
PENDUDUK di Pangsapuri Permata Fadason, Kepong, Kuala Lumpur terpaksa menanggung sengsara akibat masalah kerosakan lif yang berlarutan selama dua tahun.
Tiga blok pangsapuri di kawasan tersebut, yang masing-masing memiliki dua lif, menghadapi situasi yang mana satu lif berhenti di tingkat bernombor ganjil dan satu lagi di tingkat bernombor genap.
Namun, kegagalan fungsi lif secara berselang-seli telah menyukarkan kehidupan 720 unit penduduk di bangunan setinggi 15 tingkat itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Baru elok dibaiki kurang seminggu, lif PA Desa Rejang rosak jatuh dari tingkat 9
BACA LAGI: Lif uzur diganti secara berperingkat lepas sebulan kes 'overshoot' di PA Desa Rejang
Penduduk dikehendaki membayar RM65 sebulan untuk yuran penyelenggaraan.
Salah seorang penduduk yang juga menggunakan kerusi roda, Chow Mei Hsia berkata, kerosakan terbaharu pada 8 Januari lalu memaksanya membatalkan dua janji temu di hospital akibat kekurangan akses.
Mei Hsia, yang mengalami kecederaan tulang belakang, menetap di tingkat sembilan Blok D bersama suaminya, Anthony Martin yang menghidap penyakit polio dan juga bergantung pada kerusi roda.
Menurutnya, lif yang berhenti di tingkat sembilan kini rosak, menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan lif lain untuk ke tingkat 10 atau lapan sebelum menaiki atau menuruni tangga untuk sampai ke tingkat sembilan.
“Anthony masih boleh menggerakkan tubuh atasnya, jadi dia turun atau naik tangga dengan mengheret badannya sambil menolak kerusi roda.
"Saya tidak mampu melakukan perkara itu kerana pergerakan lebih terhad,” katanya.
Mei Hsia juga mendedahkan, gara-gara sukar untuk keluar dari pangsapuri, dia terpaksa bergantung kepada mi segera dan telur sebagai makanan harian.
“Saya pernah ditolak oleh penghantar makanan selepas memberitahu mereka saya tidak dapat mengambil pesanan secara terus.
"Aduan sudah dibuat kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) Blok D, E dan F, namun alasan diberi hanyalah, kutipan yuran penyelenggaraan yang rendah," ujarnya.
Difahamkan, penduduk dikehendaki membayar RM65 sebulan untuk yuran penyelenggaraan.
Bagaimanapun, seorang warga emas di blok tersebut, Gan Se berkata, masalah lif semakin kerap berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini.
“Saya bernasib baik tinggal di tingkat dua, jadi boleh guna tangga jika perlu. Namun, jika terlalu sakit, saya tidak mampu berjalan,” katanya.
Pihak JMB, melalui mesej teks kepada seorang penduduk, memaklumkan bahawa kontraktor lif hanya bersedia membaiki lif jika JMB dapat menyediakan wang pendahuluan sebanyak RM30,000.
Sehingga 10 Januari, JMB difahamkan hanya berjaya mengumpulkan RM19,000.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dalam sidang media yang diadakan untuk mengetengahkan isu berkenaan, menjelaskan bahawa beliau tidak dapat meminta bantuan pihak berkuasa kerana Pangsapuri Permata Fadason adalah milik persendirian dan diuruskan secara swasta.
Bagaimanapun, beliau menyatakan kesediaan untuk membantu jika JMB dan penduduk turut memainkan peranan mereka.
“Jika JMB dapat memperuntukkan RM50,000 untuk pembaikan lif, saya akan menyumbang jumlah yang sama.
"Jumlah RM100,000 seharusnya mencukupi untuk membaiki sekurang-kurangnya dua lif. Namun, penduduk juga perlu memenuhi tanggungjawab mereka dengan membayar yuran penyelenggaraan supaya JMB dapat memastikan kemudahan awam diperbaiki dan diselenggara,” katanya. — The Star/JADE CHAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram