[VIDEO] Termasuk laluan kontra, lima termasuk dua pelajar 16 tahun maut nahas 5 kenderaan di Kuching


  • 112
  • Selasa, 14 Jan 2025

Tangkap layar video memaparkan keadaan antara kereta yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Kuching, Sarawak pada Selasa. — Bomba Kuching

SERAMAI lima individu termasuk dua pelajar berusia 16 tahun maut, manakala lima lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kereta dan dua motosikal di Jalan Stutong, Kuching, Sarawak pada Selasa.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila pemandu sebuah kereta Proton Saga yang dipandu remaja lelaki berusia 16 tahun dari arah lapangan terbang hilang kawalan sebelum terbabas memasuki lorong bertentangan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, seorang wanita dan tiga lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, termasuk seorang terperangkap dalam kereta yang terpaksa dikeluarkan dengan alat khas, sementara seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

BACA LAGI: [VIDEO] Bas persiaran bawa jemaah surau rempuh belakang lori di Sungai Bakap

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki selamba selongkar beg, bawa lari kad bank milik pemandu lori di Kajang

"Seorang lagi wanita dalam keadaan kritikal manakala empat lelaki cedera.

"Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital manakala mayat empat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, pihak bomba yang menjalankan kerja-kerja pembersihan di tempat kejadian dapat mengawal keadaan pukul 4.03 petang.

Sementara itu, berdasarkan video kamera papan pemuka (dashcam) tular di media sosial sejak Selasa, Proton Saga terbabit dilihat hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Dalam pada itu, polis mengesahkan akan menahan pemandu kereta berusia 16 tahun yang terbabit dalam kemalangan maut sehingga menyebabkan lima kematian di Jalan Stutong itu selepas ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, remaja itu yang cedera di leher sedang menerima rawatan di hospital.

"Seorang lelaki tempatan berumur 16 tahun merupakan pemandu kereta yang terbabas telah mengalami kecederaan di leher akan ditahan setelah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Farhan, dalam nahas melibatkan tiga kereta dan dua motosikal itu, tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 16 hingga 45 tahun, disahkan maut di lokasi.

Manakala seorang lagi mangsa, remaja lelaki, 16, meninggal dunia ketika menerima rawatan di HUS.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah kereta yang datang dari arah Jalan Lapangan Terbang menuju ke arah Jalan Setia Raja telah hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke jalan bersebelahan dan merempuh dua motosikal dan dua kereta yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Tambahnya, tiga mangsa yang mengalami kecederaan dalam kemalangan sekitar pukul 12.50 tengah hari itu masih menerima rawatan di unit kecemasan HUS.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram