
BERMULA sebagai sebuah syarikat kecil yang terlibat dalam projek-projek kerajaan, Syumanor Engineering Sdn. Bhd. (Syumanor) kini mula memberi fokus pada pembangunan rumah impian di atas tanah milik pelanggan.
Ditubuhkan pada 2012 oleh pasangan suami isteri lulusan kejuruteraan awam dari Politeknik Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan, syarikat kontraktor 100 peratus milik penuh bumiputera itu asalnya mengendalikan projek seperti pembinaan jalan raya, longkang dan sistem paip menerusi kontrak kerajaan.
Namun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 memaksa operasi terhenti sepenuhnya sehingga mereka mencari pendekatan baharu demi kelangsungan perniagaan.
Ahmad Syukri (kiri) dan Nurul Huda semakin fokus pada pembangunan rumah impian di atas tanah.
Ingin beralih angin dan mengintai peluang baharu, Ketua Pegawai Eksekutif Syumanor Engineering Sdn. Bhd., Ahmad Syukri Naiman kemudian memutuskan untuk mengubah operasi dari Port Dickson ke Kota Damansara, Petaling Jaya Selangor pada 2021.
"Pada awalnya syarikat hanya fokus pada projek dan tender kerajaan, namun kini kami dapat ilham untuk beralih pembinaan rumah baik untuk projek kerajaan mahupun persendirian.
"Langkah berani ini bermula dengan projek pembinaan tujuh kediaman di bawah Program Rumah Mesra Rakyat pada 2021 di Negeri Sembilan.
"Dengan pengalaman asas dalam kerja-kerja infrastruktur, kami mula mendalami ilmu pembinaan rumah secara perlahan-lahan," katanya kepada Majoriti.
Berkongsi tentang pembabitan dalam dunia pembinaan, Ahmad Syukri memberitahu, bekerja sebagai kontraktor sejak berumur awal 20-an bererti dia berjaya merealisasikan impian masa kecilnya.
Dengan mengangkat bapa saudara sebagai idola dalam bidang tersebut, usahawan berusia 40 tahun ini mengakui, cita-citanya itu terdorong dek angan-angan ingin memiliki perniagaan berskala besar.
"Kalau dulu selalu dengar orang sebut 'Megah Holding' yang melambangkan sebuah syarikat besar, jadi saya simpan impian nak jadi bos di syarikat pembinaan sendiri.
"Justeru itu, usai tamat diploma, saya terus bina syarikat di samping menimba ilmu daripada pak cik dan saudara yang terlibat dalam bidang sama," jelasnya.
Kediaman minimalis
Gaya minimalis antara trend popular masa kini khususnya buat warga kota.
Selain membina rumah, Ahmad Syukri dan isteri, Nurul Huda Abdul Wahab, 40, yang memainkan peranan sebagai Pengarah Eksekutif Syumanor turut menyediakan perkhidmatan tambahan seperti perancangan reka bentuk bagi memenuhi keinginan pelanggan.
Pasangan yang mula berkenalan sejak usia lapan tahun itu percaya bahawa memahami keperluan pelanggan adalah kunci utama kejayaan.
Bercerita tentang tata hias kediaman pula, Nurul Huda memberitahu, gaya minimalis antara trend popular masa kini khususnya buat warga kota.
Gaya ini menekankan kesederhanaan, fungsi dan efisiensi ruang tanpa mengorbankan nilai estetika.
Rumah minimalis katanya, sering menjadi pilihan mereka yang mengutamakan gaya hidup praktikal dan kemas, sesuai dengan keperluan moden.
Dari sudut fungsi, rumah minimalis mementingkan elemen praktikal. Perabot digunakan sering kali bersifat multifungsi, seperti katil dengan ruang penyimpanan tersembunyi atau meja lipat yang boleh dijadikan rak.
"Warna yang selalu kita guna adalah semula jadi dan lembut seperti putih, kelabu, hitam atau beige. Untuk kontra pula warna biru, hijau atau kuning pastel jadi pilihan.
"Selain itu, penggunaan cahaya semula jadi dioptimumkan melalui tingkap besar dan reka bentuk yang membolehkan pengudaraan baik, menjadikan rumah lebih mesra alam.
"Langsir pula kami pilih yang nipis supaya memaksimumkan pencahayaan," kongsi anak kedua daripada lima beradik ini.
Jubin besar
Dari segi visual jubin bersaiz besar memberikan kesan bilik lebih luas dan terbuka.
Sementara itu, Ahmad Syukri turut mengakui, pelanggan luar bandar dan bandar mempunyai keperluan yang berbeza dari segi pembinaan rumah.
Di bandar katanya, pemilik kediaman lebih mengutamakan konsep seperti reka bentuk moden atau minimalis tanpa terlalu memikirkan kos.
"Sebaliknya, pelanggan di luar bandar mencari rumah selesa dengan kos berpatutan, biasanya menggunakan wang tunai atau simpanan mereka sendiri,” tuturnya.
Mengikuti trend semasa, kata Ahmad Syukri, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemilik kediaman cenderung menzahirkan keinginan reka bentuk moden seperti penggunaan jubin bersaiz besar iaitu sama ada 1x2 ataupun 2x2 kaki.
Jubin bersaiz besar kini semakin mendapat perhatian dalam reka bentuk dalaman, terutama bagi mereka yang ingin mencipta ilusi ruang lebih besar.
"Kebanyakan pelanggan suka jubin bersaiz besar kerana secara visual, ia mampu memberikan kesan bilik lebih luas dan terbuka.
"Jubin ini bukan sahaja membantu mencipta suasana moden dan elegan, tetapi juga meminimumkan garis sambungan pada lantai atau dinding, menjadikan ruang kelihatan lebih bersih dan harmoni," kata anak jati Port Dickson itu.
Atap gajah jadi pilihan ramai
Walaupun harga lebih tinggi, kelebihan ditawarkan atap gajah menjadikannya pelaburan berbaloi.
Atap gajah, jenis atap genting yang semakin popular di Malaysia, menjadi pilihan utama bagi pemilik rumah, projek komersial dan pembangunan berskala besar ketika ini.
Dikenali kerana ketahanannya yang tinggi dan reka bentuk estetik, bumbung tersebut sering digunakan untuk memenuhi keperluan cuaca tropika di negara ini.
"Atap gajah merujuk kepada genting konkrit berkualiti tinggi yang biasanya memiliki saiz besar, kukuh dan menyerupai jenama atau gaya tertentu yang memberikan penampilan premium," kongsinya.
Cerita Ahmad Syukri, walaupun harganya lebih tinggi, kelebihan ditawarkan oleh bumbung tersebut menjadikannya satu pelaburan berbaloi.
Jelasnya, antara faktor utama mendorong populariti atap gajah adalah ciri-cirinya yang lebih sejuk dan senyap, terutama ketika hujan.
"Permukaan dan bahan pembuatannya direka untuk mengurangkan bunyi titisan hujan, memberikan suasana tenang dan nyaman kepada penghuni rumah.
"Atap gajah juga dikenali kerana daya tahan tinggi dan reka bentuk estetik, selain memberikan perlindungan haba yang baik, menjadikan rumah lebih sejuk walaupun dalam cuaca panas.
"Tersedia dalam warna seperti merah bata, kelabu dan hitam, atap ini sesuai untuk pelbagai gaya reka bentuk moden dan tradisional" bicaranya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram