SITUASI cemas dihadapi penduduk Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini apabila lif penduduk di blok D perumahan berkenaan dilaporkan terhempas dari tingkat sembilan.
Dalam satu video tular yang dimuat naik Facebook wirakota, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan fasiliti itu pada awalnya digunakan empat individu dipercayai penduduk kawasan berkenaan.
Lif tersebut kelihatan beroperasi dengan baik dan berhenti di tingkat sembilan bangunan sebelum difahamkan terjunam berdasarkan bunyi bising yang kedengaran.
BACA LAGI: [VIDEO] Pengantin baharu antara 7 maut, lif sekolah tiba-tiba terhempas dari tingkat 5
BACA LAGI: [VIDEO] Paru-paru hancur, penuntut universiti maut dihempap lif
Tidak lama selepas itu, kedengaran dentuman kuat akibat hentaman berlaku dengan seorang individu yang menunggu kemudahan tersebut kelihatan agak terkejut dengan insiden berkenaan.
Bagaimanapun, menurut kapsyen yang disertakan di dalam video berdurasi seminit 54 saat itu, tiada mangsa terlibat dengan terdapat kemungkinan keempat-empat pengguna sudah keluar di tingkat sembilan.
Video berkenaan kemudian disambung dengan rakaman memaparkan keadaan di dalam lif tersebut menunjukkan keadaannya yang rosak dengan komponen di bahagian tepi sudah tercabut.
Insiden tersebut sememangnya dikesali orang ramai kerana sebelum ini, PA Desa Rejang antara lima Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam di KL yang menerima dana RM33.6 juta bagi kerja-kerja penggantian lif.
Namun, sikap culas daripada sesetengah pemilik kediaman yang culas membayar yuran penyelenggaran hingga menyaksikan kejadian sedemikian berlaku dengan rata-rata penduduk menyuarakan rasa tidak berpuas hati mengenai kualiti fasiliti berkenaan.
"Lif di Blok K sering mengalami kerosakan, bukan sekali tetapi beberapa kali dalam sebulan. Malah, terdapat situasi di mana lif yang rosak dibiarkan tanpa dibaiki untuk beberapa hari.
"Keadaan ini sangat menyusahkan penghuni, terutama apabila kami perlu ke tempat kerja, menghadiri janji temu di hospital, atau menghantar anak ke sekolah," tulis Punitha Madriya.
"Lif yang diharap untuk memudahkan, akhirnya jadi punca musibah. Satu-satunya lif yang ada, baru saja elok baiki tak sampai seminggu jatuh dari tingkat sembilan. Sekarang langsung tak ada lif nak guna," tulis Warga Wilayah.
"Inilah yang dirisaukan setiap kali anak menggunakan lif untuk pergi dan balik dari sekolah. Minta dijauhkan perkara sebegini berlaku," kata Huda Eusoff.
Majoriti sudah menghubungi Persatuan Pengguna PA Desa Rejang, namun pihak berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram