[VIDEO] Pemuda Malaysia antara 7 cedera, bom meletup dekat balai polis di Pattani


  • 112
  • Isnin, 13 Jan 2025

Seorang lelaki warganegara Malaysia cedera dalam satu letupan bom berhampiran Balai Polis Daerah Mueang Pattani di Wilayah Pattani, Selatan Thailand, pada Isnin. — Diaspora Patani

SEORANG lelaki warganegara Malaysia dan enam anggota sukarelawan pertahanan cedera dalam satu letupan bom berhampiran Balai Polis Daerah Mueang Pattani di Wilayah Pattani, Selatan Thailand, pada Isnin.

Ketua Polis Mueang Pattani, Kolonel Jeffery Sulaiman berkata, insiden tersebut berlaku sekitar pukul 8 pagi selepas perbarisan polis di balai berkenaan.

"Siasatan awal mendapati bom tersebut dipercayai dipasang pada sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran balai polis

"Mangsa berusia 20 tahun dari Kuala Lumpur itu mengalami kecederaan akibat serpihan kaca yang pecah akibat letupan tersebut," katanya pada Isnin.

BACA LAGI: Mayat wanita dengan kesan tikaman di leher, badan ditemui di tanah perkuburan di Rawang

BACA LAGI: [VIDEO] Bola kena tepat dada, remaja lelaki tak pasal-pasal hilang nyawa ketika liga belia di Brazil

Jelas beliau lagi, mangsa pada waktu kejadian berada di dalam kereta menunggu isterinya yang sedang membuat laporan tentang dokumen perjalanan yang hilang di balai polis tersebut ketika letupan berlaku.

"Kereta mangsa berada kira-kira 10-meter dari lokasi letupan, menyebabkan cermin kenderaan itu pecah akibat impak letupan.

"Semua mangsa telah dibawa ke Hospital Pattani untuk menerima rawatan.

"Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan dalang kejadian tersebut", katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram