[VIDEO] Pemilik 4x4 rayu henti sebar berita palsu, kanak-kanak tak sengaja dilanggar di Sabah selamat


  • Tular
  • Sabtu, 16 Nov 2024

Tangkap layar seorang kanak-kanak berusia lima tahun dipercayai cedera dilanggar sebuah kenderaan 4x4 ketika melintas jalan di sebuah lokasi di Sabah baru-baru ini.

SEORANG kanak-kanak perempuan hanya cedera ringan selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) ketika melintas jalan di sebuah lokasi di Kunak, Sabah pada Rabu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh pemilik pacuan empat roda tersebut melalui Facebook miliknya, Zalina Chaw pada Jumaat.

"Di sini saya ingin membuat penjelasan tentang video dashcam yang tular di laman TikTok, Facebook Telegram dan sebagainya kerana ia telah membuka ruang tohmahan kepada orang ramai.

BACA LAGI: [VIDEO] Titik buta dipercayai punca penunggang maut digilis treler di Lebuh Raya Pasir Gudang

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita Peru histeria lihat rakan hilang nyawa dihempap mesin pemampat

"Untuk makluman, budak (dikenali sebagai Dira) yang dilanggar ini alhamdulillah selamat dan sihat, hanya calar di bahagian belakang betis. Tiada patah dan tiada kecederaan dalaman.

"Doakan Dira esok lusa boleh berlari dan bersekolah seperti biasa," katanya.

Jelas wanita itu lagi, dia terlanggar kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Dira itu tanpa sengaja.

"Saya yang terlanggar Dira tanpa sengaja kerana pandangan saya dihalang oleh blindspot dan saya bersyukur kerana masa tu saya tidak laju. ALLAH memilih saya dan serta ibu bapa Dira untuk menjalani ujian ini.

"Saya meminta jasa orang ramai berhenti menghina dan menyalahkan ibu bapa Dira. Cukup kita jadikan peristiwa ini agar kita lebih berhati-hati terutamanya pada anak kecil kerana musibah boleh datang bila-bila masa saja," ujarnya.

"Wanita tersebut turut meminta orang awam berhenti menyalahkan orang ramai yang menyerang kami dengan kekerasan semasa hari kejadian kerana sesiapa pun akan marah bila melihat anak kecil dilanggar.

"Alhamdullilah walaupun dalam keadaan marah, mereka tidak menyentuh saya sama sekali. Saya masih dalam keadaan baik-baik. Malah orang kampung yang ramai membantu saya semasa kejadian.

"Apa yang penting, Dira selamat, ibu bapa Dira maafkan saya. Ini sudah cukup buat saya dan insya-ALLAH saya akan bertanggungjawab dari segi emosi dan kos-kos perubatan sehingga Dira boleh berlari dan bersekolah lagi," katanya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang kanak-kanak dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di sebuah lokasi di Sabah baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram