SATU kemalangan tragis melibatkan empat buah kenderaan termasuk sebuah lori muatan tanah dan bunga dilaporkan berlaku di Kilometer 226.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara, Rembau Negeri Sembilan pada pagi Rabu.
Kejadian pada pukul 5.40 pagi itu melibatkan sebuah lori muatan tanah dan bunga dengan tiga kereta masing-masing jenis Honda City, BMW dan Toyota Vios.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, tiga mangsa yang maut merupakan pemandu lori berusia 73 tahun, kelindannya warga Bangladesh, 44, dan pelajar kolej yang juga pemandu Honda City berumur 21 tahun.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemuda Malaysia antara 7 cedera, bom meletup dekat balai polis di Pattani
BACA LAGI: 'Fikir 2 kali sebelum buat jenayah', anggota polis auto kejung ketika demo 'taser gun' PDRM
"Siasatan awal mendapati, lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang memandu di lorong kiri.
"Apabila sampai di tempat kejadian kenderaan itu telah hilang kawalan dan melanggar besi pengadang sebelah kanan jalan seterusnya terbabas ke kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kereta jenis Honda City yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar lori tersebut, sebelum BMW dan Toyota Vios dari arah sama berlanggar secara berturutan.
"Akibat kemalangan itu, pemandu lori dan kelindannya cedera parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian, manakala penumpang Honda City disahkan meninggal dunia sewaktu tiba di Hospital Rembau.
"Enam lagi mangsa mengalami parah dan dua lagi cedera ringan. Kesemua mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.
Siasatan lanjut mengenai kejadian masih diteruskan dan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram