TINDAKAN seorang lelaki yang memandu secara berbahaya di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bertam 2/3 Taman Daya dekat Johor Bahru, Johor membawa padah apabila dia ditahan polis pada Khamis.
Melalui beberapa video tular di media sosial, suspek sebelum itu melanggar beberapa buah kenderaan lain sebelum ditahan.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, suspek warga tempatan berusia 39 tahun yang membawa kereta Honda Accord berwarna merah itu pada awalnya dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang melakukan rondaan Op Cegah Jenayah di Jalan Austin Perdana 3 pukul 11.40 pagi Khamis.
"Lelaki itu melarikan diri sejauh kira-kira empat kilometer dengan memandu secara 'zig zag' setelah diarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan.
"Tindakan suspek menyebabkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta Mazda 3 berdaftar di Singapura, Proton Saga dan Peugeot 408.
"Seorang daripada pemandu kereta yang terlibat mengalami kecederaan ringan pada siku kanan dan menerima rawatan di klinik swasta, manakala lelaki itu bersama pemandu kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau lagi, suspek ditahan di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan menemukan 12.99 gram syabu, 13.59 gram heroin, tiga pil yaba dan dua pil erimin 5.
"Suspek juga positif dadah jenis metamfetamina dan amfetamina serta mempunyai 16 rekod lampau kes jenayah dan dadah," katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 dan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram