MASALAH 'cop' parkir di kawasan rumah pangsapuri kos rendah seperti PPR yang kebanyakannya berpunca daripada kekurangan tempat letak kenderaan boleh diatasi melalui beberapa kaedah atau langkah tegas.
Sejurus itu, Pengarah Perancangan Bandaraya, Majlis Bandaraya Ipoh, Haji Mohd Zainal Abdul Hamid berkata, pihak badan pengurusan strata (JMB) boleh mula untuk mengaplikasikan sistem pendaftaran bagi kenderaan yang layak menggunakan parkir.
Sistem pendaftaran juga boleh dilakukan menerusi penggunaan pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk setiap kenderaan berdaftar.
BACA LAGI: Sikap 'boleh je' punca budaya cop parkir PPR 'tidak nampak bayang' akan selesai
BACA LAGI: 'Apa kami boleh buat?', pelajar IPT duduk PPR terpaksa mengalah lihat penduduk main cop parkir
Sistem kawalan boleh mula untuk dilaksanakan di kawasan rumah PPR. — Gambar hiasan
Menurutnya, langkah itu bagi mengawal aliran trafik kenderaan masuk dan keluar di dalam sistem kawalan rumah.
Mohd Zainal berkata, JMB disaran meningkatkan kecekapan pengoperasian mengawal aliran trafik itu di samping mengenakan tindakan wajar kepada penceroboh.
"Umum tahu pembangunan rumah PPR merupakan pembangunan yang berdensiti tinggi. Oleh itu penyediaan petak parkir adalah selaras dengan jumlah unit rumah mengikut piawaian sepatutnya.
"Setiap unit berdaftar mempunyai petak parkir tersendiri. Kenderaan berdaftar saja dibenarkan menggunakan parkir tersebut," katanya kepada Majoriti.
Katanya lagi, JMB juga boleh mengenakan caj bayaran sewa bulanan kepada individu atau kenderaan untuk menyewa petak parkir tambahan.
Parkir bertingkat sukar dilaksanakan sepenuhnya di kawasan PPR kerana mentaliti segelintir penduduk yang tidak mahu membayar sewa. — Gambar hiasan
Mohd Zainal berkata, perkara itu dapat dilaksanakan sekiranya penyediaan ruangan parkir bertingkat tambahan dibina meskipun ia sememangnya sukar.
"Penyediaan parkir bertingkat ini pernah dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tetapi kurang mendapat sambutan kerana ada segelintir penduduk tak mahu bayar," jelasnya.
Justeru, beliau turut menggalakkan kepada penduduk PPR untuk menggunakan kenderaan awam sebagai medium utama pengangkutan dengan sebab kawasan rumah tersebut yang mudah mendapat akses kemudahan awam itu.
Baginya, antara kenderaan awam yang dimaksudkan adalah bas, teksi, e-hailing dan kereta api.
Beliau menambah, pihak kerajaan atau berwajib perlu memperkasakan perkhidmatan kenderaan awam bagi memudahkan urusan penduduk.
Ia sekali gus dapat menggalakkan penduduk menggunakan kenderaan awam dan mengurangkan kebergantungan menggunakan kenderaan individu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram