Empat suspek gagal pecah rumah di Kluang, lelaki maut cuba lolos diri dari polis


  • 112
  • Sabtu, 16 Nov 2024

Seorang maut (Gambar kecil) selepas dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di Jalan Laksamana Sunrise Park, di Kluang, pada Jumaat. — PDRM

CUBAAN pecah rumah empat individu di Jalan Laksama, Sunrise Park dekat Kluang, Johor gagal pada Jumaat selepas salah seorang daripada mereka meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, susulan kejadian itu polis berjaya menahan dua lagi suspek manakala seorang lagi melarikan diri.

Katanya, pihaknya menerima maklumat pada pukul 7.12 malam dari seorang lelaki tempatan memaklumkan pihak mengenai kejadian pecah masuk dan telah menghantar beberapa anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

BACA LAGI : VIDEO] Titik buta dipercayai punca penunggang maut digilis treler di Lebuh Raya Pasir Gudang

BACA LAGI : [VIDEO] Pemilik 4x4 rayu henti sebar berita palsu, kanak-kanak tak sengaja dilanggar di Sabah selamat

"Dua suspek telah ditahan semasa operasi itu, manakala seorang lagi maut akibat kecederaan yang dialami di lokasi kejadian.

"Kecederaan si mati pada tangan kanan berkemungkinan menyebabkan cedera pada salur darah utama kerana banyak kesan darah ditemui di lokasi.

"Punca kecederaan masih lagi dalam siasatan sama ada akibat terkena pada pagar besi rumah atau objek lain ketika pecah masuk rumah atau ketika melarikan diri apabila menyedari penduduk dan pihak polis sampai," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

467145957_857646126537943_6867435516373900678_n

Suspek yang dipercayai melarikan diri. — PDRM

Tambah Nik Mohd Azmi lagi, suspek keempat, yang dikenal pasti sebagai Mohamad Sahli Talib, berumur 39 tahun, masih bebas.

"Alamat terakhir suspek di Kampung Belukar Gunong, Bachok, Kelantan, dan pihak polis sedang giat berusaha untuk mengesannya.

"Siasatan mendapati kesemua suspek berusia dalam lingkungan 29 hingga 48 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan jenayah dan narkotik selain ujian air kencing bagi kedua-dua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Jelas beliau lagi, kematian suspek diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut. Satu bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca sebenar kematian suspek.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh untuk menghubungi balai polis terdekat atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di 07-7766822. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram