[VIDEO] Satelit penderiaan jauh keluaran syarikat tempatan, UzmaSAT-1 berjaya dilancar pada Rabu


  • Primer
  • Rabu, 15 Jan 2025

UzmaSAT-1, keluaran syarikat tempatan Uzma Berhad, dilancarkan ke orbit rendah bumi pada awal pagi Rabu.

SATELIT penderiaan jauh beresolusi tinggi, UzmaSAT-1, keluaran syarikat tempatan Uzma Berhad, dilancarkan ke orbit rendah bumi pada awal pagi Rabu.

Pelancaran menggunakan roket Falcon 9 Transporter 12 milik SpaceX itu berlangsung pada pukul 3 pagi waktu Malaysia dari Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, kejayaan tersebut menjadikan UzmaSAT-1 sebagai satelit ke-13 di bawah pengawasan Malaysia.

BACA LAGI: Ladang Satelit Ehsan Tani bakal angkat Kampung Sungai Kelambu jadi pengeluar cili terbesar di Kuala Langat

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki selamba selongkar beg, bawa lari kad bank milik pemandu lori di Kajang

“Selaku peneraju Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030), Mosti melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) komited menyokong usaha pemain industri tempatan dalam meneroka pembangunan sektor angkasa yang berdaya saing dan mampan,” katanya.

Menurut kementerian itu, penggunaan infrastruktur negara sedia ada melalui kerjasama strategik dalam aspek pengoperasian satelit akan mengoptimumkan pengurusan imej-imej berkaitan Malaysia serta mampu meningkatkan kepelbagaian penggunaannya.

Ujarnya, ia sekali gus membuktikan pemain industri tempatan mampu menyumbang kepada ekonomi angkasa baharu negara.

“Satelit itu dijangka menjadi pemangkin pembangunan ekosistem angkasa negara, membantu Malaysia beralih daripada pengguna kepada pencipta teknologi angkasa,” ujarnya.

UzmaSAT-1, sebuah satelit seberat 45.4 kilogram (kg) itu mampu menyediakan data permukaan bumi untuk meningkatkan operasi pemantauan, termasuk dalam pengurusan sekuriti makanan, keselamatan dan pertahanan negara.

Seiring pelaksanaan Pelan Tindakan DAN2030 yang dikenali sebagai Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030), kejayaan pelancaran satelit tersebut akan memperkukuh potensi keupayaan dan kepakaran tempatan dalam teknologi angkasa.

Selain itu, ia turut mendorong pemain industri tempatan untuk meneroka potensi baharu agar Malaysia boleh beralih daripada negara pengguna teknologi angkasa kepada negara pencipta teknologi angkasa.

Pelancaran satelit UzmaSAT-1 yang disiarkan secara langsung dari Vandenberg Space Force Base, California, AS itu turut dipancarkan di Ibu Pejabat Kumpulan Uzma, Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram