ARAHAN penutupan penganjuran Karnival Havoc Food Festival di Sama Square Setapak, Kuala Lumpur pada Ahad menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan agar karnival tersebut menghentikan operasi kerana penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan semasa daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan.
Arahan tersebut juga dikeluarkan ekoran kesesakan lalu lintas melampau sehingga mengganggu penduduk di kawasan terbabit.
BACA LAGI: Digelar sebagai 'penyakit pemisah', generasi muda titik mula lawan 'stigma' masyarakat tentang kusta
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Azmi Nik Ahmad kemudiannya memaklumkan bahawa permohonan penganjur untuk mendapatkan lesen bagi mengadakan festival itu ternyata pernah ditolak sebanyak dua kali disebabkan permohonan lewat dan aduan daripada penduduk setempat berkaitan masalah lalu lintas.
Susulan itu, terdapat juga beberapa luahan kekecewaan daripada sesetengah peniaga yang terlibat dalam karnival tersebut.
Menerusi video dimuat naik pengguna TikTok @fie_perfumeparadise pada Ahad, para peniaga terpaksa berdepan dengan situasi bahaya ketika karnival itu berlangsung.
Dalam video sama, pengguna yang juga peniaga itu menunjukkan sisa-sisa makanan serta kepingan kaca bertaburan di atas jalan dipercayai dibaling oleh penduduk perumahan di kawasan setempat.
"Dibaling dengan botol, pisang, batu dari tingkat atas dalam hujan renyai. Havoc Setapak diarah tutup serta-merta, kami akur dan patuh.
"Kami minta maaf kedatangan kami buatkan penduduk sesak. Dugaan buat peniaga bawah khemah," tulisnya.
Melihat situasi itu, rata-rata warga maya lain turut meluahkan simpati terhadap para peniaga.
"Kalau ya pun marah, bukan lesen untuk baling kaca. Kalau kena budak tak bahaya? Penganjur memang dah terang-terang buat silap, tetapi janganlah mendatangkan kecederaan pada orang lain," komen @dyananizza.
Namun, ada juga yang mengecam tindakan penganjur kerana dilihat seperti tidak peka dengan kawasan sekitar sebelum mengadakan karnival.
"Buat karnival makanan di kawasan yang hampir 10,000 penduduk rumah tinggi memanglah orang marah sebab sesak dan bising," komen @mhmmdhsm.
Sementara itu, pihak penganjur menerusi hantaran di Facebook pada Ahad membuat permohonan maaf terhadap kesemua peniaga dan penduduk atas masalah berbangkit itu.
"Untuk pihak kami, ini adalah kali pertama berlaku dalam sejarah, banyak hikmah yang kita dapat dari apa yang berlaku.
"Syukur juga vendor dapat berjuang sehingga hari ketiga walaupun mereka menangung kerugian bersama.
"Justeru, kami memohon maaf kepada seluruh penduduk kawasan Sama Square Setapak di atas apa yang berlaku selama kami berada di sini.
"Insya-ALLAH ada rezeki kita berjumpa lagi pada masa akan datang ditempat yang lebih sesuai," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram