PEROKOK diseru untuk menghentikan tabiat merokok pada tahun baru selepas kajian baharu mendapati berapa banyak masa hidup yang hilang akibat setiap rokok yang dihisap.
Dalam kajian terbaharu, para pakar mendapati golongan lelaki kehilangan 17 minit hayat bagi setiap rokok yang dihisap.
Manakala, jangka hayat wanita pula dipendekkan sebanyak 22 minit bagi setiap rokok sekali gus menunjukkan jangka hayat perokok wanita 5 minit lebih pendek berbanding lelaki.
BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki meraung kesakitan, patah kaki motosikal dirempuh warga asing di Serendah
Anggaran itu lebih tinggi daripada anggaran sebelumnya yang menyatakan setiap rokok memendekkan hidup perokok sebanyak 11 minit.
Anggaran baharu itu adalah berdasarkan data terkini daripada kajian jangka panjang yang menjejaki kesihatan penduduk.
Semakin cepat seseorang berhenti merokok, dan semakin sedikit rokok yang diambil, semakin panjang hayat mereka. — Gambar Hiasan
Penyelidik dari University College London (UCL) di Britain menyatakan bahawa kerosakan akibat merokok adalah bersifat 'kumulatif'.
Oleh itu, semakin cepat seseorang berhenti merokok, dan semakin sedikit rokok yang diambil, semakin panjang hayat mereka.
Pada masa sama, melalui kajian terbaharu Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial Britain, mencadangkan bahawa jika seorang perokok hanya menghisap 10 batang rokok sehari dan berhenti pada 1 Januari, menjelang 8 Januari, mereka boleh 'mengelakkan kehilangan satu hari penuh hayat'.
Menjelang 20 Februari, hayat mereka boleh dipanjangkan sehingga satu minggu.
Sekiranya perokok berjaya berhenti merokok sehingga 5 Ogos, mereka berkemungkinan hidup sebulan lebih lama berbanding jika mereka terus merokok.
Kajian turut menunjukkan bahawa perokok biasanya kehilangan jumlah tahun sihat yang sama seperti tahun hayat keseluruhan mereka.
Ini bermakna, merokok lebih banyak menghabiskan tahun-tahun pertengahan hidup yang sihat berbanding memendekkan tempoh akhir hayat yang sering terdedah dengan penyakit kronik atau masalah kesihatan yang lain.
Sehubungan itu, seorang perokok berusia 60 tahun biasanya akan mempunyai profil kesihatan seperti bukan perokok berusia 70 tahun.
Kajian menunjukkan perokok kehilangan, secara purata, kira-kira 20 minit hidup untuk setiap rokok yang mereka hisap. — Gambar Hiasan
Menerusi kajian yang akan diterbitkan dalam Journal of Addiction menganggarkan bahawa secara purata, perokok di Britain yang tidak berhenti kehilangan kira-kira 20 minit jangka hayat untuk setiap rokok yang mereka hisap.
"Berhenti merokok pada setiap usia adalah bermanfaat, tetapi semakin cepat perokok berhenti, semakin panjang dan sihat hidup yang mereka dapat jangkakan," menurut jurnal itu.
Felo penyelidik utama dari Kumpulan Penyelidikan Alkohol dan Tembakau UCL, Dr Sarah Jackson berkata, adalah penting bagi orang ramai memahami betapa berbahayanya merokok dan sejauh mana berhenti merokok boleh meningkatkan kesihatan dan jangka hayat mereka.
"Bukti menunjukkan perokok kehilangan, secara purata, kira-kira 20 minit hidup untuk setiap rokok yang mereka hisap.
"Semakin cepat seseorang berhenti merokok, semakin panjang hayat mereka. Berhenti pada usia apa pun dapat memperbaiki kesihatan dengan ketara, dan manfaatnya bermula hampir serta-merta.
“Tidak pernah terlambat untuk membuat perubahan positif kepada kesihatan anda, dan terdapat pelbagai produk dan rawatan berkesan yang boleh membantu perokok berhenti sepenuhnya," katanya.
Terdapat pelbagai produk dan rawatan berkesan yang boleh membantu perokok berhenti sepenuhnya. — Gambar Hiasan
Sementara itu, Menteri kesihatan awam Britain, Andrew Gwynne, berkata, merokok adalah tabiat yang mahal dan mematikan, dan penemuan ini mendedahkan realiti mengejutkan tentang ketagihan ini, yang menekankan betapa pentingnya untuk berhenti merokok.
"Tahun baru menawarkan peluang yang sempurna bagi perokok untuk membuat resolusi baharu dan mengambil langkah tersebut," katanya.
Dalam ada itu, penasihat khas Royal College of Physicians dalam bidang tembakau, Profesor Dr Sanjay Agrawal menjelaskan setiap rokok yang dihisap mengorbankan minit-minit berharga kehidupan.
"Kesan kumulatifnya adalah sangat memusnahkan, bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi kita.
"Penyelidikan ini adalah peringatan yang kuat tentang keperluan mendesak untuk menangani tabiat merokok sebagai penyebab utama yang boleh dicegah bagi kematian dan penyakit di Britain," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram