[VIDEO] 'Hayyan nak ucap terima kasih', ibu bapa cari hero selamat budak lemas di Kolam Air Panas Gadek


  • Tular
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Tangkap layar video kejadian lemas melibatkan seorang kanak-kanak berumur lima tahun di Kolam Air Panas Gadek, Alor Gajah, Melaka pada 11 Januari lalu.

IBU bapa seorang kanak-kanak berusia lima tahun memohon bantuan orang ramai untuk menjejaki beberapa individu terlibat dalam operasi menyelamat anaknya yang hampir lemas di Kolam Air Panas Gadek, Alor Gajah, Melaka pada 11 Januari lalu.

Menerusi video tular di media sosial sejak Sabtu, kanak-kanak yang dikenali sebagai Hayyan itu berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Dalam video berasingan, bapanya memanjatkan rasa syukur terhadap kebaikan yang dilakukan terhadap anaknya itu.

BACA LAGI: 'Patut sedekah untuk keluarga susah', budaya conteng baju lepasan SPM dianggap biadab dan perlu dihentikan

BACA LAGI: [VIDEO] Selamba seret besi, 'rider' bawa muatan berat bahayakan pengguna jalan raya di Sarawak

Mengimbau kembali detik cemas itu, mereka mendapati anaknya hilang daripada pandangan selama beberapa saat sebelum diberitahu tentang kejadian.

Namun, keluarga itu juga bernasib baik apabila Hayyan dapat dikeluarkan dari kolam serta diberi bantuan kecemasan dengan pantas.

"Waktu itu, saya tengok anak kami sudah tak bernafas, badan kaku, lemah dan muka bertukar biru.

"Syukur, ada beberapa individu tawarkan CPR (bantuan pernafasan) dan bawa ke hospital.

"Alhamdulillah, anak saya sudah pulih dan keluar dari hospital pada Khamis lalu," katanya.

Terhutang budi dengan tindakan itu, kedua ibu bapa mangsa nekad mencari kesemua individu terlibat untuk membalas jasa serta mengucapkan terima kasih.

"Kalau boleh sebarkan video ini sehingga jumpa semua orang yang terlibat dalam menyelamatkan anak kami.

"Sebab kalau bukan sebab mereka, kami tak mungkin akan jumpa anak kami sekarang.

"Hayyan pun nak jumpa mereka untuk ucap terima kasih," jelasnya.

Mereka juga menjejaki seorang wanita yang memberikan bantuan CPR serta seorang lelaki berbaju oren yang bertindak pantas membawa keluar mangsa ketika kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram