TIDAK hanya dikenali kerana inovasi produk, gaya fesyen harian yang berani dan unik digayakan pengasas jenama kosmetik terkenal Wunderbath, Evelyn Marieta juga memikat banyak mata.
Wanita ini memilih penampilan berbeza setiap hari, sama ada comel dan anggun atau unik dan berani bergantung pada mood.
“Anggun dengan sentuhan unik! Saya suka menggabungkan pakaian menonjol untuk mencipta gaya yang menarik perhatian, namun tetap memastikan penampilan kekal kemas dan rapi,” kata Evelyn, menggambarkan gaya peribadinya.
BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung
Antara momen fesyen ikonik Evelyn termasuk penampilannya pada Minggu Fesyen Mercedes Benz tahun lalu.
“Saya mendapatkan khidmat dengan penata rias, Steve, di Aube Salon, Bangsar, Kuala Lumpur dan memberitahunya ingin kelihatan seperti Merida daripada filem Disney, Brave.
"Saya padankan gaya rambut keriting bersama persalinan gaun panjang geometri berwarna kuning neon,” kongsinya yang juga gemar bereksperimen gaya baharu.
Selain menguruskan jenama kosmetik dan bath bomb, Marieta juga melancarkan Wunderworld, sebuah rancangan sains yang direka untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan bagi kanak-kanak kecil dan prasekolah.
"Tahukah anda bahawa pada usia lima tahun, 90 peratus otak kanak-kanak berkembang sepenuhnya? Pada usia tiga tahun, mereka mempunyai 1,000 trilion sambungan otak, dua kali ganda daripada remaja!
"Dengan potensi sebegitu, mengapa tidak gunakan tahap ini untuk mengajar mereka sesuatu yang menyeronokkan dan bermakna seperti sains?" ujarnya.
Evelyn juga gemar mencipta warna gincu sendiri menggunakan bahan kosmetik di makmal.
Bagi Evelyn, tiga item kecantikan yang wajib ada untuk melengkapkan penampilannya termasuk gel glitter bagi menambah sentuhan ceria pada solekan.
Selain itu, dia juga menggunakan Wunderlippie Wunderwoman daripada Wunderbath, iaitu pelembap bibir antipenuaan berwarna fuchsia (warna merah jambu terang yang cenderung ke arah ungu) kegemarannya.
"Saya juga perlu ada minyak wangi campuran khas dicipta sendiri untuk menyesuaikan dengan pakaian dan mood ketika itu.
"Jika tidak dapat mencari warna gincu atau solekan mata tertentu, saya akan mencipta sendiri menggunakan bahan kosmetik di makmal," akuinya.
Trend fesyen yang perlu dilenyapkan
Evelyn turut berkongsi pandangan kritisnya terhadap beberapa trend fesyen masa kini.
“Seluar mikro (micropants) menjadi trend ketika ini, tetapi ia sangat tidak praktikal, terutama di Kuala Lumpur.
"Selain itu, saya juga berharap low rise hipster pants hilang daripada dunia fesyen. Ia benar-benar mimpi ngeri untuk para ibu!” tegasnya.
Dalam dunia fesyen, Evelyn menjadikan beberapa figura terkenal sebagai inspirasi.
“Pelakon dan penyanyi Amerika Syarikat (AS), Zendaya sentiasa kelihatan sempurna dan mampu menjadikan setiap gaya miliknya sendiri.
"Iris Apfel pula membuktikan bahawa gaya tidak mengenal umur dan keyakinannya kekal sepanjang masa.
"Saya juga mengagumi Blake Lively, yang menjadikan dunia glamor Hollywood kelihatan mudah dipakai dan dekat di hati.”
Evelyn percaya setiap individu perlu memiliki item penting yang boleh disesuaikan dengan pelbagai gaya.
Tiga item penting dalam almari
Evelyn percaya setiap individu perlu memiliki tiga item penting yang boleh disesuaikan dengan pelbagai gaya, iaitu but paras lutut, seluar panjang dan gaun putih paras lutut.
“Item asas ini cukup serba boleh untuk dipadankan dengan apa sahaja. Anda hanya perlu menambah sentuhan unik sendiri,” jelas wanita itu sambil menekankan pentingnya kreativiti dalam penampilan.
Dengan falsafah gaya yang dinamik dan pendekatan kreatif terhadap fesyen dan kecantikan, Evelyn menginspirasi ramai untuk mengekspresikan diri mereka dengan keyakinan dan keseronokan. — The Star/NASA MARIA ENTABAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram