BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan beliau pernah mengarahkan bekas pembantu khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin ke China bagi melaksanakan 'misi rahsia' untuk menyelamatkan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibebani hutang pada 2016.
Jelasnya, ia adalah tuduhan yang tidak masuk akal bahawa China boleh menyelesaikan isu yang dihadapi 1MDB dan tindakan sedemikian boleh dikecam antarabangsa.
"Apakah mekanisme untuk menyelamatkan 1MDB? Mereka (China) membuat infrastruktur, kita bayar mereka. Bagaimana mereka membayar hutang kita?
"Bagi saya, ia satu tuduhan yang tidak masuk akal," katanya pada perbicaraan 1MDB yang bersidang di Mahkamah Tinggi Putrajaya pada Rabu.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mencadangkan bahawa pemergian Amhari ke China didalangi oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low iaitu sebahagian daripada usaha terdesak Najib untuk mendapatkan bantuan negara itu dalam menyelesaikan hutang berbilion dolar ditanggung 1MDB.
BACA LAGI: [VIDEO] Bas persiaran bawa jemaah surau rempuh belakang lori di Sungai Bakap
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki selamba selongkar beg, bawa lari kad bank milik pemandu lori di Kajang
Bagaimanapun, Najib tidak bersetuju dengan cadangan itu dan menegaskan bahawa pemergian Amhari bagi bertemu dengan ahli perniagaan daripada perusahaan milik kerajaan China yang berminat untuk menyertai projek di Malaysia.
Namun, Ahmad Akram mempersoalkan bahawa Najib gagal menamakan secara khusus ahli perniagaan China yang sepatutnya ditemui Amhari dalam misi terbabit.
Najib menjawab, Amhari sepatutnya mendapatkan sendiri nama itu.
Disoal Ahmad Akram bahawa Najib mahu China menyelesaikan hutang (1MDB dan SRC International), Najib turut menafikan perkara terbabit.
"Tidak. Mustahil... tiada mekanisme atau arahan daripada saya. Kes ditutup lah. Tiada bukti. Kes ditutup," katanya.
Sementara itu, Najib bersetuju dengan Ahmad Akram bahawa beliau menghantar Amhari ke Abu Dhabi bagi menyelesaikan isu antara 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC) susulan lawatannya ke China.
Najib berkata, beliau memutuskan untuk menghantar Amhari dan bukannya pengurusan tertinggi 1MDB kerana mahu seseorang yang boleh dipercayai daripada pejabatnya untuk mewakilinya ketika itu.
Bekas menteri kewangan itu berkata, beliau mahu menyelesaikan pertikaian di luar Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (IAC) dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Investment Co, Khaldoon Khalifa Al Mubarak turut meminta supaya isu berkenaan diselesaikan di peringkat perdana menteri.
Najib turut tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa beliau mengarahkan Amhari menghadiri mesyuarat di Abu Dhabi untuk kepentingan peribadinya.
Ketika prosiding pada Isnin, Najib dicadangkan bahawa beliau memberikan arahan kepada Amhari untuk ke China pada Jun 2016, ketika mereka bertemu di rumahnya (Najib) pada waktu malam, bagaimanapun bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak ingat.
Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan timbalan pendakwa raya bahawa beliau mengarahkan Amhari menjalankan misi sulit di negara itu, malah beliau boleh menghantar Amhari kerana ada keupayaan untuk menjalankan operasi rahsia atau bekerja secara sulit.
Najib menafikan cadangan itu dan menjelaskan bahawa ia bertujuan meninjau kemungkinan projek infrastruktur di Malaysia.
Ahmad Akram: Adakah anda bersetuju bahawa apa sahaja yang beliau (Amhari) katakan kepada pegawai Cina ketika itu adalah atas arahan anda?
Najib: Tidak, saya tidak bersetuju.
Ahmad Akram: Apa sahaja yang beliau (Amhari) katakan (kepada orang Cina) adalah untuk menyelesaikan isu 1MDB.
Najib: Tetapi bagaimana China boleh menyelesaikan isu 1MDB? Dia berurusan dengan perusahaan milik kerajaan.
Ahmad Akram: Apakah kedudukan Amhari dalam 1MDB?
Najib: Dia tidak memegang sebarang jawatan dalam 1MDB, tetapi dia mewakili saya.
Ahmad Akram: Anda percayakan Amhari, kemudian?
Najib: Pada masa itu, ya.
Ahmad Akram: Saya beritahu awak, awak arahkan Amhari berjumpa Khaldoon untuk kepentingan peribadi awak.
Najib: Saya tidak bersetuju. Saya mahukan pulangan maksimum wang yang terhutang kepada 1MDB.
Terdahulu, pada 30 Oktober lalu, Najib diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bersidang di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Rabu. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram