[VIDEO] Terpaksa bawa turun mayat, tempuh rintangan cuaca, Jvy Mius anggap kerja porter Kinabalu sebagai sumber rezeki


  • Massa
  • Sabtu, 11 Jan 2025

Jvy yang mula melatih diri mendaki gunung sejak di bangku sekolah sebelum bekerja sebagai porter di Gunung Kinabalu, Sabah. — Jvy

HAMPIR sedekad bertugas sebagai porter di Gunung Kinabalu, Jvy Mius menjadi individu penting untuk mengangkat beban berat sambil mendaki puncak tertinggi di Sabah.

Porter adalah individu yang menyediakan perkhidmatan kepada pendaki gunung untuk membawa barang berat seperti khemah atau perkakas elektrik besar ke puncak.

Memikul beban besar di bahunya dari Timpohon Gate yang biasanya menjadi titik mula pendakian ke Gunung Kinabalu ke Laban Rata sememangnya merupakan perjalanan mencabar kerana perlu mendaki sejauh 6 kilometer (km).

BACA LAGI: 'Win-win situation', khemah biru kini diganti payung pantai di Port Dickson

BACA LAGI: 'Kena ada mentaliti pelancongan', pengusaha agensi 'travel' Thailand beri tip jayakan Tahun Melawat Kedah 2025

Jvy Mius has been working as a porter for nearly a decade. — JVY MIUS

Jvy mengangkat beban di belakang badannya sambil mendaki Gunung Kinabalu setiap hari. — Jvy

Berkesempatan berkongsi pengalamannya, lelaki yang mesra disapa Jvy itu berkata, perjalanan mengambil masa selama hampir lima jam sekiranya tiada sebarang gangguan seperti ribut di sepanjang jalan.

Manakala, masa untuk turun dari puncak tanpa beban berat memerlukan kira-kira dua hingga tiga jam sahaja.

Kata pemuda berusia 28 tahun itu, bekerja sebagai porter bukan sekadar pekerjaan, tetapi ia sudah menjadi rutin hariannya.

Tidak hairanlah Jvy mampu melakukan kerja itu kerana sudah dilatih sejak usia muda apabila kerap melalui cerun curam ketika zaman persekolahannya yang jauh dari kawasan rumahnya di Kundasang, Sabah.

"Saya terpaksa berjalan kaki lebih 1.3 kilometer (km) untuk ke sekolah. Rumah saya di Kampung Waang dan berada pada ketinggian 950 meter (m).

"Pergi ke sekolah memang mudah, tetapi pulang ke rumah adalah cerita berbeza kerana ia meletihkan," katanya.

Jvy pada masa sama tidak menyedari bahawa pendakian yang dilakukan pada waktu itu ternyata menjadi titik mula pada kerjayanya sekarang.

Katanya, pekerjaan itu adalah satu-satunya cara Jvy dapat meringankan beban ibu bapanya untuk menyara keluarga serta membiayai kos pendidikan adik-beradiknya.

Kecederaan lutut yang menimpa bapanya sehingga terpaksa bersara lebih awal juga menyebabkan keluarganya berdepan dengan krisis kewangan pada waktu itu.

Namun, berbekalkan kata-kata semangat daripada bapa saudara dan abangnya yang juga merupakan porter, Jvy nekad untuk menggalas tanggungjawab tersebut demi keluarga tercinta.

Rutin harian di tempat kerja

Jvy documents his daily routine on his TikTok as a way to share his journey with the people.

Jvy juga mempunyai kudrat untuk menampung berat beban lebih 70kg. — Jvy

Memulakan harinya seawal Subuh, Jvy akan mengambil bekalan diperlukan dari Persatuan Porter Gunung Kinabalu Sabah (PPGKS) yang terletak berhampiran rumah sewanya di Taman Kinabalu.

Beban yang perlu dibawa juga adalah berbeza setiap hari iaitu dari peralatan dapur seperti tong gas sehingga bahan binaan berat seperti batu konkrit.

"Beban itu diikat dengan kemas pada papan kayu panjang yang dipanggil 'salabit' dalam bahasa Dusun dan diletakkan di belakang badan kami seperti beg galas, tetapi ini lebih besar dan lebih berat.

"Menggunakan salabit membantu kami untuk mengimbangkan beban berat kerana ia diikat pada dahi, pinggang dan bahu.

"Tetapi, perjalanan akan menjadi sukar, terutamanya apabila bawa beban yang besar dengan berat lebih 70kg di bahu. Jadi, kita mahu pendakian itu senang dan selesa yang mungkin," jelasnya.

Hal ini kerana, pengimbangan berat badan dan beban yang betul boleh mengurangkan ketidakselesaan pada porter.

Dalam pada itu, porter juga bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan pada barang semasa pendakian.

"Kami perlu pastikan barang tiba dalam keadaan sama ketika ia diambil.

"Bagaimanapun, ketika musim hujan, tugas itu menjadi agak mencabar kerana kami mesti melangkah berhati-hati di dalam hutan," ujarnya.

Menurutnya, laluan berbatu akan menjadi licin dan berlumpur sekali gus membahayakan pendaki meskipun bagi yang berpengalaman.

Selain hujan lebat, porter juga perlu menahan teriknya bahang matahari dan angin kencang setiap hari.

Mendaki dari 1,896m kepada 3,286m juga memaksa pendaki dan porter melawan kadar oksigen yang rendah.

Meskipun pelbagai ubat disediakan untuk waktu kecemasan di kawasan tinggi, keadaan itu pastinya memberi cabaran lain kepada pekerjaannya.

Katanya, apabila berada di ketinggian sebegitu, ia biasanya boleh menyebabkan pendaki sakit kepala, pening dan loya.

Untuk pendapatan bulanan mereka, porter boleh memperoleh antara RM2,000 hingga RM4,800 sebulan bergantung pada berat beban.

Namun, masalah lutut Jvy beberapa bulan lalu menyebabkan dia tidak terpaksa berehat buat sementara waktu.

Jvy juga menghabiskan masa hampir sebulan untuk memulihkan diri dengan sesi fisioterapi setiap minggu.

"Buat masa ini, saya tidak ada pilihan lain selain bergantung pada simpanan saya.

"Tempoh ini juga menyedarkan saya bahawa betapa kerja ini sangat bermakna.

"Keletihan angkat beban akan lenyap serta-merta bila dapat melihat pemandangan indah di atas gunung. Ia terapi terbaik minda dan jiwa," jelasnya.

Jauh perjalanan, luas pemandangan

Tanggungjawab porter bukan sekadar mengangkat barang pendaki, namun ia lebih daripada itu.

Terkenang kembali ketika Jvy bersama rakan seperjuangannya membantu pasukan penyelamat semasa gempa bumi yang melanda Kota Kinabalu pada 2015.

"Kami membantu pendaki yang cedera dan terkandas di atas gunung. Kami juga membawa turun mayat mereka yang tidak terselamat dalam gempa bumi itu.

"Selain itu, kami juga perlu menjaga kebersihan dan mengutip sampah yang ditinggalkan oleh pendaki tidak bertanggungjawab.

"Walaupun tidak ramai sedar tentang kepentingan peranan porter, tetapi saya tetap gembira dapat menyumbang tenaga kepada rakyat dan alam sekitar dengan kemampuan saya," ulasnya.

Tambahnya, bertemu dan berinteraksi dengan pengunjung daripada pelbagai latar belakang memberikannya secebis harapan untuk terus kuat menempuhi segala halangan.

"Ia bagaikan sinar untuk saya. Ada pejalan kaki yang kenal dan mahu bergambar. Saya juga berpeluang bertemu dengan personaliti terkenal seperti pempengaruh TikTok Indonesia, Farida Nurhan serta penyampai televisyen Malaysia, Hawa Rizwana Redzuan," katanya.

Siapa sangka, Jvy kini lebih dikenali sebagai pempengaruh media sosial dan memperoleh hampir 400,000 pengikut di akaun TikToknya, @jvy_tenangisgood.

Ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, malah membantu mempamerkan keindahan alam semula jadi Sabah kepada pengunjung dan pelancong luar negara. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram