Keletihan melampau jejas kualiti hidup, anda mungkin alami Sindrom Kelesuan Kronik


  • Sihat
  • Khamis, 16 Jan 2025

Pemeriksaan perubatan amat penting buat individu yang berasa kelesuan melampau. — Gambar Hiasan

TIDUR yang mencukupi setiap malam adalah rutin wajib buat seorang wanita berusia 23 tahun yang berasal dari Ipoh, Perak.

Dalam hantaran di laman X, wanita dikenali dengan nama Tina itu sentiasa memastikan dirinya tidur selama tujuh jam setiap hari untuk mengelakkan kelesuan dan kekal fokus semasa kuliah.

Namun, masalah timbul apabila Tina mendapati dirinya sering berasa letih, mengantuk dan hilang minat untuk beraktiviti.

photo_2025-01-15_12-37-05

Kelesuan melampau boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang.

Keadaan itu semakin merisaukan apabila kelesuan yang dialami hampir menyebabkan beliau terbabas semasa memandu dari Shah Alam, Selangor ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Bimbang dengan keadaan kesihatannya, pelajar jurusan Sains Kemanusiaan di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam itu akhirnya memutuskan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Walaupun hasil pemeriksaan perubatan menunjukkannya sihat, namun doktor mencadangkan agar Tina bertemu pakar kaunseling.

Selepas beberapa sesi kaunseling, dia didiagnosis Sindrom Kelesuan Kronik (CFS) atau Mialgik Ensefalomielitis (ME).

Keadaan itu jarang diketahui, namun semakin mendapat perhatian ahli perubatan berikutan impaknya yang besar terhadap kehidupan seseorang.

BACA LAGI: Gulai belut dan stimbot keju jadi tumpuan, ini 5 port makan tawar menu enak wajib singgah di Kelantan

BACA LAGI: Dari krim kek ke cat kanvas, Satira Diana gabung jawi, pantun Melayu klasik hasilkan karya sarat mesej mendalam

Apa itu CFS?

CFS adalah gangguan menyebabkan seseorang mengalami keletihan luar biasa dan berpanjangan walaupun selepas berehat atau tidur.

Menurut Ketua Jabatan Psikologi Klinikal di Fakulti Perubatan International Medical University, Dr. Serena In, sindrom berkenaan adalah keadaan sukar didiagnosis menggunakan kaedah perubatan konvensional.

Penyebabnya masih belum difahami secara penuh dan gejalanya juga berbeza-beza mengikut individu.

Gejala utama CFS termasuk keletihan berterusan, kesukaran untuk menumpukan perhatian, kelemahan otot, sensitiviti terhadap cahaya, bau serta bunyi.

Bagi individu yang aktif dan gemar bersosial, kesan CFS boleh menjadi sangat mengganggu.

Aktiviti harian seperti bekerja, belajar atau menjalani kehidupan sosial pastinya menjadi cabaran besar.

photo_2025-01-15_12-38-40

Individu mengalami CFS memerlukan sokongan daripada individu terdekat.

Impak dalam kehidupan harian

CFS bukan sekadar masalah keletihan, ia juga boleh memberi impak besar terhadap kehidupan peribadi dan profesional seseorang.

Bagi mereka yang menghidap CFS, aktiviti harian yang biasa dilakukan menjadi satu beban.

"Saya rasa seperti diri yang sihat telah hilang.

"Keletihan ini menghalang saya daripada melakukan banyak perkara yang diminati," luah Tina.

Bukan sahaja aktiviti sosial terjejas, malah tugas harian seperti menghadiri kuliah atau menyelesaikan kerja juga semakin sukar.

Penghidap CFS sering berasa kecewa dan tertekan kerana tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Whether taken throughout the week or just on weekends, exercise is good for your health. — AFP

Bukan sahaja aktiviti sosial, malah aktiviti riadah juga boleh terjejas kerana CFS.

Sokongan sosial dan pengurusan

Walaupun tiada rawatan khusus untuk CFS, pengurusan gejala yang betul adalah sangat penting.

Dr. Serena menekankan bahawa pendekatan menyeluruh kunci untuk membantu individu mengalami CFS mengatasi keletihan yang berpanjangan.

Antara langkah disarankan termasuk mendapatkan tidur berkualiti, pemakanan seimbang dan sokongan psikologi.

“Individu dengan CFS perlu belajar untuk memahami keperluan tubuh mereka dan memberi perhatian kepada asas-asas penjagaan diri seperti rehat yang cukup dan pemakanan seimbang,” jelas Dr. Serena.

Kaunseling juga memainkan peranan penting dalam membantu pesakit untuk menyesuaikan diri dengan keadaan mereka.

Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan juga sangat diperlukan untuk mengurangkan rasa terasing dan memberi semangat kepada pesakit.

Memetik laporan portal MyHealth, tidur yang berkualiti adalah elemen utama dalam pengurusan CFS.

Dr. Serena mencadangkan agar individu yang mengalami CFS sentiasa mendapatkan tidur mencukupi dan tidak terganggu.

photo_2025-01-15_12-47-12

Tidur di dalam bilik gelap membantu dalam pengurusan CFS. — Gambar hiasan

Beberapa langkah boleh diambil untuk meningkatkan kualiti tidur termasuk memastikan bilik tidur gelap, bebas daripada gangguan dan elak menggunakan gajet elektronik sebelum tidur.

Mencipta rutin tidur yang santai seperti mandi air suam atau membaca buku dapat membantu tubuh bersedia untuk tidur lebih lena.

Selain itu, pemakanan sihat turut menyumbang kepada kesejahteraan tubuh secara keseluruhan dan membantu meningkatkan kualiti tidur.

CFS adalah keadaan yang perlu mendapat lebih banyak perhatian dan kesedaran daripada masyarakat.

Walaupun ia sukar untuk didiagnosis dan tidak mempunyai rawatan khusus, tetapi pengurusan yang betul dan sokongan mencukupi, individu CFS dapat menjalani kehidupan lebih bermakna.

Seiring itu, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai CFS dalam kalangan masyarakat agar lebih ramai memahami gejalanya dan mencari bantuan diperlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram