DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan kegagalan sistem dan vandalisme merupakan punca utama kerosakan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, Kuala Lumpur.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak lapan kes kerosakan lif dilaporkan sepanjang Disember tahun lalu di tiga blok PPR yang telah berusia 25 tahun itu.
"Kerosakan yang dilaporkan di Blok A pada 22, 23, 26 dan 29 Disember tahun lalu berpunca daripada masalah pada sistem suis brek lif, manakala tiada kerosakan dilaporkan di Blok B," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Baru elok dibaiki kurang seminggu, lif PA Desa Rejang rosak jatuh dari tingkat 9
BACA LAGI: Lif uzur diganti secara berperingkat lepas sebulan kes 'overshoot' di PA Desa Rejang
Tambahnya lagi, kerosakan lif di Blok C yang berlaku pada 2, 3, 4 dan 19 Disember adalah disebabkan masalah sistem hubungan pintu pendaratan dan butang panggilan yang dirosakkan.
Jelasnya, sistem hubungan pintu telah dilaras semula bagi mengatasi masalah tersebut.
Dalam laporan artikel StarMetro bertajuk Irked by frequent lift failure at Pekan Kepong flats pada 3 Januari lalu, beberapa penduduk menyatakan kebimbangan terhadap kerosakan lif baharu yang dipasang di PPR itu.
Lif-lif tersebut mula beroperasi pada pertengahan Disember tetapi dilaporkan mengalami masalah.
Penduduk turut mendesak DBKL agar memantau keadaan lif dengan lebih teliti.
Mereka juga melahirkan kebimbangan sama ada kontraktor mampu menyiapkan kerja penggantian lif sebelum tarikh akhir pada Mei 2024, seperti yang dijadualkan.
Keratan laporan artikel StarMetro bertajuk Irked by frequent lift failure at Pekan Kepong flats pada 3 Januari lalu.
Proses penggantian lif
DBKL menjelaskan, kumpulan kedua lif baharu sedang dalam proses pemasangan dan dijangka diperiksa oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) pada penghujung Februari.
"Fasa 3 dijangka bermula awal Mac, selepas kumpulan kedua lif diserahkan kepada penduduk," maklum kenyataan itu.
DBKL turut menegaskan bahawa mereka akan mengenakan ganti rugi yang ditetapkan kepada kontraktor sekiranya gagal menepati tarikh akhir pada Mei.
Lif yang dipasang semasa Fasa 1 masih berada dalam tempoh tanggungan kecacatan dan sedang diperhalusi.
Sebarang isu teknikal yang timbul akan ditangani segera oleh kontraktor.
DBKL dalam pada itu turut menegaskan komitmen mereka untuk memantau kemajuan projek penggantian lif ini secara teliti.
Mereka juga berjanji untuk memastikan kerja-kerja disiapkan mengikut piawaian dan tempoh masa ditetapkan.
"Kami komited memastikan keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa diutamakan," katanya.
Projek penggantian lif dilihat sebagai usaha penting bagi meningkatkan kemudahan dan kualiti hidup penduduk di PPR Pekan Kepong, yang telah menghadapi pelbagai isu berkaitan kemudahan asas sejak sekian lama. — The Star/LEW GUAN XI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram