[VIDEO] Budak tiba-tiba muncul lintas jalan sampai rempuh p-hailing di Ipoh, kakak akui silap adik tak toleh kiri kanan


  • Tular
  • Rabu, 15 Jan 2025

Tangkap layar memaparkan budak lelaki tersebut cuba membantu penunggang motosikal yang terseret di belakang sebuah kereta.

SEORANG penunggang motosikal terlibat dalam satu kemalangan selepas seorang budak lelaki bertindak melintas jalan secara melulu di Meru Raya, Ipoh, Perak pada Isnin lalu.

Insiden kira-kira pukul 6.28 petang itu turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian.

Rakaman berdurasi 31 saat tersebut menunjukkan tindakan budak lelaki berkenaan secara tiba-tiba melintas tanpa menoleh ke kiri dan kanan hingga bertembung dengan seorang penunggang perkhidmatan p-hailing.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tak toleh kiri kanan langsung', wanita seriau lihat budak sekolah muncul dari belakang bas berlari lintas jalan di Johor

BACA LAGI: Buat sistem pendaftaran kenderaan, kenakan caj sewa bulanan antara kaedah atasi isu 'cop' parkir di PPR

Perlanggaran itu menyebabkan kanak-kanak itu tercampak dengan bungkusan plastik yang dibawanya turut terpelanting masuk ke dalam sebuah van secara tidak sengaja.

Sementara itu, penunggang lelaki tersebut juga dilihat terseret ke belakang sebuah kenderaan, bersama beberapa bungkusan plastiknya.

Tidak menunggu lama, budak lelaki itu lekas bangun dan membantu penunggang motor dengan menarik sebelah tangannya.

Usaha spontan itu bagaimanapun mendatangkan kegusaran dalam kalangan warga maya yang menyaksikan video tersebut, dengan beranggapan bahawa tindakan itu lebih mendatangkan risiko bahaya buat mangsa.

Sementara itu, kakak kepada budak berkenaan tampil menjelaskan situasi sebenar menerusi satu komen di ruangan Facebook.

Dia mengakui bahawa adik lelakinya sendiri meminta untuk turun ketika van sekolah berhenti di persimpangan lampu isyarat.

"Memang adik saya ada minta turun tapi pemandu van tak patut benarkan dia turun di tengah jalan (lampu isyarat).

"Saya akui adik salah juga sebab lintas tak tengok kiri kanan, dia panik nampak abang itu dah terbaring. Dia pilih untuk bantu walaupun cara dia tolong agak bahaya," katanya.

Difahamkan, laporan polis sudah dibuat dan kedua-dua mangsa juga dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram