercayaan dan reputasi," jelasnya.
Sarah akan pastikan pelancong memahami cabaran berbeza di destinasi tertentu.
Jujur dengan pelanggan
Wanita ini percaya bahawa kejujuran adalah kunci kepada kejayaannya.
Sarah juga tegas dalam memastikan pelancong memahami cabaran berbeza di destinasi tertentu, sebelum membuat keputusan untuk ke sana.
"Ada negara yang kurang kemudahan seperti tandas awam bersih atau hotel yang selesa. Saya akan terangkan keadaan sebenar supaya mereka bersedia.
“Biar pelanggan tahu keadaan sebenar supaya mereka akan lebih menghargai perkhidmatan kita.
"Memang ada kenalan yang mempersoalkan tindakan saya, namun itu cara saya. Saya tidak mahu timbul masalah atau ketidakselesaan buat pelancong,” tambahnya.
Destinasi unik
Kongsinya lagi, dia kini mula merancang untuk menerokai destinasi unik seperti Pakistan dan kawasan lain yang jarang ingin dikunjungi rakyat Malaysia.
“Saya mahu membawa pelancong ke tempat-tempat baharu. Ini sesuatu yang mencabar, tetapi saya suka cabaran dan menjadi satu kepuasan apabila melihat mereka teruja,” katanya.
Dengan lesen sebagai pemandu pelancong seumur hidup, Sarah terus aktif menyumbang kepada industri pelancongan sambil mengekalkan semangatnya untuk mengembara dan bertemu orang baharu.
“Kejayaan datang apabila kita ada minat dan kesungguhan dan lakukan sesuatu pekerjaan dengan ikhlas,” tuturnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram