[VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat


Rakan-rakan melawat Nassry sewaktu menjalani pembedahan bagi membuang buah pinggang sebelah kiri.

SIAPA sangka seorang lelaki yang menghidap penyakit kanser paru-paru tahap empat masih boleh tersenyum dan kelihatan sungguh ceria ketika mengikuti acara larian Perak Half Marathon 2024 baru-baru ini.

Lebih mengagumkan, lelaki itu, Nassry Mardee Ismail berlari dengan penuh bersemangat hingga merangkul tempat kedua, diikuti tempat ketiga yang dimenangi oleh individu yang sering mendampinginya iaitu isteri tercinta, Azlina Mohd Ali.

"Berbanding sedih dengan takdir yang saya menghidap kanser paru-paru tahap empat, saya memilih untuk berlari dengan senyuman," kata Nassry kepada Majoriti.

BACA LAGI: Bumbung Indochina antara 5 gunung beriklim sejuk sesuai jadi 'port latihan' kaki hikers

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak hanya nasi 'ketagih' dan wagyu piza yang menggiurkan, ada 5 lagi destinasi makanan 'recommended' di Ipoh

WhatsApp Image 2024-11-25 at 10.44.43 PM

Nassry (kiri) bersama isteri (kanan), Azlina memenangi tempat kedua dalam acara larian di Ipoh, Perak.

Senyuman yang tidak pernah lekang di bibir menjadikannya sebagai antara individu yang dikagumi ramai terutama dalam kalangan pejuang kanser yang lain.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu mengakui ramai pesakit kanser yang mulai mengikutinya di media sosial bagi mendapatkan nasihat daripadanya sebagai pembakar semangat untuk terus melawan penyakit masing-masing.

"Ramai pesakit kanser yang contact saya beritahu mereka berjuang dengan penyakit masing-masing.

"Bagi saya, sebagai usaha supaya saya kekal ceria adalah dengan mengalihkan satu fokus itu (penyakit) kepada perkara lain.

"Sebagai contoh saya buat perkara yang diminati bersama orang tersayang supaya kita tak adalah asyik fikir tentang sakit sahaja," katanya.

WhatsApp Image 2024-11-25 at 9.33.27 PM (2)

Isterinya, Azlina sering mendampinginya ketika waktu senang dan juga susah.

Dia yang juga popular dengan nama Cikgu-E itu juga bersyukur apabila memperoleh sokongan daripada insan tersayang terutamanya keluarga.

"Anak-anak saya tahu saya ada kanser tetapi mereka tetap layan saya seperti orang yang normal bukan seperti orang yang sedang sakit.

"Kami selalu meluangkan masa untuk berlari sama-sama. Kadang saya sertai acara larian bersama isteri dan anak," kata bapa kepada empat orang anak itu.

photo_6228487291656065254_y

Nassry bersama anak bongsunya yang turut menyertai Half Marathon 2024.

Bijak mengambil pendekatan, Nassry berkata, dia kebiasaannya akan berlari dengan memakai bengkung susulan berasa sakit di bahagian pinggang.

"Rasa sakit hidap kanser ini seumpama macam wanita bersalin secara pembedahan Caesar. Sangat sakit.

"Isteri saya bersalin normal ketika melahirkan anak. Jadinya, saya dapat tip itu daripada kawan-kawan perempuan saya yang pernah bersalin secara czer. Mereka bagi cadangan untuk memakai bengkung.

"Jadi, setiap kali saya berlari memang akan pakai bengkung supaya badan saya rasa tegak. Saya akan sakit sekiranya saya tidak pakai bengkung," katanya.

WhatsApp Image 2024-11-25 at 9.33.27 PM (1)

Ini kerana, lelaki berusia 44 tahun itu berkata, dia kini hidup dengan berbekalkan satu buah pinggang selepas terpaksa membuang organ berkenaan pada sebelah kiri.

"Sewaktu mula-mula saya didiagnosis, saya alami kencing berdarah dan disahkan hidap kanser paru-paru. Kemudian kanser saya merebak ke organ lain dan saya disahkan menghidap kanser kelenjar.

"Sebenarnya pada Ogos lepas saya sudah bebas kanser kelenjar dan kanser buah pinggang kerana sudah buat pembedahan untuk buang buah pinggang.

"Tetapi pada bulan November doktor maklumkan kanser buah pinggang dan kelenjar saya datang semula untuk kali kedua. Dan ia sudah merebak ke paru-paru. Jadinya, sekarang saya menghidap tiga jenis kanser berbeza, iaitu buah pinggang, kelenjar dan paru-paru," katanya.

WhatsApp Image 2024-11-26 at 7.29.10 AM (1)

Ibu kepada Nassry, Aisyah@ Tow Soo Hoon Abdullah juga meninggal dunia kerana kanser pada 2015.

Walaupun menghadapi situasi yang sangat mencabar, Nassry reda dengan ketentuan ALLAH kerana pernah terdetik bahawa kansernya akan kembali, memandangkan abangnya pernah melalui hal yang sama.

“Penyakit yang saya alami kini adalah hampir sama dengan apa yang berlaku kepada abang saya.

"Abang dan ibu saya, kedua-duanya meninggal dunia kerana kanser,” katanya.

WhatsApp Image 2024-11-25 at 9.33.27 PM

Nassry tetap tersenyum ketika rakan-rakan mengunjunginya selepas hari keempat pembedahan buang pinggang.

Bagaimanapun, Nassry menganggap penyakit yang diberikan itu sebagai ujian daripada ALLAH dan berharap pejuang kanser tidak mudah mahu menyerah kalah.

"Saya anggap kanser ini sebagai ujian yang patut saya syukur. Apabila kita tahu kita sakit, kita dapat bersedia untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dengan cara beribadat,

"Pesakit kanser tak boleh ada rasa down kerana apabila pesakit ada rasa down itu yang dia mulai tidak mahu makan, tidak mahu itu dan ini.

"Mental kena kuat, seiring dengan badan iaitu kena pastikan badan cergas dan otak cerdas. Badan kalau tak cergas akan buat kita rasa lemah. Sebab itu walaupun saya berasa sakit buah pinggang, saya tetap bergerak.

"Doktor pun kata kalau badan tak bergerak membuatkan darah beku yang berkumpul menjadi banyak yang mengundang bahaya kepada badan kita," kata bekas guru sains sukan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram