Persis filem, rumah mewah pesara mogul pengurusan sampah 'still standing' tak dijilat api kebakaran LA


  • Benua
  • Selasa, 14 Jan 2025

Rumah mewah di Malibu, California merupakan satu-satunya yang berdiri teguh dalam kebakaran hutan yang melanda kawasan Los Angeles.

DALAM satu kejadian yang seolah-olah dirakam daripada filem bencana, sebuah rumah mewah di Malibu, Log Angeles, California, Amerika Syarikat kelihatan berdiri utuh di tengah-tengah kawasan lautan yang terbakar.

Rumah berharga RM42 juta (AS$9 juta) milik bekas mogul pengurusan sisa sampah dari Texas, David Steiner adalah satu-satunya kediaman yang masih terselamat dalam kebakaran besar yang melanda kawasan tersebut.

Kebakaran hutan yang melanda kawasan Los Angeles itu telah memusnahkan hampir segala-galanya, namun rumah tiga tingkat Steiner yang terletak di pantai Malibu itu tetap berdiri teguh.

BACA LAGI: Gulai belut dan stimbot keju jadi tumpuan, ini 5 port makan tawar menu enak wajib singgah di Kelantan

BACA LAGI: Dari krim kek ke cat kanvas, Satira Diana gabung jawi, pantun Melayu klasik hasilkan karya sarat mesej mendalam

photo_6066795997893345362_x

Gambaran selepas kebakaran hutan yang melanda kawasan Los Angeles.

Rumah seluas 4,200 kaki persegi dengan empat bilik tidur berkenaan direka khas agar mampu menahan daripada gempa bumi dan kebakaran.

Dengan rekaan dinding stuko, bumbung kalis api serta struktur yang dipancang 50 kaki ke dalam batuan dasar, kediaman itu seolah-olah dibina untuk menghadapi bencana semula jadi.

Steiner berkata, beliau tidak pernah terfikir kebakaran hutan akan mencapai kawasan pantai.

"Saya fikir jika ada gempa bumi, rumah itu adalah yang terakhir sekali akan runtuh. Tapi saya tidak sangka kebakaran akan menjadi ancaman seperti ini," kata Steiner.

Kebakaran yang dikenali sebagai kebakaran Palisades telah meranapkan ribuan rumah di kawasan Malibu dan sekitarnya termasuk kediaman para selebriti seperti Mel Gibson.

Steiner pada mulanya tidak yakin rumahnya akan terselamat selepas menerima video yang menunjukkan api semakin menghampiri kediamannya.

"Video itu menunjukkan api hampir menjilat rumah saya dan saya fikir saya sudah kehilangan kediaman tersebut," jelasnya.

Namun, sebaliknya, rumah itu kelihatan seperti satu-satunya yang terselamat dengan dikelilingi oleh pelbagai runtuhan dan abu di sekitarnya.

Steiner terkejut apabila menerima gambar-gambar rumahnya yang masih tegak, walaupun rumah-rumah jiran sudah musnah.

photo_6066795997893345363_x

Semua harta benda musnah dalam kejadian kebakaran hutan yang melanda kawasan Los Angeles.

Walaupun begitu, beliau tetap merendah hati dengan menganggap kejadian itu sebagai satu keajaiban.

Steiner turut menyatakan bahawa rumah tersebut bukanlah kediaman utama keluarganya dan tidak ada kenangan berharga yang disimpan di sana.

"Saya benar-benar berasa simpati kepada mereka yang kehilangan segala-galanya," katanya.

Kebakaran itu telah merosakkan sekitar 10,000 struktur, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.

Kebakaran itu juga mencatatkan kerosakan besar yang dianggarkan bernilai antara RM607.5 bilion hingga RM675 bilion (AS$135 hingga AS$150 bilion) dengan lebih 5,300 struktur yang musnah di kawasan Pacific Palisades sahaja.

Itu menjadikannya kebakaran paling teruk dalam sejarah Los Angeles.

Kebakaran yang melanda Malibu itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.

Namun, bagi Steiner, rumahnya yang masih berdiri menjadi simbol keajaiban di tengah-tengah tragedi yang melanda kawasan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram