Klinik kesihatan 1960-an di Muar dinaik taraf, beroperasi di dewan serba guna sementara waktu


  • Primer
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Klinik Kesihatan Gersik di Muar yang dibina sejak 1960-an sedang dinaik taraf. — The Star

KLINIK Kesihatan Gersik di Muar, Johor perlu beroperasi di dewan berhampiran buat sementara waktu disebabkan premisnya sedang dinaik taraf.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tiang Soon berkata, klinik kesihatan awam itu tidak menjalani sebarang pengubahsuaian sejak ia dibina sekitar 1960-an.

"Struktur utama klinik masih diperbuat daripada kayu.

"Sudah tiba masanya klinik ini dinaik taraf besar-besaran demi keselesaan pesakit.

"Pejabat Kesihatan Muar juga mengutamakan klinik ini sebagai antara yang akan dinaik taraf pada 2025," katanya sambil menambah bahawa projek itu akan mengambil masa kira-kira sembilan hingga 10 bulan untuk disiapkan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Hayyan nak ucap terima kasih', ibu bapa cari hero selamat budak lemas di Kolam Air Panas Gadek

BACA LAGI: 'Patut sedekah untuk keluarga susah', budaya conteng baju lepasan SPM dianggap biadab dan perlu dihentikan

Untuk memberi laluan kepada projek itu, operasi klinik dipindahkan ke dewan serba guna yang jauhnya kira-kira 300 meter (m).

Katanya, projek itu tidak sepatutnya mengganggu operasi klinik kerana dewan tersebut sudah dijadikan sebagai kemudahan perkhidmatan kesihatan sementara dengan menyediakan bilik kecemasan.

"Klinik ini biasanya menerima kira-kira 200 pesakit setiap hari," katanya.

Beliau menambah, Kementerian Kesihatan (KKM) juga menaik taraf 55 klinik termasuk klinik desa dalam tempoh dua tahun lalu.

"Jabatan Kesihatan Negeri kini sudah mengenal pasti 45 lagi klinik untuk dinaik taraf.

"Kami berharap usaha kami juga akan membantu meningkatkan standard operasi penjagaan kesihatan untuk rakyat," jelasnya. — The Star/YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram