LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) pada Selasa mengesan aliran air berwarna merah jambu di Sungai Kabul dekat Kampung Bukit Batu, Beranang, Selangor yang dianggarkan sepanjang 500 meter.
LUAS dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, kejadian itu dikesan sewaktu rondaan dan pemantauan rutin pasukannya di lembangan Sungai Langat sekitar pukul 6.40 petang.
Menurutnya, LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan atau mitigasi segera.
"Ini kerana aliran tercemar tersebut berpotensi memberi impak kepada loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih pada jarak 16.3 kilometer (km)," katanya pada Selasa.
Jelas LUAS, kejadian itu disyaki berpunca daripada pelepasan aliran daripada sebuah kilang di kawasan perindustrian Beranang.
Ujarnya, semakan di premis berkenaan menemukan aliran berwarna di titik akhir pelepasan premis sebelum masuk ke Sungai Kabul dan seterusnya ke Sungai Beranang dan Sungai Semenyih.
"LUAS telah mengarahkan premis berkenaan menghentikan dan menutup pelepasan serta-merta," tegasnya.
Menurut kenyataan itu lagi, Surat Arahan di bawah Seksyen 121 (1), Enakmen LUAS 1999 telah diberikan kepada premis tersebut untuk melaksanakan pembersihan serta-merta di lokasi dan kawasan yang terlibat.
"LUAS juga telah melaksanakan pensampelan di lokasi-lokasi berkaitan bagi analisis Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dan tindakan penguatkuasaan lanjut.
"Selain itu, kami turut mengaktifkan pemantauan statik di Sungai Kabul dengan kekerapan setiap 30 minit dan memantau rapi kerja-kerja pembersihan oleh premis terlibat sehingga selesai," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram